Perniagaan atas talian atau lebih dikenali sebagai perniagaan online telah menjadi trend atau keperluan perniagaan pada masa kini. Berada dalam era ‘semua dihujung jari’ menjadikan perniagaan online salah satu cara mendapatkan duit poket. Peningkatan kos sara hidup harian pasti memaksa ramai orang untuk mencuba nasib dalam bidang perniagaan. Adakah perniagaan online ini sangat mudah macam orang cakap? Apakah cara memulakan perniagaan online? Disini saya akan memberi langkah asas kepada mereka di luar sana yang mahu berjinak jinak dalam dunia perniagaan online atau Online Business.
Cara Memulakan Perniagaan Online
Langkah 1: Produk atau Perkhidmatan
Produk boleh dikategorikan sebagai benda atau barang yang akan anda jual seperti baju, makanan atau peralatan. Manakala, perkhidmatan pula adalah kemahiran yang anda boleh berikan kepada pelanggan dan dijadikan perniagaan. Perkhidmatan atau servis termasuklah photographer, makeup artist ataupun wedding planner. Sebagai peniaga atau usahawan, sesuatu perniagaan akan bermula dengan adanya produk atau perkhidmatan yang ditawarkan kepada pelanggan. Dalam bahasa mudah, tiada produk tiada perniagaan.
1.1 Fikirkan produk atau perkhidmatan anda
Sebelum memulakan sesuatu perniagaan, tanya dulu diri anda:
- Apa yang aku nak jual atau nak buat bisnes apa?
- Penting ke produk atau perkhidmatan aku?
- Apa kelebihan bisnes ini?
- Yang paling penting, ada ke orang nak beli?
Soalan-soalan seperti ini perlu difikirkan sebelum anda masuk ke dunia perniagaan. Ini merupakan langkah paling utama untuk menjadi usahawan perniagaan online.
1.2 Market Research
Perniagaan bukan perkara yang boleh dibuat sambil lewa. Sebagai peniaga kita mesti nak keuntungan yang tinggi. Kajian pasaran atau market research sangat penting untuk dapatkan ilmu dan pengetahuan tentang kehendak pasaran kini. Bukan itu sahaja, tujuan kajian pasaran semasa juga untuk mengenal pasti masalah atau keperluan pengguna sekarang. Hasil kajian dapat membantu anda membuat pilihan perniagaan yang tepat dan sesuai dengan pasaran.
1.3 Cetuskan masalah dan idea penyelesaian
Contoh masalah yang paling mudah, kebanyakkan wanita di Malaysia memegang gelaran ibu yang bekerjaya. Mereka mempunyai jadual kerja yang sibuk dan kurang masa untuk membeli barang keperluan rumah. Masa yang mereka ada agak terhad. Penyelesaiannya adalah perkhidmatan membeli barang-barang dapur secara online seperti yang telah dilakukan oleh syarikat besar Tesco. Ibu-ibu hanya perlu memilih barang dapur pada website dan barang-barang tersebut akan dihantar sampai ke rumah.
Selain itu, sebagai permulaan cuba wujudkan sesuatu produk yang belum wujud atau kurang dipasaran. Contohnya, kita dapat lihat banyak peniaga sekarang cuba mengolah makanan tradisi kepada sesuatu yang baru seperti pisang goreng cheese. Ada juga diantara mereka yang menyediakan perkhidmatan food delivery kepada staf-staf di pejabat. Makanan tersebut termasuk makanan tengah hari ataupun makanan kudapan. Bagi ibu bapa yang mempunyai bayi pasti mempunyai masalah menyediakan makanan homemade yang sesuai dan sihat untuk anak mereka.
Kini, ada usahawan diluar sana yang menyediakan makanan bayi yang sihat dan tahan lama. Produk dan perkhidmatan ini agak baru dan kurang dilakukan.
1.4 Perniagaan Online TANPA MODAL
Kepada mereka yang tiada modal, produk dan kemahiran. Anda masih boleh melakukan perniagaan secara online. Malah cara perniagaan ini boleh dilakukan secara sambilan tanpa mengganggu kerjaya utama. Cara ini lebih dikenali sebagai Affliate dan Dropship. Kedua-dua cara ini boleh dikatakan sebagai orang tengah atau ejen pemasaran.
Cara Affiliate
Affliate adalah menjual produk atau perniagaan orang lain dengan hanya membuat promosi melalui link yang diberikan khas kepada kita. Jika ada orang membuat pembelian melalui link yang diberikan, komisen akan diberikan.
Anda perlu mendaftar kepada perniagaan yang sediakan platform affiliate. Contoh platform/syarikat yang sediakan peluang affiliate:
- Lazada – https://www.lazada.com.my/lazada-affiliate-program/
- Amazon – https://affiliate-program.amazon.com/
Kemudian, anda akan diberikan affiliate ID atau nombor pengenalan affiliate. Anda juga akan diberikan URL Link khas untuk anda. Melalui link ini, pihak syarikat tahu aktiviti perkongsian link anda. Apabila ada orang membuat pembelian melalui link tersebut, anda akan mendapat komisen mengikut peratusan yang telah ditetapkan. Pembayaran akan dilakukan melalui Paypal/Direct Debit.
Cara Dropship
Konsep Dropship adalah membuat promosi produk, menerima tempahan dan bayaran terus daripada pelanggan. Cara ini sangat mudah kerana anda tidak perlu memikirkan tentang barang dan penghantaran tempahan. Berikut adalah cara-cara untuk menjadi Dropshipper:
- Cari pembekal/perniagaan online/platform yang menawarkan perkhidmatan dropship. Cari sahaja pada Instagram, pasti banyak pembekal yang membuat kaedah ini.
- Contact dengan pembekal dan dapatkan persetujuan menjadi dropshipper untuk perniagaan mereka.
- Pembekal akan beri senarai produk dan harga untuk dropshipper.
- Buat promosi menerusi laman media sosial atau secara direct kepada kenalan ataupun rakan-rakan. Letak harga sendiri atau harga yang lebih daripada harga dropship.
- Jika ada orang yang nak beli, mereka perlu membuat tempahan dan bayaran terus kepada anda.
- Buat tempahan produk kepada pembekal. Pembekal sendiri akan menghantar barang kepada pelanggan.
Cara Barang 2nd Hand
Bagi pengumpul barang ataupun mempunyai barang-barang peribadi yang tidak mahu digunakan lagi. Anda boleh menjual barang-barang tersebut melalui laman web seperti Carousell dan E-bay. Selain mengelakkan pembaziran, anda boleh mendapatkan duit lebih. Namun, perlu diingat, barang tersebut mesti masih elok dan boleh digunakan. Cara ini mungkin tidak begitu menguntungkan, tapi tak salah jika nak mencuba.
Langkah 2: Platform dan Pemasaran
Anda sudah ada produk atau mahu jadi affiliate atau dropshipper. Langkah seterusnya adalah sediakan platform bagi tujuan pemasaran. Kalau orang tak tahu produk atau perkhidmatan kita wujud, macam mana orang beli? Pada pendapat saya, platform yang paling mudah, cepat dan tidak memerlukan kos adalah media sosial. Media sosial yang sangat popular dan trending kini seperti Instagram, Facebook, Twitter dan Youtube.
2.1 Guna akaun media sosial peribadi
Sebagai permulaan, gunakan laman media sosial peribadi ataupun akaun yang sedia ada. Hal ini kerana, akaun tersebut sudah mempunyai pengikut yang mungkin terdiri daripada kenalan, rakan-rakan dan ahli keluarga. Mulakan langkah pertama dengan memberitahu followers anda tentang perniagaan yang bakal anda jalankan. Cara ini akan memberi tanda tanya kepada mereka dan pasti ada diantara mereka yang bertanya mengenai perniagaan atau projek yang bakal anda lancarkan. Gunakan kreativiti anda untuk menghasilkan gambar yang cantik serta tagline yang tepat.
2.2 Wujudkan akaun rasmi
Dalam masa yang sama, buat akaun rasmi untuk produk yang akan dilancarkan. Jadikan nama akaun ini sebagai headline utama pada profil akaun peribadi anda. Melalui cara ini, pengguna laman sosial tersebut akan follow akaun tersebut. Kemudian, tiba masanya untuk anda melancarkan produk secara rasmi. Pastikan gambar dan penerangan untuk produk cantik, menarik dan jelas. Gambar yang unik, cantik dan eye catching senjata utama untuk menarik minat pelanggan. Sangat penting untuk gambar-gambar produk anda mendapat LIKE yang banyak. Jangan lupa gunakan kuasa hashtag (#) setiap info pada gambar.
2.3 Pemasaran dan Promosi
Sebagai permulaan, buat promosi bagi tujuan pengenalan dan pemasaran. Contohnya, berikan harga dan free gift untuk pelanggan yang terawal. Langkah ini mampu memberi pengenalan awal dan menarik minat pelanggan.
Setiap platform ada teknik dan cara promosi yang tersendiri. Cara promosi di Facebook mungkin tak sama dengan cara di Instagram. Oleh itu, anda perlu belajar cara membuat promosi dengan betul dengan platform yang sedia ada.
Kesimpulannya…
Kesimpulannya, ada banyak cara memulakan perniagaan online. Cara yang telah saya senaraikan adalah langkah asas yang perlu dibuat bagi mereka yang berminat menjalankan perniagaan online. Perkara paling penting, kenali kekuatan dan kemampuan kita sendiri untuk memulakan perniagaan. Jika anda berniat untuk menjadikan perniagaan online sebagai lubuk rezeki utama jangka masa panjang anda perlu mempunyai produk atau perkhidmatan anda sendiri. Jika hanya ingin mendapatkan duit tambahan secara sambilan, konsep affiliate dan dropship adalah paling tepat untuk anda. Jangan terikut ikut dengan trend dan cuba cipta identiti perniagaan anda sendiri.
One thought on “Cara Memulakan Perniagaan Online”
terima kasih atas perkongsian.