Bunyinya pelik dan tidak langsung memberikan gambaran tentang apa sebenarnya Amanah Ikhtiar Malaysia ni ataupun lebih dikenali sebagai AIM. Nak kata badan penguatkuasa pun bukan, nak kata bank pun bukan, jadi apa sebenarnya Amanah Ikhtiar Malaysia ni? Saya sendiri pun hanya mengenali AIM ini baru-baru juga. Itupun diperkenalkan oleh seorang kawan yang bermula empayar perniagaannya dengan bantuan Amanah ikhtiar Malaysia. Dengar sahaja perkataan bantuan dan perniagaan dah mula boleh tangkap apa yang dilakukan oleh Amanah Ikhtiar Malaysia ni kan? Cuma disebabkan mungkin kita tidak berada di dalam radar individu-individu yang pernah berurusan dengan Amanah Ikhtiar Malaysia, maka ianya juga kedengaran asing bagi kita.
Sejarah Amanah Ikhtiar Malaysia
Amanah Ikhtiar Malaysia sebenarnya adalah sebuah ialah sebuah badan Amanah Persendirian yang ditubuhkan pada 17 September 1987 melalui Suratcara Perjanjian AIM dan didaftarkan di bawah Akta Amanah (Pemerbadanan) 1952 (pindaan 1981) (Akta 258). Dari masa ke semasa, peranan Amanah ikhtiar Malaysia semakin besar dalam usahanya membantu rakyat miskin dari sudut tambah nilai ekonomi keluarga. Oleh yang demikian, sebahagian daripada Amanah Ikhtiar Malaysia mula dibantu dari segi urustadbirnya oleh Unit Perancang Ekonomi (UPE) dan Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (UPP) Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan Malaysia, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah.
Selain itu, wakil daripada Kerajaan Negeri Selangor juga mula diserap masuk untuk memantapkan lagi operasi AIM. Dengan wujudnya kombinasi pentadbiran dan lembaga pengarah yang pelbagai ini, keyakinan rakyat terhadap institusi AIM semakin kuat dan dapat dilihat dengan cara AIM ditadbir urus selama ini yang sentiasa adil tanpa ada percanggahan kepentingan peribadi. Jadi secara amnya, Amanah Ikhtiar Malaysia ni bukanlah bank dan juga agensi kerajaan tetapi lebih kepada institusi yang membantu golongan miskin untuk berniaga.
Nak buat pinjaman mesti jadi Ahli dulu
Ini adalah keunikan Amanah Ikhtiar Malaysia kerana syarat utama untuk anda mendapatkan bantuan dana dari mereka anda wajib menjadi ahli terlebih dahulu. Maknanya AIM ni bukanlah memberi pinjaman semata-mata tetapi juga lebih kepada networking antara ahli. Untuk menjadi ahli Amanah Ikhtiar Malaysia, anda perlu menubuhkan satu kumpulan yang terdiri daripada 5 orang sejantina (maknanya perempuan la ni) yang tiada tali persaudaraan yang rapat. Selain itu, kesemua ahli secara berkumpulan perlu mengikuti Proses Penurunan Kuasa (PPK) iaitu satu kursus wajib selama 5 hari (1 setengah jam sehari).
Ini bagi memberi kefahaman mengenai peraturan dan syarat-syarat AIM. Kemudian syarat terakhir nak jadi ahli AIM ni, semua ahli kumpulan perlu menyertai pusat iaitu gabungan antara 2 hingga 12 kumpulan. Ahli Pusat dan peserta AIM perlu menghadiri bermesyuarat setiap minggu. Biasanya mesyuarat ini diadakan di tempat-tempat yang mudah bagi peserta untuk hadir tidak kiralah sama ada balai raya, dewan mahupun rumah persendirian. Fuhh…memang agak ketat syarat-syarat nak jadi ahli AIM ni. Itu baru ahli belum kira kalau nak buat pinjaman lagi.
Kenapa leceh sampai macam ni sekali?
Kenapa Amanah Ikhtiar melecehkan semua ni adalah disebabkan asas penubuhan Amanah Ikhtiar itu sendiri. AIM ni sebenarnya mengadaptasi konsep yang diamalkan oleh Grameen Bank iaitu sebuah bank yang ditubuhkan oleh seorang Professor di Bangladesh pada tahun 1983. Konsep Grameen bank ni adalah memberi pinjaman mikro kepada orang-orang miskin untuk berniaga tanpa apa-apa cagaran ataupun syarat dokumentasi macam bank-bank komersial. Kalau anda tengok balik syarat-syarat nak jadi ahli AIM ni yang leceh tadi pun boleh Nampak tidak ada satu pun syarat berbentuk dokumentasi yang mereka minta.Tak perlu slip gaji, tak perlu bil api, dan tak perlukan penjamin. Semua yang leceh tu hanya memerlukan kesungguhan sahaja.
Jadi sesiapa pun boleh memohon untuk menjadi ahli AIM tanpa mengira tangga gaji sebab sememangnya AIM ni ditubuhkan untuk membantu golongan miskin. Asalkan anda rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas dan pendapatan isi rumah tidak melebihi RM 3855, maka anda sudah cukup syarat untuk menjadi ahli AIM. Jangan salah faham pula ya…pendapatan isi rumah itu bermaksud keseluruhan pendapatan semua ahli keluarga yang ada tinggal di dalam rumah anda tu. kalau suami isteri bekerja jadi campurkanlah gaji keduanya, kalau ada adik beradik yang tinggal bersama dan bekerja pun perlu dikira sekali asalkan jumlah keseluruhan tidak melebihi jumlah had tadi barulah boleh memohon. Untuk mengelakkan kes-kes penipuan, setiap pemohon baru, pegawai Amanah Ikhtiar akan datang ke rumah untuk membuat ujian kelayakan.
Jenis Pinjaman yang ada
Oleh kerana Amanah Ikhtiar Malaysia ni hanya menyediakan pinjaman mikro, maka jumlah had pinjaman maksima yang dibenarkan juga agak rendah. Setakat ini AIM menyediakan sehingga 7 jenis pinjaman dan apa yang membezakan skim-skim pinjaman ini hanyalah jumlah pembiayaan dan juga tempoh bayaran balik.Had maksimum yang dibenarkan untuk pinjaman AIM adalah sebanyak RM20,000 dan tempoh bayaran balik yang palik lama adalah selama 150 minggu. Minggu? Ya itulah satu lagi kelainan AIM apabila setiap peminjam wajib membayar balik pinjaman mereka setiap minggu sebab itu pegawai-pegawai mereka akan memantau setiap kumpulan apabila mereka mengadakan perjumpaan mingguan.
Hanya Golongan Wanita yang Dibenarkan menjadi ahli
Bunyinya agak kontroversi kerana ianya seolah-olah mendiskriminasi kaum lelaki. Sebenarnya perkara ini telah diselidiki secara mendalam oleh beberapa pengasas Amanah Ikhtiar semasa awal penubuhannya dulu. Pada awalnya memang Amanah Ikhtiar ni dibuka kepada semua tidak kira lelaki ataupun wanita tetapi setelah beberapa lama mereka mendapati bahawa kaum lelaki ni liat nak bayar balik pinjaman di mana peratusan bayar balik pinjaman untuk kaum wanita adalah sebanyak 90% manakala lelaki hanya 75% sahaja.
Bukan setakat itu sahaja, kehadiran ke Mesyuarat Pusat juga menunjukkan perbezaan yang agak ketara antara Sahabat lelaki dan Sahabat wanita. Sahabat lelaki yang hadir ke Mesyuarat Pusat di tahap 60 peratus dan Sahabat wanita melebihi 85 peratus pada setiap minggu (kita orang lelaki tak suka membawang sebab tu tak datang!!). Oleh sebab itu, Amanah Ikhtiar pun putuskan program mereka hanya akan dibuka kepada sahabat wanita sahaja. kadar peratusan bayaran balik Amanah Ikhtiar ni memang patut dipuji kerana dari awal penubuhan sehingga sekarang memang sentiasa berada di tahap yang tertinggi.
Kenapa Nak jadi Ahli kena pergi kursus terlebih dahulu?
Betapa telitinya Amanah Ikhtiar ni dalam menapis keahlian mereka dapat dilihat dengan syarat khas ini. Tujuan kursus ini adalah untuk memberi penerangan tentang syarat-syarat, peraturan dan kewajipan sebagai ahli AIM. Pegawai Aim akan memberi penerangan yang bertujuan untuk memberi kefahaman tentang AIM dan yang paling penting untuk mendapatkan persetujuan sahabat berkaitan syarat-syarat dan peraturan ditetapkan.
Maklumlah, untuk kebaikan jangkamasa panjang pegawai kena la pastikan ahli yang baru itu nanti diterima oleh ahli kumpulan yang sedia ada. Kursus ini boleh dilaksanakan di mana-mana tempat yang dipersetujui ahli kumpulan dan kebiasaannya di kawasan penempatan ahli kumpulan sendiri.
One thought on “Amanah Ikhtiar Malaysia: Apa Sebenarnya?”
Salam sajethera,disini saya ingin bertanya adakah AIM ini terikat kepada sector perbankan..lebih jelas aku katakan contohnya,jika hendak buat pinjaman wang dekat bank,kena ada komitmen….Jadi bolehkah jika saya Adalah seorang ahli AIM dan telah meminjam wang dari cawangan ini mengunakan nama AIM sebagai komitmen saya?.