Bisnes Printing: Potensi Besar Untuk Usahawan

Bisnes Printing

Di antara kebanyakan jenis-jenis perniagaan yang terdapat di Malaysia, bisnes printing boleh dikatakan antara yang ‘underated’ atapun kurang diberi perhatian. Biasanya usahawan-usahawan bisnes printing ni bermula secara tidak sengaja dan akhirnya mereka tersangkut dengan bisnes ini sehingga ada yang berjaya membina empayar bisnes printing pada skala besar yang tidak pernah kita terfikir akan berlaku.

Antara bisnes printing yang berjaya menjadi satu jenama yang gah dalam bidang perniagaan adalah syarikat Print Expert. Saya sendiri terkejut dengan kemajuan yang dicapai jenama ini, apabila baru-baru ini saya menaiki pesawat melalui lapangan terbang KLIA2 dan melewati sebuah premis di dalam kompleks KLIA2 yang tertulis dengan besar dan gah PRINT EXPERT. Saya masih ingat beberapa tahun lalu ketika masih belajar, saya selalu berkunjung ke kawasan seksyen 7 Shah Alam kerana mempunyai ramai kenalan yang belajar di Uitm Shah Alam.

Disebabkan kawasan seksyen 7 ni ramai golongan pelajar, maka banyak kedai-kedai yang menyediakan khidmat printing di kawasan tersebut, antaranya adalah Print Expert. Bermula dari sebuah premis yang hanya menumpukan khidmat printing kepada pelajar, siapa sangka kini perniagaan mereka telah melonjak maju dalam kadar yang agak pantas dan konsisten.

Namun, saya bukanlah hendak bercerita tentang syarikat Print Expert ini, tetapi lebih kepada keseluruhan industri bisnes printing yang ada di negara kita. Apabila bercakap tentang bisnes printing, selalunya kita hanya akan terfikir bahawa bisnes ini cuma melibatkan proses printing sebuah kertas A4 kosong yang berharga tidak lebih dari 20sen. Oleh itu, bisnes ini selalu dianggap tidak berapa menguntungkan dan tidak berbaloi untuk diceburi. Anda silap besar dan saya akan berikan beberapa contoh potensi jenis bisnes yang bermula dengan bisnes printing ini.

4 Potensi Besar dalam Bisnes Printing

Bisnes Penerbitan buku dan majalah

Walaupun buku sudah tidak lagi menjadi satu-satunya wadah bahan bacaan pada zaman ini, namun ianya masih lagi kekal relevan. Kemunculan syarikat-syarikat baru dalam penerbitan buku dan majalah telah membuktikan industri ini masih diperlukan di dalam Malaysia dan juga di arena global. Bukan setakat itu, institusi-institusi pendidikan negara seperti sekolah dan universiti masih lagi menjadikan buku sebagai medium penghantar maklumat dan ilmu yang utama. Selain itu, adaptasi-adaptasi novel tempatan ke layar perak dan drama-drama TV juga telah menaikkan jualan novel-novel karangan penulis tempatan.

Mungkin ada yang masih lagi skeptikal dengan potensi pasaran bahan bacaan seperti novel, jadi saya selalu ingatkan mereka tentang kejayaan jualan novel-novel luar negara seperti Lord of the Ring dan Harry Porter yang mencecah angka jutaan salinan seluruh dunia. Tidak mustahil perkara yang sama boleh berlaku di dalam Malaysia kerana saya sudah melihat trend ini semakin ketara, dengan jumlah jualan novel-novel dan buku-buku tempatan yang semakin meningkat setiap tahun. Jadi, apabila perkara begini berlaku, syarikat-syarikat penerbitan yang mencetak buku-buku ini pastinya tidak menang tangan nak memenuhi tuntutan pasaran.

Bisnes Printing Banner & Bunting

Ramai yang tidak menyedari bahawa kebanyakan syarikat-syarikat besar yang membuat banner dan bunting sebenarnya bermula sebagai sebuah syarikat bisnes printing kecil-kecilan. Ini adalah potensi terbesar yang boleh berlaku di dalam bisnes printing. Tidak boleh nak dinafikan bahawa permintaan dalam perkhidmatan banner dan bunting ini sangatlah besar dan konsisten. Segala macam industri pastinya memerlukan khidmat mereka termasuklah daripada pemasaran produk, iklan perkhidmatan, program komuniti dan juga politik.

Di samping itu, kehadiran peniaga-peniaga kecil saban hari yang memerlukan alat bantu dalam pemasaran produk mereka pastinya akan mencari banner dan bunting sebagai perkara pertama menambahkan lagi permintaan terhadap perkhidmatan ini. Di dalam bisnes banner dan bunting ini, agak pelik kalau anda tidak bermula dengan bisnes printing terlebih dahulu kerana itu adalah asas dan kemahiran utama yang diperlukan untuk membuat banner dan bunting. Jadi sebaiknya jika anda ingin melibatkan diri dalam bisnes ini, hadamlah terlebih dahulu asas-asas dalam teknologi percetakan.

Bisnes printing untuk sektor kerajaan

Ramai yang sedia maklum bahawa sektor kerajaan itu sangat luas dan mempunyai pelbagai rangkaian jabatan dan juga agensi. Di dalam setiap jabatan dan agensi kerajaan yang sedia ada pastinya bahan cetak yang diperlukan adalah tinggi dan berterusan. Itu belum lagi kita kira dengan kementerian pendidikan yang sememangnya memerlukan jumlah bahan cetak yang cukup tinggi seperti buku-buku teks sekolah dan juga buku-buku rujukan. Ini adalah satu peluang yang terbuka luas untuk pengusaha-pengusaha bisnes printing menyertai tender-tender dan kontrak-kontrak terbuka yang ada setiap tahun. Kadang-kadang kita nampak beberapa kedai printing yang seperti tidak maju dan kurang pelanggan, tetapi masih mampu bertahan bertahun-tahun. Bukan setakat itu, keuntungan mereka juga agak lumayan.

Apa rahsianya???

Rahsia mereka adalah kontrak kerajaan. Sebab itu mereka tidak terlalu fokus kepada bisnes untuk orang awam di kedai mereka,  kerana lebih menumpukan kepada kontrak-kontrak kerajaan yang lebih menguntungkan dan lebih stabil. Tapi sebelum anda bercita-cita ingin masuk tender-tender dan kontrak kerajaan, pastikan dahulu anda mempunyai pengalaman dan telah menjalankan bisnes printing ini dalam satu tempoh masa yang bersesuaian. Ini kerana pengalaman dan latarbelakang perniagaan anda akan dinilai terlebih dahulu sebelum apa-apa kontrak dianugerahkan kepada syarikat anda.

Bisnes Printing untuk label dan pembungkusan produk

Setiap produk yang ada di pasaran wajib dibungkus di dalam bungkusan yang sesuai dan telah ditetapkan beberapa garis panduan untuk label dan maklumat produk. Mungkin anda tidak terlintas di fikiran bahawa segala bungkusan sama ada plastik, kotak ataupun pelekat bermula daripada bisnes printing. Ada beberapa syarikat bumiputera yang telah berjaya menjadi sebuah syarikat pembungkusan produk daripada sebuah bisnes printing biasa. Ini menunjukkan bahawa potensi sebenar bisnes printing ini sangat luas dan tidak terhad kepada percetakan kertas A4 semata-mata. Di dalam industri pembungkusan produk, tidak hanya kaedah printing yang perlu diambil kira. Design dan grafik bungkusan juga antara aspek penting untuk menarik pelanggan. Justeru itu, anda perlulah melengkapkan diri dalam hal-hal sedemikian sekiranya berminat untuk terjun ke dalam lubuk industri ini.

Beberapa tahun kebelakangan ini, nampaknya industri pembuatan bungkusan dan label produk dalam skala kecil dan sederhana meningkat dengan positif. Hal ini didorong oleh tsunami produk-produk kesihatan dan kecantikan keluaran pengasas tempatan. Saya melihat peluang untuk industri ini sangatlah luas dan berpotensi untuk pergi lebih jauh sekiranya kualiti produk yang dihasilkan bermutu tinggi. Kerajaan juga banyak memberikan bantuan dan khidmat nasihat untuk usahawan-usahawan yang ingin menceburkan diri di dalam bisnes ini kerana kita masih kekurangan pengusaha dalam skala yang kecil dan sederhana.

Kesimpulannya

Secara keseluruhan, saya berpendapat bahawa dalam bisnes printing, ini adalah potensi terbesar yang patut direbut oleh pengusaha-pengusaha bisnes printing di Malaysia. Faktor peningkatan bisnes dalam talian kebelakangan ini akan terus mendorong permintaan tinggi di dalam bisnes pembungkusan dan pelabelan produk. Dari segi jentera dan mesin yang diperlukan juga telah dipermudahkan dengan adanya syarikat-syarikat pembuatan mesin dari China yang menawarkan harga yang murah dan mampu milik.

2 thoughts on “Bisnes Printing: Potensi Besar Untuk Usahawan

  1. Pada 5 tahun yg lalu, saya mulakan perniagaan printing saya amat seronok. Profit margin boleh katakan ok. Dlm 30-40%. Start tahun 2017 sehingga sekarang tahun 2018, makin kecik profit margin. Mungkin banyak competitor yg mula muncul dan buang harga utk dapatkan job. Bagi saya, agak susah utk survive dah. Bisness ni tak macam dulu2

    1. Competitor mmg sentiasa banyak. Tu sebab kita kene sentiasa perbaiki service dan USP busines kita. Activekan social media, dapatkan lebih testimonial dari client untuk nampak lebih baik daripada competitor walaupun mahal sikit.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *