ASB Loan – Perkara Yang Anda Perlu Tahu

ASB Loan

Kali ini saya akan kongsikan beberapa perkara asas tentang ASB loan dengan anda. Saya tidak akan bercerita tentang teori-teori ataupun teknik-teknik untuk membuat pelaburan dalam ASB yang hanya memeningkan kepala anda. Saya juga tidak akan merapu dengan memberikan cara-cara boleh jadi kaya raya dalam masa beberapa tahun dengan ASB kerana kalau perkara itu benar saya tidak akan kongsi pun dengan anda (baik saya buat ceramah satu kepala Rm10k). Apa yang akan saya kongsikan hanyalah perkara asas tentang ASB loan supaya anda boleh menilai sendiri tentang pinjaman ini.

ASB Loan Adalah Pinjaman Untuk Membuat Pelaburan

Ini adalah perkara paling asas yang anda perlu tahu tentang ASB loan. Ianya adalah PINJAMAN yang kita buat di mana-mana Bank yang menjadi panel kepada ASB dan wang pinjaman tersebut kita akan laburkan ke dalam ASB. Sama saja seperti pinjaman-pinjaman lain, ASB loan memerlukan dokumen-dokumen asas seperti slip gaji, kad pengenalan dan lain-lain. Apa yang beza cuma pinjaman ini dihadkan kepada Bumiputera sahaja sebab ianya akan dilaburkan ke dalam ASB yang juga mempunyai syarat yang sama. Jumlah had maksima yang dibenarkan untuk pinjaman ini adalah sebanyak RM200k. Apabila namanya pinjaman bermaksud anda perlu membayar ansuran bulanan pinjaman itu kepada pihak bank. Saya pernah berjumpa dengan beberapa orang yang sangatlah keliru tentang ASB loan ni. Dengan penuh keyakinan dia cakap dia buat ASB loan RM20k kemudian wang tersebut dia nak keluarkan buat renovate rumah sebab dia dah masuk ASB, jadi tiap-tiap tahun tunggu dividen sahaja katanya. Saya hanya diam dan kemurungan selama 3 hari selepas itu.

Konsep ASB loan ini sama sahaja seperti loan kereta ataupun loan rumah yang mana kita membuat pinjaman untuk membeli sesuatu dan dalam hal ASB ni kita membeli sijil ASB (pelaburan). Oleh yang demikian, akan ada satu tempoh ‘Lock period’ (biasanya 2 tahun) di mana kita tidak boleh menjual saham ASB ini.

Labur Guna Wang Sendiri vs ASB Loan?

Ini adalah perkara yang paling selalu didebatkan di kedai-kedai mamak seluruh tanahair. Ada yang kata labur ASB guna duit sendiri lagi menguntungkan dan ada yang kata pinjaman lebih baik. Sebenarnya asas kepada perdebatan ini hanyalah ‘volume vs percentage’. Dalam apa jua pelaburan instrument seperti ASB ni, yang penting adalah jumlah pelaburan kerana kadar interest yang ditawarkan adalah sangat rendah berbanding pelaburan yang lain. Kalau nak dibandingkan dengan pelaburan saham di bursa saham yang boleh menjangkau pulangan sehingga 100% dan lebih, pelaburan ASB ni sangatlah rendah peratusan dividen yang diperolehi. ”Eh..rugilah kalau macam tu, baik main saham lagi untung besar cepat naik haji”. Ya betul tapi harus juga anda ingat pasaran saham berubah-ubah dan risiko yang bakal ditanggung juga sangat tinggi. Kalau keuntungan boleh cecah 100%, jangan nak hairan kalau rugi pun boleh jadi 100%. Jadi disitulah beza ataupun kelebihan ASB ini, untung tak besar tapi selamat dan stabil. Kalau anda jenis yang tersalah masuk duit Rm10 dalam tabung masjid pun dah melompat nak korek semula, baik lupakan niat nak main saham. ASB adalah platform terbaik buat anda.

Berbalik kepada isu ASB loan ataupun guna tunai sendiri tadi, jumlah pelaburan itu adalah yang utama untuk menentukan sama ada lebih baik guna ASB loan ataupun tunai. Bagi anda yang ada jumlah tunai yang besar (mungkin sekitar RM100k keatas) adalah lebih afdal anda membuat pelaburan ASB menggunakan wang itu sahaja. Seperti yang saya nyatakan tadi, jumlah pelaburan itu yang utama kerana andai kata anda nak melabur guna wang sendiri tapi dalam akaun Cuma ada RM10k, maka baik lupakan dan teruskan dengan ASB loan sebab ianya tidak berbaloi. Kadar dividen yang diberi oleh ASB adalah sekitar 8-10% sahaja dan cubalah anda bezakan kadar pulangan antara RM10k (tunai) atau RM100k (ASB loan). Jauh bezanya bukan?

Kadar Faedah ASB Loan dan Caj Pengurusan

Jadi memandangkan ASB loan ni adalah satu bentuk pinjaman, maka ianya akan tertakluk dengan beberapa perkara asas dalam setiap pinjaman iaitu kadar faedah (interest rate) dan juga caj-caj sampingan lain. Kebiasaannya orang Malaysia ni memang jarang nak bertanya terutama perkara yang melibat teknikaliti dan saya pun tak nak kusutkan kepala anda dengan terma-terma yang selalu digunakan pihak bank. Tetapi perkara asas yang saya nak anda semua tahu adalah, setiap ASB loan anda yang telah lulus akan ada caj-caj pengurusan dan lain-lain bergantung kepada Bank itu sendiri. Biasanya caj-caj ini tidaklah begitu besar tapi adalah lebih baik anda tanya dan tahu apa yang anda bayar. Kedua, perkara ini sangat penting iaitu kadar bunga/faedah yang dikenakan kepada pinjaman anda itu tadi. Setiap bank yang menawarkan ASB loan ini juga meletakkan kadar faedah yang berbeza-beza dalam anggaran 4.5-5.5%. Jadi sebelum anda buat pinjaman untuk ASB ni, cubalah ‘survey’ dulu setiap bank yang menawarkan produk ni.

Kenapa kadar faedah ni penting? Saya akan jelaskan dengan cara mudahnya begini, kadar dividen yang anda terima dari ASB katalah 8.5% untuk setahun. Anda buat ASB loan dari Bank ABC dengan kadar faedah sebanyak 5.2%. Jadi 8.5 – 5.2 = 3.2%, maka itulah kadar dividen yang akan anda perolehi untuk tahun itu. Perkara ini tidak akan berlaku terhadap mereka yang melabur secara tunai. Jika kadar dividen 8.5% maka mereka akan dapat dividen pun 8.5%. “Oh..makin sikitlah macam tu”, pada saya kira ok la tu sekurang-kurangnya masih ada keuntungan. Cuma apa yang anda patut bimbang adalah keadaan ekonomi negara.

Pulak? Apa kena mengena ASB loan dengan ekonomi negara?

ASB Loan dan Ekonomi Negara

Saya jarang tengok mana-mana pihak huraikan kaitan ekonomi negara kita dan ASB loan tapi hakikatnya dua perkara ni memang bersangkutan antara satu sama lain. Saya tekankan sekali lagi, ASB loan adalah pinjaman. Maka setiap apa jenis pinjaman yang kita ambil dari pihak bank pasti berkaitan dengan Bank Negara Malaysia (BNM). BNM adalah institusi kewangan yang mengawal selia setiap aktiviti perbankan di negara kita. BNM juga yang menentukan OPR ataupun Overnight Policy Rate yang seterusnya akan mempengaruhi BLR (Base Lending rate) sesebuah bank komersial dalam negara kita. Dah, jangan kusutkan minda anda, sebab cerita mudahnya itulah ‘benda’ yang menentukan kadar faedah untuk pinjaman setiap bank. Jadi ‘benda’ alah BLR ni tadi ataupun kadar faedah pinjaman bank ni akan meningkat sekiranya keadaan ekonomi kita jatuh ataupun mengalami kegawatan. “Apa kaitannya? Tak Nampak lagi ni”.

Kaitannya begini, kita ambil contoh situasi seperti di atas tadi. Anda buat pinjaman ASB dari Bank ABC sebanyak RM200k untuk tempoh 25 tahun. Kadar faedah yang ditetapkan oleh bank adalah 5.2%. Setiap tahun anda terima 8.5% dividen jadi tolak dengan kadar faedah pinjaman anda pun dapatlah 3.2% setiap tahun. Tiba-tiba ekonomi gawat dan kadar faedah dinaikkan bank menjadi 7.5% untuk tahun tersebut. Maka kadar dividen anda pun akan berkurang menjadi 1% sahaja. Itu untuk setahun, anda pula berhutang selama 25 tahun. Macam-macam boleh terjadi dalam 25 tahun tu. Pada 1998, apabila negara kita dilanggar kegawatan ekonomi, institusi perbankan negara ambil masa hampir 5 tahun untuk pulih. Sepanjang tempoh itu, kadar faedah berubah-ubah mengalahkan harga minyak petrol. Jadi kesimpulan saya disini, adakah anda mampu untuk membayar ASB loan anda setiap bulan selama 25-30 tahun sekiranya berlaku perubahan dalam kadar faedah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *