Ebay Malaysia – Kenapa Kurang Popular?

Ebay Malaysia – Kenapa Kurang Popular

Letusan perdagangan dalam talian telah membawa kita ke satu era baru dalam bidang perniagaan. Kewujudan platform-platform e-dagang seperti Lazada, Shopee, Mudah.my, dan banyak lagi platform-platform lain telah membuka banyak peluang-peluang perniagaan kepada peniaga-peniaga kecil yang menjual barangan mereka secara sampingan ataupun sepenuh masa menggunakan platform-platform yang tersedia ini. Ada juga yang lebih gemar menggunakan laman media sosial untuk berurusniaga seperti Facebook dan Instagram. Saya melihat perkara ini banyak memberi manfaat kepada golongon peniaga-peniaga kecil yang sebelum adanya platform perniagaan dalam talian ini, mereka sebenarnya agak sukar untuk memulakan perniagaan online kerana kekangan modal yang agak besar sekiranya berniaga secara konvensional. Maklumlah, dengan bayaran sewa kedai lagi, bil-bil utiliti, segala macam permit dan lesen yang perlu ada dan macam-macam lagi perkara yang mereka perlu sediakan. Melalui platform perniagaan online pula, klik sini klik sana sudah boleh mula berniaga. Walau bagaimanapun, pada kali ini saya bukanlah hendak menulis tentang dunia perniagaan online tetapi lebih spesifik kepada satu jenis platform e-dagang yang ada iaitu Ebay Malaysia.

Apa itu Ebay Malaysia?

Saya rasa masih ramai yang tidak tahu ataupun kurang tahu tentang kewujudan Ebay Malaysia ni. Tambahan pula, dengan wujudnya fenomena Lazada yang menggila di pasaran Malaysia kebelakangan ini, banyak lagi platform e-dagang yang lain agak tenggelam dan lemas-lemas itik kerana penangan Lazada ni. Bukanlah niat saya hendak mengagungkan Lazada dan merendahkan platform lain, tapi itu adalah hakikat yang sedang berlaku di Malaysia sekarang.

Kalau di negara luar terutama di negara-negara barat, lain pula ceritanya, yang mana Amazon.com lebih menjadi pilihan mereka ataupun Ebay. Apa yang menarik tentang Ebay pula, ianya sangat popular di Amerika Syarikat sejak lama dulu lagi, pada masa tu mungkin Lazada masih dalam perut lagi agaknya. Ebay diwujudkan pada 1995, hanya setahun lewat daripada Amazon.com, tetapi di peringkat awal Ebay lebih popular berbanding Amazon.com pada waktu itu. Kiranya Ebay ni macam Abang Ngah la, tapi lebih pandai sikit dari Abang Long. Hebatnya Ebay ni, sampai berjaya membeli syarikat Paypal dan Skype tau. Tapi jodoh Ebay dengan Paypal tak berapa panjang, putus ketika tahun 2015. Sekarang ni Pay Pal dan Ebay dah bergerak berasingan tetapi Ebay masih lagi dengan polisi mereka untuk terus membeli syarikat-syarikat startup yang ada potensi untuk maju di masa akan datang, macam apa yang mereka buat dengan Pay pal dan Skype.

Apa istimewanya Ebay ni?

Ebay ni ada satu keistimewaan yang tidak ada pada mana-mana platform e-dagang yang lain, sebab tu Ebay masih relevan di negara-negara Barat terutamanya Amerika Syarikat. Istimewanya Ebay ni adalah kerana mereka menjual segala benda yang ada dalam muka bumi ni tak kira la kecil atau besar, mahal atau murah. Barang-barang yang ada dijual di Ebay ni kadang-kadang pelik-pelik sikit. Bayangkan Ebay pernah menjual sebuah Jet peribadi pada harga USD 4.9 juta pada tahun 2001. Itu baru sikit, kalau anda nak tau barangan paling besar dan mahal pernah terjual di Ebay adalah sebuah kapal layar mega yang berharga USD 168 juta. Amacam LAZADA??? Ada berani??? Jadi kalau anda ni jenis yang suka mencari koleksi barangan-barangan yang pelik dan unik, boleh la cuba tengok-tengok mana tau ada barangan yang anda cari selama ni ada dijual di Ebay Malaysia.

Kenapa Ebay Malaysia kurang popular di Malaysia?

Sistem Pembayaran yang hanya menggunakan Pay Pal

Ini saya kira antara kelemahan Ebay Malaysia yang beroperasi di Malaysia, kerana orang Malaysia bukan ramai sangat yang tahu gunakan Pay Pal. Kalau untuk pengguna antarabangsa mungkin aplikasi Pay Pal ni dikira mudah untuk mereka, tetapi tidak untuk rakyat Malaysia. Platform e-dagang popular yang lain seperti Lazada dan Shopee menjadi pilihan orang-orang Malaysia kerana mereka menyediakan cara pembayaran yang pelbagai, termasuklah online Banking yang lebih diterima oleh majoriti rakyat Malaysia. Itu pun masih ada lagi sebahagian yang takut dan fobia dengan online banking menyebabkan jualan barangan di media sosial seperti Facebook masih lagi relevan, walaupun sebenarnya ianya lebih tidak selamat. Mereka lebih selesa pergi Bank in duit secara fizikal dan ambil gambar resit bagi kepada penjual. Kalau online banking pun takut, jauh sekali lah dengan Pay Pal.

Bayaran dalam USD dan cas yang mahal.

Masih lagi berkaitan dengan kekurangan sistem Pay Pal yang digunapakai oleh Ebay ni, cuma yang ini khas untuk mereka yang tahu menggunakan Pay Pal dan mempunyai akaun Pay Pal. Walaupun Ebay Malaysia menjual barangan dengan harga yang dipamerkan dalam Ringgit Malaysia, tetapi apabila bayaran yang dibuat nanti, unit matawang akan menggunakan USD dan kadar tukaran wang yang selalu turun dan naik pastinya akan memberi perbezaan di setiap harga akhir yang perlu dibayar oleh pelanggan. Kalau barangan yang murah tidak menjadi masalah sangat tapi kalau dah sampai beratus USD, koyak juga nak membayar perbezaan kadar tukaran wang itu nanti. Perkara kedua yang tidak berapa indah tentang Pay Pal ni adalah cas yang dikenakan untuk setiap transaksi tu memang sangat tinggi kalau nak dibandingkan dengan sistem online Banking Malaysia. Jadinya, kalau setakat nak beli bedak sejuk sebekas tu rasanya memang tak berbaloilah dengan cas yang dikenakan oleh Pay Pal, kecualilah bedak sejuk tu kepunyaan Micheal Jackson, maka tak apa lah nak kena cas berapa pun.

Barangan dari USA

Ini agak subjektif sikit sebab terpulang kepada pilihan individu itu sendiri sama ada memilih untuk kualiti ataupun harga yang murah. Kebanyakan barangan yang dijual di Ebay ni adalah dari USA dan juga dari Malaysia sendiri. Rasanya semua orang tahu harga barangan kalau dari USA ni memang agak lain macam sikit dia punya pergi. Contohnya kasut jenama Nike yang original dari USA boleh cecah ribuan ringgit, tapi kasut yang sama kalau original buatan Malaysia,Indonesia atupun China, harganya baru beberapa ratus.

Walau bagaimanapun, kita tidak boleh menolak hakikat yang pada kebiasaannya kualiti barangan dari USA ni lebih tinggi daripada keluaran negara lain, tetapi faham-faham lah rakyat Malaysia bukannya  semua berduit makanya memang mereka akan lebih cenderung untuk memilih barangan yang lebih murah dan mampu milik. Oleh sebab itu, platform e-dagang yang menawarkan barangan-barangan murah terutamanya dari China seperti Lazada dan Shopee, haruslah diserbu oleh rakyat Malaysia berbanding Ebay Malaysia.

Kesimpulannya, Ebay Malaysia walaupun jatuh pada kategori yang sama seperti lain-lain platform e-dagang yang ada di negara kita, tetapi Ebay Malaysia tetap ada kelebihannya yang tersendiri. Walaupun terdapat beberapa kekurangan yang menyebabkan Ebay Malaysia agak kurang popular, tetapi dari sudut kualiti perkhidmatan mereka serta barangan yang ditawarkan saya masih berpendapatan Ebay Malaysia berada pada satu kelas yang berbeza.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *