Cara Simpan Duit – Tips-tips yang berkesan

Cara Simpan Duit

Cara Simpan Duit – Duit dan simpanan adalah dua perkara yang sangat berkait tetapi selalu tidak sehaluan. Selalunya duit kita akan berakhir di kaunter-kaunter pusat membeli belah ataupun kedai barangan tertentu. Kalau macam saya dulu, setiap bulan pasti habiskan beratus-ratus RM, kadang-kadang sampai mencecah ribuan ke dalam akaun towkey-towkey barangan pancing dan aksesori motosikal. Amat jarang sekali duit kita berada dalam simpanan sama ada tabung peribadi ataupun akaun bank untuk simpanan bukan? Saya sendiri mengalami situasi ini hampir setiap kali dapat gaji di akhir bulan semasa bekerja makan gaji dahulu kerana tak tahu cara menyimpan duit dengan efektif.

Tetapi setelah berkahwin, saya bersyukur kerana Kementerian Dalam Negeri (Isteri saya) mula mengawal perbelanjaan saya yang sia-sia tadi. Walau bagaimanapun, KDN saya cuma mampu kawal sahaja tapi saya tetap tak berjaya untuk menyimpan. Apa yang susahnya nak menyimpan ni sebenarnya??? Saya selalu tertanya-tanya perkara ini sampailah satu hari saya akhirnya berjaya menyimpan dengan beberapa tips yang saya belajar dari beberapa rakan orang ‘kewangan’ dan diadaptasi mengikut kesesuaian cara hidup saya. Di sini saya akan kongsikan dengan anda tips-tips ‘power’ ni yang bakal membantu anda menyimpan seperti saya dan tips-tips ini bukanlah tips yang cliché dan penuh dengan teori semata tetapi cara simpan duit yang sangat praktikal dan telah terbukti berkesan.

4 Tips Cara Simpan Duit

Tip 1: Tabung Tin Biskut

Ya, bunyinya macam kelakar tetapi percayalah saya berjaya kumpul hampir RM1000-2000 setiap tabung tin biskut di rumah saya ni dan saya ada 3 tabung tin biskut ni. Tips ni sesuai untuk orang yang suka simpan duit baki pembelian barang-barang dalam poket seluar. Caranya, setiap kali ada baki beli barangan (selalunya barang runcit) saya akan terus masukkan semua sekali ke dalam tabung ni apabila sampai di rumah kecuali duit nota besar macam RM50 dan RM100. Bayangkan kalau kita keluar beli barang runcit bernilai RM15 menggunakan nota RM50, maka akan ada baki RM35. Kemudian malamnya pula kita keluar lagi beli roti sebuku RM1.50, kita pecah lagi not RM50 dan dapat baki RM48.50. Jadi total kita menabung untuk hari itu dah jadi RM83.50. Banyak bukan?? Kalau sebulan dah berapa tu. Anda mungkin boleh kecilkan sedikit nilai wang yang nak disimpan mengikut keadaan ekonomi masing-masing. Mungkin boleh minimakan sehingga RM10 dan ke atas. Maknanya anda hanya tabungkan baki wang kecil bawah RM1.

Tip 2: Simpanan Automatik

Cara simpan duit seterusnya sesuai untuk mereka yang bergaji dan dibayar melalui bank. Sebenarnya Auto Saving ni dah lama ada di Malaysia tapi ramai yang tidak tahu benda ni wujud. Untuk membuat penyimpanan automatic ni, anda kena ada online banking terlebih dahulu. Kebanyakan majikan di Malaysia ni akan bayar gaji pekerja melalui Maybank ataupun Cimb. Mana-mana bank pun boleh tapi ini yang paling ramai guna kalau di negara kita ni. Saya bagi contoh kalau Maybank, lepas dah buat online banking, anda boleh pergi ke ‘flexi saver’ dalam website Maybank2u. Dalam ‘flexi saver’ ni anda boleh tetapkan jumlah untuk disimpan sebulan dan berapa bulan. Contohnya anda nak simpan untuk beli pancing baru (pancing lagi) yang berharga RM1000 dalam masa 10 bulan. Jadi kita tetapkan dalam tu untuk potongan RM100 selama 10 bulan. Cukup sahaja tempoh matang iaitu 10 bulan, duit tersebut akan Maybank masukkan semula ke dalam akaun kita sebanyak RM1000. Mudah bukan?? Jadi dengan cara ni memang kita tak akan boleh nak ambil duit tersebut selagi belum cukup tempoh matang.

Tip 3: Sistem Envelop

Sistem ini saya belajar semasa menghadiri satu program di USA beberapa tahun lepas. Sejujurnya perkara mudah dan berkesan macam ni tapi saya tak pernah dengar di Malaysia. Sistem ini sangat mudah dan sangat berkesan sekiranya kita ada disiplin. Caranya, setiap kali gaji, anda keluarkan semua gaji contohnya RM4000, balik ke rumah dan sediakan beberapa envelop mengikut pecahan perbelanjaan bulanan anda. Sebagai contoh anda sediakan envelop untuk pecahan perbelanjaan tetap seperti berikut:

  • Tol RM200
  • Petrol RM500
  • Bil utility RM300
  • Barang basah RM500
  • Barang kering RM400
  • Ansuran kereta RM700
  • Bayaran rumah RM1000

Jumlah keseluruhan: RM3600

Jadi anda ada lagi baki RM400. Yang baki ni sama ada masukkan semula ke bank ataupun anda jadikan ianya simpanan tetap. Selesai sahaja anda buat semua pembayaran, setiap envelop tadi mungkin ada yang berbaki (mungkin tak banyak) dan apa yang anda perlu lakukan adalah masukkan baki tadi ke dalam tabung tin biskut. Jadi apa kelebihannya buat macam ni??? Sama sahaja kalau kita rancang perbelanjaan bulanan seperti biasa. Bezanya, duit tersebut kita pecahkan dan tidak berada dalam satu tempat yang sama yakni akaun bank anda kerana apabila duit kita terkumpul, kita akan ada kecenderungan untuk ‘overspend’. Contohnya kalau kita nak beli barang kering dan basah dalam bajet yang sama macam di atas iaitu RM900, kita akan cenderung untuk keluarkan duit dari mesin ATM tu lebih dari sepatutnya mungkin RM1000 atau RM1200. Bahasa mudahnya, setiap kali kita nak buat pembayaran ataupun berbelanja mengikut pecahan tadi, kita pasti akan terlebih walaupun sedikit dan akhirnya duit gaji yang sepatutnya ada lebih tadi boleh jadi negatif nanti.

Tip 4: Simpanan Saham

Ini adalah tips terakhir dan yang paling hebat sekali. Kenapa saya cakap hebat?? Sebab tips ini bukan setakat anda menyimpan tetapi juga boleh membuatkan anda kaya raya kalau kena caranya. Selalu orang Malaysia, Melayu terutamanya kurang faham dan keliru dengan pasaran saham. Di sini saya tidak akan terangkan perkara-perkara teknikal yang akan memeningkan kepala anda. Apa yang paling penting adalah saya nak kuburkan mitos-mitos yang kurang tepat tentang pasaran saham. Apa yang selalu terlintas di fikiran kebanyakan orang adalah saham ini adalah satu bentuk pelaburan semata-mata sedangkan ianya bukanlah 100% tepat. Saham juga boleh kita jadikan sebagai satu medium untuk simpanan wang yang kita ada sama seperti bank-bank komersial.

Saya rasa ramai antara kita yang menyimpan wang dalam jumlah yang banyak di ASB bukan? Adakah ASB itu bank? Tidak. ASB bukanlah bank tetapi satu badan pelaburan sebab itu kita akan dapat dividen setiap tahun tapi jumlahnya sangat sedikit kalau nak dibandingkan kita melabur sendiri di bursa saham. Saya selalu menasihati rakan-rakan yang mempunyai simpanan ataupun modal yang agak banyak supaya jangan simpan wang anda di bank ataupun dalam ASB sebaliknya belilah saham syarikat-syarikat yang kukuh di bursa saham dan biarkan saja duit kita itu ‘beranak’ dalam pasaran saham. Tak perlu analisis, tak perlu menghadap suratkhabar, tak perlu pengetahuan teknikal tentang saham. Cukuplah dengan kita yakin syarikat yang kita nak beli sahamnya itu sebuah syarikat yang kukuh dan dah bertapak stabil.

Ya, pelaburan saham ni berisiko takut kalau syarikat tu nanti melingkup dengan duit-duit kita pun terlingkup. Jawapan saya mudah sahaja, kalau macam tu anda belilah saham syarikat perbankan macam Maybank, CIMB ataupun Ambank. Ikut mana pun sama jugak kalau bank tu melingkup, orang yang simpan duit dalam Bank pun akan hilang simpanan mereka. Adakah perkara macam tu boleh terjadi? Boleh, tapi sangat-sangat tipis.

Jadi setakat ini sahaja perkongsian saya tentang cara simpan duit yang berkesan dan diharap anda dapatlah mempraktikkan tips-tips yang diberi. Selamat menyimpan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *