“Rumahku syurgaku” merupakan ungkapan cliché yang menjadi impian semua orang. Rumah idaman merupakan salah satu wish list atau keinginan semua orang terutama mereka yang sudah berkeluarga. Ada juga yang mahu jadikan pembelian rumah sebagai pelaburan dan aset. Hakikatnya, beli rumah tidak sama macam beli barang atau pakaian di pasaraya. Banyak perkara dan cara beli rumah yang perlu diambil kira. Terdapat fasa-fasa yang perlu dilalui oleh pembeli untuk menjadikan angan-angan mereka tercapai.
Oleh itu, sangat penting bagi anda mengetahui tentang perkara asas cara beli rumah dengan betul. Hal ini untuk elak sebarang masalah dan kerugian wang ringgit, masa dan tenaga. Jangan bimbang, walaupun beli rumah tidak mudah seperti beli baju, tapi tidaklah susah sangat sampai mustahil nak beli. Disini saya ringkaskan proses atau cara beli rumah kepada tiga fasa utama iaitu fasa pra-pembelian rumah, pembelian rumah dan fasa post-pembelian rumah
Cara Beli Rumah Yang Betul
Fasa Pra-pembelian rumah
Sebelum anda membuat keputusan untuk beli rumah ataupun sesuatu hartanah, anda perlulah membuat sedikit research dan beberapa penilaian. Fasa ini penting untuk tengok kehendak dan kemampuan seiring dengan kemampuan anda. Jangan terlalu kejar atau taksub dengan kehendak rumah idaman, kelak makan diri sendiri pula nak menghadap hutang piutang yang perlu dibayar.
Kewangan
Nak beli rumah, ada duit ke? Ada simpanan ke? Cukup ke simpanan tu? Itu soalan-soalan yang perlu diajukan kepada diri sendiri. Untuk beli rumah, anda bukan hanya perlu membayar harga rumah itu sahaja, anda perlu tahu kos-kos sampingan yang perlu sediakan. Terdapat beberapa pecahan bayaran lain yang perlu diambil kira seperti:
- Down payment merupakan bayaran awal yang perlu dibayar mengikut peratusan yang telah ditetapkan. Selalunya downpayment ialah 10% daripada harga rumah. Downpayment 10% = 3% Untuk booking + 7% Perlu bayar dalam masa yang ditetapkan
- Perjanjian jual beli atau Sales and Purchase Agreement (S&P). Selalunya jumlahnya lebih kurang 3% daripada harga rumah.
- Kos guaman dan duti setem. Segala urusan dan perjanjian jual beli rumah dan hartanah perlu disertakan perjanjian hitam putih sebagai bukti. Penting untuk kita mengupah khidmat guaman.
- Bayaran atau fee agen hartanah sebanyak lebih kurang 2.75%.
- Takaful pula untuk pastikan rumah tersebut boleh diwarisi oleh anak-anak ataupun pewaris sah anda jika berlaku sebarang kematian dan kemalangan kepada anda.
Setelah semua bayaran diambil kira dan dipertimbangkan, jangan buang masa. Buat pilihan rumah idaman anda dengan segera kerana harga rumah sekarang semakin lama semakin mahal. Maklumlah, tanah makin sikit dan kos sara hidup makin tinggi.
Pilhan Rumah
Duit dah ada, nak beli rumah yang macam mana? Seperti yang anda tahu, banyak jenis rumah yang terdapat di negara kita seperti rumah teres, kondominium, apartment ataupun bungalow. Untuk memilih rumah idaman anda, lokasi rumah tersebut sangat penting terutamanya bagi anda yang ingin tinggal pada jangka masa yang lama. Senang cerita, nak duduk sampai bila-bila. Untuk anda yang ingin jadikan rumah tersebut sebagai tempat persaraan dan jauh daripada kesibukan kota, mungkin akan memilih kawasan luar bandar.
Namun, bagi mereka yang ada komitmen di tempat kerja dan bandar, pasti akan memilih kawasan yang hampir dengan pejabat ataupun kawasan yang ada kemudahan awam. Ye lah senang untuk anda berulak alik, jimat duit minyak dan kurang sikit stress nak hadap jalan sesak. Apapun pilihan anda, cari dulu specifikasi dan projek rumah yang sesuai untuk anda. Pencarian boleh di buat pada website seperti Mudah, PropertyGuru dan lain-lain. Tepuk dada tanya selera.
Pinjaman perumahan
Fasa ini mungkin menjadi pilihan sesetengah pihak. Namun, zaman sekarang ni susah nak dapat rumah harga milik dan menjadikan fasa ini sebagai keperluan sekarang. Oleh itu, pihak bank ada menyediakan skim pinjaman untuk biaya rumah anda. Tapi kena beringat, pihak bank atau agensi berkenaan ada beberapa syarat dan kriteria tertentu sebelum menamakan anda sebagai peminjam. Nilai dulu tahap dan kelayakan anda sebelum membuat pinjaman. Dapatkan nasihat daripada pakar dan fahami dahulu syarat-syarat untuk proses pinjaman perumahan.
Fasa Pembelian Rumah
Apabila anda yakin dengan kemampuan dan pilihan rumah idaman anda. Tanpa berlengah, dapatkan rumah idaman anda sekarang. Harus diingat, fasa ini juga mempunyai proses yang agak rumit dan memerlukan masa dan tenaga anda.
Fahami dokumen perjanjian jual beli rumah dan pembiayaan pinjaman perumahan.
- Perjanjanjian Jual Beli Rumah (Sales and Purchase – S&P) adalah melibatkan perjanjian utama antara pembeli dan penjual. Anda perlu meneliti setiap butir tentang infrastruktur rumah seperti saiz, harga, jenis rumah dan lain-lain. Anda perlu mengetahui hak dan tanggungjawab terhadap pemilikan rumah tersebut. Dapatkan bantuan peguam sekiranya ada perkataan atau istilah yang kurang diifahami.
- Pembiayaan Pinjaman Rumah pula merupakan dokumen rasmi pinjaman yang anda buat daripada bank atau agensi. Butir-butir seperti jumlah pinjaman, jumlah bayaran balik untuk setiap bulan dan interest yang kena bayar perlu dibaca dengan betul.
Lawatan ke lokasi perumahan. Langkah ini untuk mengelakkan sebarang penipuan atau masalah pada rumah yang bakal dibina.
Simpan segala dokuman yang terlibat dalam proses pembelian rumah.
Fasa Post-pembelian
Periksa segala dokumen/notis
Anda perlu dapatkan kunci rumah (termasuk bilik), Notis Milikan Kosong atau Vacant Possession (VC). Notis ini dikeluarkan oleh pemaju dengan perkara seperti:
- Arkitek: Perakukan bahawa banggunan tersebut telah siap sepenuhnya dilengkapi bekalan air dan elektrik.
- Pemaju: Perakukan dan memohon borang CCC daripada Pihak Berkuasa Tempatan
- Pembeli: Membayar semua wang yang dikehendaki dan tertakluk pada perjanjian.
Pastikan semua dokumen dan notis telah dilaksanakan dan mematuhi segala terma dan syarat. Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan atau Certificate of Completion & Compliance (CCC) juga perlu diperiksa. CCC merupakan satu perakuan mengesahkan bahawa rumah atau banggunan yang dibina adalah layak dan selamat diduduki. CCC diperakukan oleh arkitek, pemaju dan disokong pihak berkuasa tempatan.
Periksa keadaan rumah
Dah dapat kunci, notis VC dan CCC, periksa rumah dan kawasan sekitarnya. Pastikan rumah yang anda miliki sama mengikut specifikasi yang ditetapkan dalam perjanjian. Jika berlaku sebarang kerosakan pada struktur rumah dalam tempoh 24 bulan selepas notis pemilikan dikeluarkan, pemaju perlu membaiki segala kerosakan dan menanggung kos tersebut.
Kesimpulan tentang cara membeli rumah
Akhir sekali, tahniah kerana berjaya memiliki rumah idaman anda. Kesimpulanya, beli rumah memang agak rumit prosesnya, sama seperti cara memulakan perniagaan online. Namun tak bermakna anda tidak mampu mengharunginya. Anda perlu tahu cara beli rumah yang betul dan buat persiapan rapi. Elakkan diri daripada sebarang penipuan seperti projek terbengkalai, pemaju lari, rumah tidak selamat diduduki dan sebagainya. Jika berlaku sebarang kelewatan untuk rumah anda, buat aduan dan tuntut hak anda sebagai pembeli.