Appsaya adalah sebuah startup yang menjadi platform penghubung antara organisasi-organisasi yang menawarkan servis seperti bank, klinik, salon, dan sebagainya dengan pelanggan-pelanggan mereka dengan cara membantu dua pihak ini menguruskan temujanji mereka. Servis yang mereka tawarkan masih terlalu baru dan masih dalam pembangunan dan pembaikan. Namun begitu, idea baru dan segar ini pastinya berpotensi untuk bergerak lebih jauh ke hadapan memandangkan ia akan membantu meningkatkan tahap komunikasi antara sesuatu bisnes dengan pelanggan.
Penubuhan
Mamadou Ndiaye, pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Reservos Group, adalah individu yang bertanggungjawab mengasaskan Appsaya. Beliau pada awalnya memulakan idea aplikasi yang holisitik ini di negara asalnya, Perancis. Dengan fungsi yang sama, aplikasi tersebut dilancarkan dengan nama iReservos di sana.
Appsaya telah dilancarkan secara rasmi di laman rasmi Facebook mereka pada tanggal 5 Oktober 2015. Sehingga hari ini, syarikat ini mensasarkan untuk menarik pengguna-pengguna dari Malaysia dan Singapura.
Syarikat ini bakal melangkah setapak maju ke hadapan dalam menawarkan servis yang lebih baik setelah terpilih untuk mengikuti program JumpStart anjuran Hong Leong Islamic bank yang bertujuan memberi pendidikan dan galakan kepada golongan usahawan belia yang inovatif. Peluang ini pastinya telah memberikan mereka peluang untuk memperbaik servis mereka, sekaligus menguntungkan pengguna.
Platform Yang Digunakan
Pada awal pelancarannya di Malaysia, Appsaya beroperasi melalui laman web mereka, www.appsaya.com. Di laman web ini, pemilik-pemilik bisnes boleh mendaftar untuk mula menggunakan Appsaya. Setelah selesai mendaftar, pihak Appsaya akan menawarkan sesi latihan di mana mereka menghantar wakil kepada syarikat anda untuk latihan secara personal.
Untuk pengguna dari kalangan pelanggan pula, Appsaya telah menubuhkan satu aplikasi telefon pintar dengan nama yang sama. Namun begitu, aplikasi ini masih belum lengkap penubuhannya. Tetapi, pengguna Android sudah boleh mula memuat turun aplikasi ini di Google PlayStore secara percuma. Anda hanya perlu meluangkan beberapa minit untuk mendaftar dan mula menggunakan aplikasi ini. Setelah mendaftar, apa yang anda perlu lakukan hanyalah menetapkan lokasi anda seterusnya memilih kategori servis yang anda mahukan yang mencecah sehingga 20 kategori dan mula menetapkan temujanji!
Ciri-Ciri Dan Pelan Yang Ditawarkan
Walapun baru mencecah usia setahun, Appsaya mempunyai ciri-ciri seakan pakar. Pemilik perniagaan boleh mengurus dan mengawal selia perkhidmatan mereka dengan mudah dengan adanya papan pemuka (dashboard) yang akan memaparkan setiap perincian penting bisnes mereka sekaligus mewujudkan servis yang lebih efisien.
Jika anda menawarkan khidmat pembelajaran, anda boleh menyusun jadual dengan ciri penjadualan kelas yang ada. Ciri ini akan membenarkan anda untuk mengadakan kelas dan pelanggan/pelajar boleh mendaftar dengan senang. Ciri ini juga dilengkapi senarai kehadiran. Jadi, mudah untuk anda mengetahui dan merekod kehadiran pelanggan/pelajar anda.
Untuk meningkatkan lagi hubungan yang baik dengan pelanggan, pemilik bisnes mempunyai akses untuk membuat profail pelanggan-pelanggan dengan data yang mereka ada. Mereka bahkan boleh menambah gambar pelanggan pada profail tersebut. Selain itu, Appsaya juga menawarkan ciri pemasaran melalui emel dan anda bebas memilih templat emel untuk digunakan untuk menghantar mesej kepada pelanggan-pelanggan anda.
Anda boleh menikmati setiap dari ciri ini dengan membayar hanya RM 280 sebulan. Pelan ini akan memberi anda akses tanpa had kepada ciri-ciri tersebut. Bukan itu sahaja, pelan ini membenarkan sehingga 5 pengguna sekaligus, seterusnya memudahkan lagi penyeliaan. Namun begitu, jika anda mempunyai keraguan, anda boleh mencuba Appsaya secara percuma di mana anda dibenarkan untuk menetapkan sehingga 15 temujanji dalam sebulan.
Dari sisi faedah untuk pengguna yang menjadi pelanggan pula, mereka boleh menetapkan temujanji pada bila-bila masa, di mana sahaja dengan mudah memandangkan setiap temujanji boleh ditetapkan secara online. Pelanggan juga akan diberi akses untuk melihat waktu yang tersedia untuk mereka dengan adanya kalendar yang komprehensif, memberikan kemudahan untuk mereka memilih waktu yang bersesuaian. Bukan itu sahaja, setiap pelanggan juga akan mendapat mesej peringatan melalui SMS tentang temujanji mereka bagi mengelakkan mereka terlupa atau terlepas temujanji.
Kesimpulan
Dengan setiap ciri dan servis yang mereka tawarkan, pengguna pastinya teruja dan sudah tidak sabar untuk menggunakan servis mereka yang pastinya akan memudahkan urusan setiap individu.