Kali ini tajuknya sedikit berat. Saya tak nafikan memang proses membuat e-filing LHDN ini agak sedikit rumit dan melecehkan. Kalau diberi pilihan, saya pun malas nak buat e-filing ni, tapi ada ketikanya kita terpaksa juga akur dengan peraturan yang telah ditetapkan. Untuk mengurangkan lagi kepeningan anda, saya akan fokuskan kepada langkah-langkah untuk anda membuat e-filing LHDN sahaja. Perkara-perkara teknikal lain tentang percukaian saya tak nak sentuh, takut nanti pecah ubun-ubun anda. Untuk memulakan proses e-filing anda, ada beberapa perkara asas yang anda perlu sediakan iaitu:
- Borang EA daripada majikan anda (Jangan banyak tanya, minta sahaja daripada bos anda. Tahulah dia bagi nanti)
- Pin e-filing – Anda perlu dapatkan di mana-mana cawangan LHDN yang berdekatan dengan anda
- Komputer dengan internet
Langkah-langkah mengisi E-Filing LHDN
Langkah 1 – Daftar Masuk/Login
Sepatutnya langkah pertama anda kena dapatkan PIN daripada cawangan LHDN, tapi memandangkan tidak ada apa yang rumit tentang itu, maka saya akan teruskan dengan langkah pertama di hadapan komputer anda iaitu proses mendaftar masuk ke laman LHDN.
Mula-mula, anda pergi ke lelaman ini, dan anda akan berada di halaman untuk log masuk. Di atas sekali anda akan diminta untuk memasukkan nombor kad pengenalan anda dan hantar. JANGAN memandai isi dan hantar sebab itu adalah untuk pengguna yang sudah mendaftar. Sila rujuk di bahagian bawah ada tertera LOGIN KALI PERTAMA. Anda klik di situ. Lepas klik di situ, anda akan di bawa ke halaman yang meminta anda memasukkan nombor PIN dan nombor kad pengenalan anda. Maknanya dah betullah tu. Jadi masukkan sahaja nombor PIN yang anda dapat daripada pejabat LHDN sebelum ini dan nombor kad pengenalan anda. Di halaman ini anda perlu mengisi maklumat asas berkenaan diri anda dan juga menetapkan kata laluan yang anda pilih. Tidak ada apa yang rumit di bahagian ini rasanya.
Langkah 2 – Mulakan e-filing
Setelah anda selesai mengisi segala maklumat asas di ruangan sebelumnya, anda akan dibawa pula ke halaman kedua untuk memilih tujuan perkhidmatan yang anda mahu lakukan di LHDN. Ada macam-macam lagi perkara lain didalam laman LHDN ni. Bukan setakat hal cukai anda yang tak seberapa tu. Ada lagi bisnes yang berjuta-juta pun kena bayar cukai melalui LHDN. Apa yang perlu anda lakukan dihalaman ini adalah klik pada e-filing. Dalam halaman itu hanya ada dua sahaja yang berkaitan e-filing iaitu e-filing sahaja dan e-filing CKHT/WHT. Jangan melencong ke e-filing CKHT/WHT tu. Klik sahaja pada e-filing dan seterusnya klik pada e-form.
E-form tadi akan membawa anda ke halaman seterusnya iaitu Resident Individual dan Non-Resident Individual. Tak pastilah kalau anda ni bukan warganegara, tapi kalau warganegara pergi pada Resident Individu itu. Di bawahnya akan ada 3 kategori iaitu e-BE, e-B dan e-BT. Jangan pening-pening, klik sahaja pada e-BE iaitu untuk golongan pekerja. Kalau ahli perniagaan anda boleh klik pada e-B. Ok setakat ni?
Sebaris dengan e-BE yang anda pilih tadi, akan ada Year Assessment. Klik di situ dan akan keluar tahun untuk anda pilih. Jadi pilihlah tahun percukaian yang anda ingin failkan. Biasanya tahun percukaian adalah tahun sebelumnya.
Langkah 3 – Maklumat Individu
Selepas sahaja anda pilih tahun yang ingin anda failkan, anda akan dibawa pula ke halaman yang banyak tempat kosong macam borang nak menikah. Biasanya, untuk bahagian tempat kosong yang berkaitan maklumat asas, ianya akan diisi secara automatik sebab anda sudah mengisi maklumat tersebut di permulaan log masuk sebelumnya. Dalam banyak-banyak tempat kosong tu, yang paling penting adalah anda mengisi maklumat bank anda. Pihak LHDN akan masukkan sebarang lebihan duit cukai anda nanti sekiranya ada. Jadi jangan lupa ya.
Langkah 4 – Jumlah Pendapatan
Setiap majikan akan menyediakan anda dengan borang EA dengan jumlah pendapatan tetap yang anda perolehi daripada majikan anda. Jadi di dalam halaman kedua selepas maklumat peribadi tadi, anda akan diminta untuk mengisi jumlah pendapatn tetap anda. Tak perlu risau, macam saya nyatakan tadi, anda hanya perlu masukkan sahaja jumlah yang majikan anda isikan dalam borang EA anda itu. Selesai sudah bahagian pendapatan sekiranya anda hanya bekerja makan gaji dan tiada sumber pendapatan yang lain.
Sekiranya ada, maka anda perlu isikan dalam ruangan yang bersesuaian. Contohnya, ada juga mereka yang bekerja makan gaji tetapi ada pelaburan lain seperti ASB dan juga pelaburan saham. Jika ada, anda perlu isikan jumlah dividen yang anda terima. Selain daripada itu, ada juga sumber-sumber pendapatan lain seperti pendapatan sewaan rumah, kadar faedah, royalti, pencen, pendapatan berkala dan macam-macam lagi. Sekiranya ada, sila isikan.
Langkah 5 – Pengurangan cukai/rebat cukai/pelepasan cukai
Ini bahagian yang sangat penting (dan pening) melainkan anda memang suka sedekahkan duit anda kepada kerajaan. Terdapat banyak sangat pelepasan dan rebat cukai yang dibenarkan dan apa yang anda perlu buat hanyalah tuntut semua pelepasan cukai/rebat ini untuk pengurangan cukai anda nanti. Anda juga perlu tahu yang pengurangan cukai, rebat cukai dan pelepasan cukai adalah 3 perkara yang berbeza. Saya rasa dalam banyak-banyak kepeningan dalam e-filing ni, di bahagian inilah yang paling bermasalah sekali sebab ianya agak teknikal dan berbelit-belit. Saya memang tak boleh nak jelaskan semuanya disini sebab terlalu kompleks.
Mungkin akan datang saya akan tulis artikel khas berkenaan pengurangan cukai sahaja. Jenis-jenis pelepasan dan rebat cukai yang dibenarkan anda boleh rujuk dengan laman web e-filing LHDN sebab terlalu banyak kalau saya nak nyatakan disini. Apa yang biasanya anda boleh tuntut adalah rebat pembelian buku, alatan sukan, tanggungan anak (kalau suami dan isteri bekerja dah jadi lain pula), insuran kesihatan, pendidikan diri sendiri, persekolahan anak-anak, zakat dan banyak lagi. Setiap daripada pelepasan dan rebat cukai ini ada jumlah dan syaratnya yang tertentu.
Kalau boleh, ambil sedikit masa untuk anda tentukan semua pelepasan dan rebat cukai yang anda layak dapat dan anda mohon. Pastikan juga setiap yang anda mohon itu ada resit dan dokumen-dokumen berkaitan.
Langkah 6 – Ringkasan
Setelah selesai bahagian pelepasan cukai dan rebat tadi, anda boleh teruskan ke bahagian terakhir yang akan menentukan sama ada anda perlu membayar cukai dan berapa banyak. Sekali pandang, halaman ringkasan ni dah macam lejer akaun syarikat pula. Ada juga bermacam perkara teknikal dalam halaman ini, tetapi saya rasa perkara yang paling penting untuk anda ambil tahu buat masa sekarang adalah bahagian bawah sekali, iaitu jumlah cukai yang dikenakan dan juga lebihan cukai dibayar. Sistem e-filing ini akan mengira secara automatik cukai yang anda perlu bayar ataupun anda tidak perlu membayar sebarang cukai. Juga, ia akan mengira sekiranya anda ada berhutang dengan kerajaan ataupun kerajaan yang berhutang dengan anda dari aspek jumlah cukai.
Saya rasa sudah cukup ringkas dan mudah untuk anda ikuti langkah-langkah membuat e-filing LHDN ini. Sebagai warganegara yang bertanggungjawab, suka atau tidak kita wajib membayar cukai kepada kerajaan untuk generasi akan datang. Saya harap dengan penjelasan yang ringkas ini, maka anda juga akan mula membuat e-filing masing-masing demi negara yang tercinta.