Strategi Pemasaran: Pentingnya penggunaan media sosial

Strategi Pemasaran Pentingnya penggunaan media sosial

Sama seperti negara-negara yang lain, dunia perniagaan di Malaysia juga mengiktiraf bahawa komunikasi memainkan peranan yang amat penting. Elemen ini telah dipermudahkan dengan wujudnya laman-laman sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram, Tumbler, YouTube, Tagged, Pinterest, Carimember.com dan banyak lagi. Wujudnya istilah netizen juga menggambarkan yang kita telah pun mengiktiraf peranan mereka yang banyak terlibat dalam dunia maya. Hubungan manusia juga semakin rapat dan jarak tidak lagi mampu memisahkan kita.

Apabila sesuatu peristiwa yang penting berlaku di suatu sudut dunia, maklumat tentangnya mampu bergerak ke bahagian lain di dunia ini persis sepantas kilat. Terima kasih kepada laman sosial, kerana ia adalah satu daripada elemen penghubung maklumat yang mampu memberikan kelebihan ini kepada manusia sejagat.

Ramai usahawan internet yang amat menghargai kewujudan laman sosial dan menggunakannya sebagai salah satu daripada media pemasaran mereka. Mengapakah begitu? Di bawah ini terdapat beberapa kepentingan laman sosial dalam dunia pemasaran internet yang perlu anda ketahui.

Produk anda mampu diketengahkan sebagai sesuatu yang serius

Laman sosial lazimnya mempunyai ahli berdaftar dari serata dunia. Mereka kerap meluangkan masa untuk membaca dan berkongsi maklumat baru dengan ahli yang lain. Situasi ini memberikan anda peluang untuk berhubung dengan mereka di samping memperkenalkan produk anda. Anda juga boleh membina imej yang serius bagi produk secara mudah.

Perkenalkan diri anda sebagai usahawan internet dan pamerkan produk yang anda ingin pasarkan. Nyatakan dengan jelas yang anda serius tentang produk anda dan sedia mengambil pesanan. Paparkan nombor telefon perniagaan anda agar bakal pelanggan dapat menghubungi anda dengan mudah. Jika anda seorang yang pemalu, anda juga boleh menggunakan aplikasi Whatssap, contohnya, di mana anda hanya perlu melayan pelanggan secara menaip mesej. Pada masa ini, hampir semua orang mempunyai akses kepada kemudahan sebegini.

Jenis pelanggan boleh disaring dengan mudah

Satu perkara menarik tentang memasarkan produk di laman sosial ialah anda dapat melihat maklum balas yang diterima dengan mudah. Anda dapat merumuskan sama ada orang ramai berminat terhadap produk anda atau sebaliknya. Jika anda banyak menerima komen yang negatif, anda berupaya mengubah kempen pemasaran anda untuk mendapatkan hasil yang lebih baik.

Bilangan orang yang melawat halaman promosi anda, julat usia mereka, jantina, bangsa, agama dan pilihan produk yang mereka gemari semuanya dapat anda ketahui. Justeru, tugas anda kini semakin mudah; anda hanya perlu ‘mendidik’ dunia tentang produk anda, dan laman sosial pula akan ‘mendidik’ anda tentang siapa yang berminat dengan apa yang anda tawarkan.

Komunikasi dua hala yang lancar

Jika pelanggan anda mempunyai sebarang masalah atau ingin mengajukan kemusykilan, mereka boleh menghubungi anda secara peribadi melalui ruang yang disediakan oleh kebanyakan laman sosial. Khidmat sembang langsung di dalam facebook, contohnya, membolehkan anda berbual secara terus dengan pelanggan anda. Butang hijau yang menandakan keberadaan anda di ruang peribadi laman tersebut dapat membantu anda memaklumi pelanggan yang anda sedia dihubungi pada masa tersebut.

Memudahkan penciptaan imej yang mesra pelanggan

Ramai orang gemar berurusan dengan individu apabila membeli produk, terutama sekali apabila syarikat yang menawarkan produk tersebut masih belum cukup dikenali. Manusia mampu berfikir dengan lebih logik berbanding mesin atau robot, dan mampu menyesuaikan tindakan yang diambil berdasarkan jenis keadaan. Laman sosial mampu memberikan sentuhan kemanusiaan sebegini kepada produk anda. Dalam erti kata lain, pelanggan akan berasa lebih selesa untuk membeli produk anda kerana mereka menyedari kewujudan anda di laman sosial tersebut.

Media sosial merupakan cara berkomunikasi generasi baru dan digunakan dengan meluas untuk menghantar maklumat. Berjuta-juta pengguna laman sosial di Malaysia masih kekal aktif berkongsi dan mencari maklumat baru. Rugi jika anda tidak mempromosikan produk di laman-laman ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *