Tabiat menyimpan duit merupakan satu perkara yang baik namun sangat susah nak buat. Bak orang kata ‘sikit-sikit lama lama jadi bukit’? Bunyi macam senang kan, realitinya bukan senang nak buat terutamanya melibatkan duit. Nak habiskan duit dalam masa satu hari petik jari sahaja, sebaliknya nak simpan RM1 dalam satu hari punyalah susah. Kebanyakkan orang mungkin ada niat nak simpan duit, namun tak tahu cara menyimpan duit dengan bijak.
Hal ini berlaku kerana tabiat ini semakin kurang dilakukan apabila kita semakin besar. Masa kita kecil dahulu, saya yakin kebanyakkan daripada kita ada tabung sendiri. Tapi mengapa semakin usia meningkat, tabiat ini tidak diamalkan dalam kehidupan seharian. Ada yang melihat amalan ini seperti kebudak-budakan namun mereka tidak sedar akan kebaikannya pada masa hadapan. Kita perlu ingat, malang tidak berbau dan panas tidak sampai ke tengah hari. Kita tidak boleh predict masa hadapan.
Cara menyimpan duit dengan bijak
Letak Mindset dan Attitude anda
Sebelum mulakan penyimpanan, seperti memulakan perniagaan online yang laris, perkara pertama yang perlu dibuat adalah tetapkan mindset atau mode simpan. Untuk buat sesuatu yang bukan kebiasaan, anda perlu kuatkan keinginan dan keazaman diri sendiri. Letakkan gol atau tujuan asal anda untuk simpan duit seperti hendak pergi melancong, nak beli rumah, ataupun simpanan masa hadapan. Gol atau tujuan sangat penting bagi anda membuat langkah seterusnya. Mindset mesti disertakan dengan attitude, disiplin dan komitmen.
Attitude adalah sikap dalam menjalankan misi untuk simpan duit dengan mewajibkan diri anda melakukan tabiat tersebut. Nak capai sesuatu mesti ada disiplin termasuklah menyimpan duit. Buat komitmen sendiri seperti komitmen anda membayar sewa rumah dan duit kereta untuk setiap bulan. Bila anda letakkan amalan simpanan sebagai komitmen penting, anda pasti tak akan abaikan atau memberi sebarang alasan untuk tak simpan duit.
Apabila ada kesemua sikap dan elemen ini anda akan buat langkah kecil seperti sediakan tabung dan letakkan target simpanan. Usaha dan azam yang kuat akan dibayar dengan hasil simpanan anda yang banyak. Siapa tak suka?
Sesuaikan jumlah simpanan anda
Simpanan Kecil
Kesalahan sering dilakukan oleh orang ramai dalam menyimpan adalah, letak target yang begitu tinggi ataupun memulakan simpanan dengan kadar yang tinggi. Bila ada masalah atau kekurangan pada duit yang sedia ada, mereka lebih cenderung lupakan simpanan tersebut. Oleh itu, saya cadangkan untuk simpan duit anda dengan kadar rendah dan tidak bebankan perbelanjaan anda. Contohnya, mulakan aktviti menabung dengan jumlah serendah RM1 atau RM5. Tambahan pula, anda mungkin boleh simpan duit mengikut warna duit. Sediakan beberapa tabung atau bekas duit yang berbeza dan labelkan bekas tersebut. Ini memudahkan anda untuk menabung. Trick ini sangat berkesan kerana jumlahnya yang tidak begitu besar dan warna wang kertas yang berbeza akan bantu anda buat amalan ini.
Lebih bagus kalau tabung atau bekas duit itu tidak mudah dibuka seperti tabung yang tertutup atau bekas yang ada lubang kecil. Cara ini akan elakkan tangan anda untuk capai duit-duit tersebut dengan mudah. Anda perlu simpan duit hingga tabung itu penuh dan berat. Kemudian baru anda buka atau pecahkan tabung itu. Saya juga dengar pengalaman daripada rakan-rakan saya yang ada tabung simpanan berwarna gelap atau hitam. Jadi duit-duit simpanan mereka tak akan kelihatan dan elakkan diri mereka ambil duit dengan cepat bila tabung penuh. Kaedah ini sangat membantu kerana bila dia tidak tahu atau lihat wang kertas itu, dia akan terus simpanan dengan mind set “mesti sikit duit aku dalam tabung ni”.
Simpanan besar
Bagi mereka yang merasakan boleh membuat simpanan duit dengan jumlah yang besar dan tinggi, tabung dan bekas duit mungkin tidak sesuai dengan anda. Hal ini kerana, selalunya tabung anda akan disimpan di rumah dan menjadikan rumah anda tidak selamat. Jika berlaku sebarang rompakan, habis lesap duit tabung itu. Oleh itu, anda akan memerlukan tempat yang lebih selamat dan boleh simpan duit anda dengan banyak seperti bank. Saya yakin banyak diantara anda mempunyai bank simpanan yang lebih daripada satu. Jadi jadikan satu bank sebagai bank simpanan anda sebagai ‘tabung’ simpanan anda. Setiap kali anda dapat gaji, asingkan sejumlah duit gaji anda ke bank tersebut. Cara ini boleh dilakukan melalui mesin CDM atau lebih selamat melaui online banking. Paling penting, jangan usik langsung duit dalam akaun ‘tabung’ anda tu.
Monitor perbelanjaan
Nak simpan duit, mestilah kena kurangkan belanja, betul tak? Kalau tak dari mana anda dapatkan duit simpanan tersebut. Ini merupakan langkah yang paling penting iaitu kawal perbelanjaan anda. Elakkan pembaziran yang ikut nafsu dan kehendak semata-mata. Antara penyakit masyarakat kita sekarang orang beli tudung harga dua tiga ratus, anda pun ikut sekali sebab tidak mahu ketinggalan. Orang tukar handphone baru, anda pun ikut tukar. Sangat penting untuk anda bezakan kehendak dan keperluan. Dunia akan sentiasa berubah dengan trend fesyen dan teknologi yang berubah ubah. Setiap hari pasti ada perkara baru yang lahir namun, tidak duit anda jika anda tidak mula menyimpan dari sekarang.
Salah satu cara yang berkesan adalah buat buku kira-kira untuk perbelanjaan setiap bulan. Tidak perlula terlalu details macam buat akaun. Cukup untuk anda faham dan monitor setiap perbelanjaan anda. Langkah-langkah seperti:
- Mula dengan pengiraan komitmen wajib anda seperti bayaran pinjaman belajar, duit kereta dan sewa rumah.
- Seterusnya, buat bajet perbelanjaan mingguan anda seperti duit makan, top up handphone dan minyak kereta.
- Jangan lupa masukkan juga perbelanjaan seperti bil air, elektrik dan lain-lain.
- Cuba tetapkan perbelanjaan tersebut mengikut keperluan dan sediakan duit standby jika berlaku kecemasan.
Melalui pengiraan ini, anda boleh tentukan jumlah duit yang boleh anda simpan setiap bulan. Cara ini juga membantu anda untuk tanam sikap tidak membazir dan berhati-hati dalam berbelanja.
Secara kesimpulannya, cara menyimpan duit dengan bijak akan berhasil jika anda bijak dan matang menguruskan kewangan anda. Penyimpanan duit yang berjaya adalah mampu menyimpan 30% daripada duit gajinya. Namun, jangan tergopoh gopoh dalam nak simpan duit dengan letakkan target yang begitu tinggi nanti akan makan diri sendiri. Oleh itu, ambil beberapa langkah kecil sebelum melakukan langkah agresif untuk simpan duit. Paling penting, cari dan cipta tricks yang sesuai untuk disiplinkan diri anda untuk menyimpan. Pastinya dengan cara yang sesuai dengan anda. Jadi jangan berlengah, buat simpanan anda untuk kemudahan di masa hadapan. Semoga cara dan tips yang saya cadangkan bermanfaat untuk anda. Selamat menyimpan!
One thought on “Cara Menyimpan Duit Dengan Bijak Dan Efektif”
Menarik. Boleh tak buat koleksi artikel yang berkenaan duit dan hantar ke email saya. Artikel ni sangat berguna. Boleh. Agi untuk anak cucu nanti. Haha