Cara Memulakan Bisnes Atas Talian

Cara Memulakan Bisnes Atas Talian

Anda berminat untuk menjalankan bisnes sendiri tetapi tidak tahu bagaimana? Jika ya, anda sedang berada di tempat yang betul. Tidak dapat dinafikan lagi bahawa masyarakat kini gemar menjalankan perniagaan bagi menjana pendapatan tambahan. Akan tetapi, bagaimanakah caranya untuk melakukan bisnes atas talian? Usah gusar wahai rakan, kerana saya akan menunjukkan langkahnya. Teruskan pembacaan anda.

Cari Produk Untuk Dijual

Memilih produk bagi penjualan boleh mendatangkan kerunsingan buat mereka yang baru pertama kali ingin menceburi bisnes. Persoalan yang sering diungkapkan ialah; Apakah barang yang boleh dijual? Sebaik-baiknya, jual produk yang anda ketahui atau sesuatu yang anda minat. Misalannya, anda seorang peminat fanatik robotik. Anda telah mendalami bidang robotik selama 5 tahun. Pastinya, anda mempunyai banyak pengetahuan berkaitan robotik. Lantaran, gunakanlah ilmu anda dalam bidang tersebut untuk bisnes. Hal ini demikian kerana, pelanggan mungkin akan merujuk anda bagi pertanyaan produk. Di samping dapat berkongsi minat yang sama, anda juga akan dapat menebalkan poket. Menarik, bukan?

Kaji Pasaran dan Pesaing Produk

Sebelum anda mula menjejakkan kaki dalam dunia perniagaan, adalah sangat penting untuk mengetahui pasaran terlebih dahulu. Keluasan pasaran boleh ditentukan dengan mengenali bakal pembeli anda. 3 perkara penting yang anda perlu ketahui mengenai bakal pembeli:

  •  Jangka umur
  • Barang yang disukai
  • Laman web yang sering dilawati

Seterusnya, anda perlu melihat pesaing anda. Cara yang paling mudah adalah dengan melakukan pencarian di Google. Katakan anda mahu menjual kit robotik. Taip sahaja kata kekunci “Kit Robotik di Malaysia”. Di sini, anda akan dapat melihat senarai panjang laman web. Pilih 3 laman web teratas bagi melakukan penyelidikan. Perhatikan bagaimana pesaing anda menstruktur laman web, memaparkan produk dan bagaimana mereka mengendalikan urusan jual beli. Motif anda adalah untuk mencari kelemahan mereka dan memperoleh faedah daripadanya. Wujudkan sebuah servis yang lebih baik di samping mengekalkan elemen peribadi, fokus dan efisien. Anda juga boleh bertanya kepada pembeli tentang apa yang diinginkan bagi meninjau keluasan pasaran. Contohnya, anda boleh melakukan kaji selidik berkenaan produk menggunakan Google Forms ataupun Survey Monkey.

Bina dan Lancarkan Platform Perniagaan

Terdapat pelbagai cara bagi menubuhkan platform bisnes atas talian. Anda boleh menggunakan khidmat yang ditawarkan oleh pembina laman web e-dagang.

  • Ia merupakan salah satu pembina laman web e-dagang terbaik yang sesuai untuk semua jenis bisnes. Dari kecil-kecilan ke perniagaan antarabangsa.
  • Sebenarnya, ia merupakan sebuah plugin sumber terbuka e-dagang untuk WordPress.
  • Buat mereka yang berani dan mempunyai kepakaran dalam membuat laman web, anda juga boleh menghasilkan laman web sendiri.

Ataupun, jika anda tidak mahu melalui proses yang panjang bagi menubuhkan kedai sendiri, anda boleh menggunakan eBay, Lazada, Zalora dan Mudah.my sebagai alternatif. Bukan itu sahaja, anda juga boleh menggunakan media sosial seperti Twitter, Facebook dan Instagram untuk menjual produk.

Pasarkan Produk Dengan Betul

Pemasaran yang bagus akan dapat meningkatkan trafik kedai anda. Lantaran, anda disarankan mempunyai logo tersendiri agar lebih diingati oleh pembeli. Jika anda mahir menggunakan Photoshop, ciptalah sendiri ataupun upah pereka grafik di Upwork bagi mereka logo anda. Selain itu, gunakan imej yang berkualiti tinggi untuk paparan pelanggan. Jangan sesekali gunakan imej yang kabur atau gelap bagi memasarkan produk anda. Ini merupakan kesalahan yang patut anda elakkan! Hal ini demikian kerana imej memaparkan profesionalisme anda dalam bisnes. Pastinya, anda tidak mahu dilabel sebagai tidak profesional oleh pelanggan bukan? Lebih-lebih lagi, imej yang baik dapat mencipta persepsi yang baik kepada pelanggan anda. Disamping itu, anda juga boleh menggunakan media sosial sebagai medium untuk mengiklankan produk. Penggunaan media sosial dapat mencapai lebih banyak pelanggan dari pelbagai kawasan.

Terima Pembayaran Produk

Bisnes dijalankan untuk mengaut keuntungan. Lantaran, anda perlu mempunyai medium untuk membolehkan pelanggan melunaskan pembelian produk. Sama ada menerusi kad debit atau kad kredit, tidak dinafikan terdapat pelbagai kaedah pembayaran yang boleh digunakan. Antaranya termasuklah PayPal, kad Visa (debit atau kredit) dan Cash On Delivery (COD). Dalam penjualan produk, semestinya anda mahu mencapai ramai pelanggan dari serata dunia. Disebabkan itu, kebanyakan penjual atas talian memilih PayPal. Kebolehan melakukan transaksi dalam pelbagai mata wang asing, perkhidmatan yang dijamin selamat dan perlindungan kepada pembeli merupakan antara faktor PayPal digemari oleh kedua-dua pelanggan dan penjual. Selain itu, cara membuka akaun penjual bagi PayPal juga mudah dilakukan. Anda boleh membaca panduan membuka akaun di laman web PayPal.

Apa Yang Ditunggu Lagi?

Secara amnya, bisnes atas talian ini bukanlah suatu perkara yang sukar untuk dilakukan. Namun, haruslah diingatkan bahawa Rom tidak dibina dalam masa sehari. Kesabaran dan komitmen yang tinggi amatlah penting dalam memastikan kemajuan dan kelangsungan sesuatu bisnes. Oleh itu, bersedialah untuk bermandikan peluh sebelum mula berenang dalam kolam emas. Ingatlah, kekayaan itu tidak datang bergolek.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *