“Aku ingat nak berniaga kecil-kecilan la, dapat juga cover duit belanja. Tapi masalahnya modal tak ada dan tak tau sebarang bisnes modal kecil.”
Ini adalah sebahagian dialog yang tipikal kedengaran dikalangan rakyat Malaysia terutamanya di kalangan pekerja berpendapatan rendah. Malangnya impian ini biasanya hanya akan jadi topik perbualan semata-mata kerana dibelenggu masalah modal. Di sini saya akan kongsikan beberapa jenis-jenis bisnes yang memerlukan modal yang kecil dan pasti mampu dibuat oleh setiap orang. Selebihnya bergantung kepada kerajinan dan semangat masing-masing kerana kayu ukur kejayaan sesuatu bisnes itu bukanlah pada modal yang besar tetapi merangkumi pelbagai aspek seperti perancangan, pemasaran, masa yang sesuai dan macam-macam lagi.
Bisnes modal kecil 1 – Sarapan pagi
Ini adalah jenis bisnes tradisional yang sangat normal di negara kita. Apa yang menarik tentang bisnes sarapan pagi ini adalah ianya kalis persaingan. Kalau kita perhatikan, bisnes sarapan pagi ini sangat banyak di Malaysia terutamanya di kawasan bandar tetapi peniaga-peniaga ini masih mampu membuat jualan yang tinggi walaupun kadar persaingan yang agak tinggi. Kadang-kadang tu sampai 5-6 gerai yang menjual sarapan berdekatan antara satu sama lain, tapi belum pukul 9 pagi semua dah habis licin. Modal untuk memulakan bisnes ini juga sangat rendah dan boleh diminimakan mengikut kemampuan modal masing-masing. Anda boleh memulakan bisnes ini hanya dengan berbekalkan RM100 sahaja sebenarnya, kerana kebanyakan perkakasan yang perlu digunakan anda boleh gunakan sahaja yang memang sedia ada di rumah masing-masing seperti periuk, kuali, dapur dan tempat menyimpan makanan.
Tempat untuk meniaga juga tak perlukan modal yang besar. Kalau diperhatikan di sesetengah tempat, peniaga sarapan pagi ni kadang-kadang cuma buka bonet kereta sahaja dan meja. Bisnes jenis ini juga adalah jenis bisnes tunai yang mana anda akan dapat pusing modal dengan lebih mudah kerana hasil jualan akan dapat tunai setiap hari. Apa yang penting adalah pengurusan kewangan yang betul. Jangan terkejut kalau saya katakan ada bisnes sarapan pagi ni mampu memberikan jualan sekitar RM 500-1000 sehari. Wow!!!…banyak bukan?
Bisnes modal kecil 2- Bisnes dropship online
Sejak kebelakangan ini dunia bisnes digegarkan dengan jenis perniagaan baru iaitu bisnes online. Terma ‘dropship’ ini juga sebenarnya baru-baru ni sahaja kedengaran. Dalam banyak-banyak jenis bisnes modal kecil yang ada dalam dunia ni, dropship adalah yang paling minima modalnya ataupun boleh jadi tiada modal langsung kerana anda hanya menjual barangan bagi pihak orang lain tanpa anda perlu keluarkan modal untuk membeli barangan yang nak dijual.
Apa yang anda perlukan hanyalah jaringan internet, laptop/telefon pintar dan marketing skill yang tinggi. Konsepnya anda perlu menjadi ejen untuk menjual produk-produk syarikat tertentu kemudian buat jualan. Setelah dapat order dari pelanggan anda hanya perlu sampaikan order tersebut kepada tuan punya produk. Jadi kata mudahnya anda hanya jadi orang tengah. Pos barang pun tak perlu. Setelah itu barulah komisyen anda dikira berdasarkan bilangan dan harga produk yang berjaya anda jual.
Bisnes dropship ini secara teknikalnya sangatlah mudah tapi tidak ramai yang berjaya kerana tidak pandai memasarkan produk. Walau bagaimanapun, saya sendiri pernah melihat peniaga-peniaga dropship ni yang berjaya mendapat jualan ratusan ribu ringgit sebulan terutamanya kaum wanita. Jadi kalau anda jenis yang pandai marketing dan mempunyai PR yang bagus, saya rasa bisnes dropship ini boleh anda cuba praktikan.
Bisnes modal kecil 3 – Bisnes barang basah
Barangan basah seperti ikan, sayur dan ayam merupakan barangan keperluan pengguna. Barangan seperti ini wajib dibeli setiap hari dan disebabkan itu permintaannya sangat tinggi. Saya sendiri pernah membantu seorang rakan ketika masih belajar di university, menjual ikan di tepi jalan. Jangan terkejut hasil jualan setiap hari mencecah RM2000 – lagi pula kalau hari hujung minggu, memang laris. Untuk anda yang mahu cuba-cuba dengan bisnes ini, modal permulaan sebenarnya tidaklah besar, yang penting ada kenderaan sendiri (kereta pun boleh).
Modal untuk perkakasan sekitar RM100-200 sahaja bergantung kepada sebesar mana anda mahu bermula. Selebihnya anda hanya perlu keluarkan modal untuk beli barang basah dari jeti atau kebun secara terus kerana dengan cara inilah anda dapatkan keuntungan dengan membeli pada harga yang murah dan menjualkan semula pada harga yang tinggi (harga pasaran). Walau bagaimanapun, harus diingat satu kekurangan dalam bisnes ini iaitu barangan yang anda jual adalah barangan segar yang mudah rosak. Risiko untuk anda rugi akibat cara penyimpanan yang tidak betul dan juga lebihan jualan yang tidak habis agak tinggi. Jadi nasihat saya kalau nak mencuba biarlah dengan kuantiti yang sedikit dahulu untuk mengelakkan kerugian yang besar.
Bisnes modal kecil 4 – Bisnes minuman dan makanan ringan
Pernahkah anda melihat peniaga-peniaga kecil yang menjual minuman dan makanan ringan depan sekolah? Nampak lekeh bukan tapi percayalah saya cakap mereka ni buat untung besar setiap hari dengan modal yang sangat kecil. Kerjanya pun mudah, tak perlu cari pelanggan susah-susah sebab pelanggan kecil mereka sangat setia membeli daripada mereka setiap hari. Produk-produk makanan ringan ni boleh dibeli secara borong di beberapa pasaraya borong seperti NSK. Anda akan dapat harga yang sangat murah dan boleh mendapat keuntungan mudah dengan produk-produk makanan ringan ini.
Selain itu, jualan air minuman juga sangat laris kalau berniaga depan sekolah. Tambahan pula kalau kita tengok trend budak-budak sekolah zaman sekarang semuanya mak ayah bagi duit belanja yang banyak kadang-kadang lebih daripada kita yang bekerja ni. Tempoh berniaga juga tidak lama untuk jenis bisnes seperti ini. 3 atau 4 jam sudah boleh kemas dan pulang ke rumah. Walaupun begitu ada satu kekurangan utama untuk perniagaan ini, iaitu waktu cuti sekolah. Kalau cuti sabtu dan ahad tu tak apa la, tapi kalau cuti hujung tahun yang hampir 2 bulan tu anda kena ada alternatif lain semasa sekolah bercuti.
Bisnes modal kecil 5 – Produk kecantikan dan kesihatan Wanita
Kenapa hanya produk untuk wanita bukan untuk lelaki? Kerana orang lelaki memang sifatnya kedekut sikit untuk beli produk-produk sebegini berbanding wanita sebab itu lah anda boleh tengok macam mana beberapa pengasas produk kecantikan dan kesihatan ini boleh jadi jutawan dalam masa yang singkat. Kaum wanita ni memang tak segan-segan nak berbelanja demi kecantikan dan kesihatan mereka (sebab suami dia yang kena bayar).
Oleh sebab itu anda kena ambil peluang ni dan cuba jual produk-produk seperti ini. Bagi mereka yang baru nak bermula, anda boleh beli produk-produk ini secara borong dari pengeluar terutamanya dari Thailand dengan harga yang berganda murah dari harga pasaran (sebab tu boleh jadi jutawan). Pilihan kedua bagi yang ada modal yang lebih sedikit, anda boleh hasilkan produk anda sendiri dengan jenama anda sendiri di kilang-kilang OEM dalam Malaysia.
Sebab itulah kita tengok makin hari makin banyak produk baru di pasaran tapi sebenarnya dibuat di kilang yang sama. Kalau tak silap saya dalam RM10k pun anda sudah boleh buat produk sendiri. Walau bagaimanapun, perlu juga dipastikan bahawa produk yang anda nak jual tu mendapat kelulusan badan-badan kerajaan yang terlibat. Jangan nanti ada pula yang jatuh sakit makan produk anda.
5 thoughts on “Bisnes Modal Kecil: 5 Bisnes Idea Untuk Anda”
teima kasih admin sudi berkongsi idea
rara bersalah pulak saya jika tak ucap terima kasih
kerana membacanya secara percuma.. moga kebajikan berpanjangan
amin.aminn
terima kasih diatas idea yg. and sampaikan…moga pahala Dan rezeki anda berpanjangan.amin.
Tq admin..moga murah rezeki admin
terima kasih admin.berkongsi idea.
Sy baru menjalankan perniagaan sarapan pagi menjual nasi lemak.. Lontong.. Soto dan mee rebus.. Kawan cina sy bagi ruang sewa stall dikedai dia.. So sy berminat untuk mencuba dlm bisnes kecil kecilan ni..doakan sy ye admin.. Semoga perjalanan bisnes sy lancar dan maju.. Amin… Tq admin atas coretan ini. Sgt bermanfaat.