Pasti anda semua pernah dengar kata orang dulu-dulu iaitu, ‘sikit-sikit lama lama jadi bukit’. Perumpamaan ini sering kali digunakan untuk beri gambaran jelas tentang kebaikan dan faedah menabung kepada semua orang. Tak kiralah masa umur kita masih di bangku sekolah hinggalah dah meningkat dewasa amalan menabung merupakan salah satu nilai murni yang sering dipupuk setiap peringkat usia. Sudah pasti setiap perkara yang baik itu akan beri sesuatu yang manfaat pada kita nanti. Oleh itu, apa faedah menabung sehingga menjadi amalan yang patut diterapkan dalam kehidupan seharian. Di sini saya akan berikan beberapa faedah menabung yang mungkin beri boleh membuka mata semua dan beri kesedaran kepada anda tentang pentingnya menabung.
6 faedah menabung dengan gigih
Melatih diri untuk berjimat cermat
Menabung adalah perbuatan atau amalan menyimpan duit dalam satu tempat tertentu. Tak kiralah dalam tabung ataupun bank simpanan sendiri. Saya yakin ramai antara kita yang mungkin ada masalah dalam uruskan kewangan masing-masing. Lagi lagi trend terkini yang kita lihat semua benda nak bergaya dan trendy. Makan nak tempat hipster, baju dan jam mesti berjenama. Kalau keluar dengan kawan-kawan pasti akan pilih shopping mall. Disebabkan trend yang jadi ikutan ni sebabkan ramai antara kita tak ada duit simpanan sendiri. Oleh itu, jika mulakan amalan menabung saya yakin akan latih diri untuk berjimat cermat. Kita tidak akan sesuka hati berbelanja ikut nafsu sendiri hanya kerana nak ikut orang atau trend sekarang.
Simpanan ketika sakit atau kesusahan
Pernah dengar peribahasa malang tidak berbau? Saya pasti peribahasa ini sering kali menjadi salah satu nasihat yang kita dengar dari kecil hinggalah sekarang. Faedah menabung ini bukan sahaja mengajar diri untuk berjimat cermat, malah akan bantu diri sendiri untuk ada simpanan sendiri. Tidak kiranya apa sahaja jenis simpanan yang kita buat. Kita kenalah sentiasa bersedia jika terpaksa hadapi kemalangan atau kesusahan pada masa hadapan. Nanti bila dah sudah baru kelam kabut nak cari duit atau lebih parah terpaksa pinjam dengan keluarga atau sahabat terdekat. Perlu diingat zaman sekarang ini sebab duit pun orang boleh bermasam muka sehingga sebabkan pergaduhan. Tak rugi pun kita berwaspada dan sentiasa bersedia. Bak kata pepatah, sedikan payung sebelum hujan. Juga sediakan duit sebelum dilanda musibah. Betul tak?
Memiliki rumah atau hartanah sendiri
Kepada anda yang ingin beli rumah sendiri, dah tiba masanya anda mula menabung. Anda pasti sedar bahawa harga rumah dan tanah makin meningkat dari semasa ke semasa. Dengan ekonomi dan pendapatan atau gaji semasa rakyat Malaysia sekarang, agak sukar untuk ada rumah sendiri tanpa menyimpan dulu. Jika anda mula buat simpanan atau buat tabungan, anda pasti akan ada simpanan untuk kegunaan beli rumah nanti. Saranan saya pilih tempat atau akaun yang boleh tambahkann simpanan seperti ASB. Bukan itu saja, kalau nak buat pinjaman untuk rumah pertama, pihak bank akan lihat simpanan bulanan anda. Jika simpanan bualanan anda cantik dan konsisten, ini akan yakinkan pihak bank untuk beri pinjaman perumahan kepada anda. Ia akan mudahkan urusan pinjaman kewangan daripada bank tersebut. Lagipun, jika anda bayar wang pendahuluan sebanyak separuh harga rumah, jumlah pinjaman anda tak banyak dan kurang interest yang dikenakan.
Waktu bersara
Semakin hari usia kita semakin meningkat. Jadi sudah pasti tenaga kita tidak sama macam masa zaman muda atau remaja. Tak selamanya kita ni mampu bekerja untuk tanggung diri dan keluarga. Oleh itu, mempunyai simpanan untuk waktu kita dah bersara nanti sangat penting. Perlu kita ingat, kita tak boleh menjangka masa depan kita. Kita hanya boleh rancang tapi Tuhan yang tentukan. Tak salah kalau kita sudah mulakan amalan menabung daripada usia muda. Simpanan saraan ini bukan hanya menjamin kewangan waktu tua nanti, malah kita akan hidup lebih selesa dan tenang kerana tak perlu lagi fikir pasal hal ehwal kewangan secara serius. Hanya gunakan semula hasil simpanan dan titik peluh kita selama bekerja mencari rezeki untuk diri dan keluarga.
Elak perangai membazir
Jika jadikan simpanan atau tabungan anda sebagai salah satu komitmen wajib anda setiap bulan, saya pasti amalan menabung ini akan elak diri daripada membazir. Kita semua tahu membazir adalah amalan yang merugikan dan tak beri apa-apa faedah. Bukan itu sahaja, kita akan lebih teliti dan berjaga-jaga dalam berbelanja. Sebagai contoh, perangai membazir ini dapat di elakkan jika dapat bezakan perbelanjaan kepada dua bahagian iaitu keperluan atau kehendak. Cadangan saya adalah buat checklist yang mudah untuk anda kenal pasti setiap keperluan bulanan anda. Semasa anda buat senarai tersebut, fikir secara mendalam untuk setiap benda yang anda akan beli. Situasi yang agak sukar nak buat keputusan apabila ada jualan murah atau potongan harga di pasar raya atau pusar membeli belah. Tanya balik diri sendiri, perlu atau tidak barang itu? Adakah ia keperluan atau kehendak anda semata-mata? Soalan-soalan begini akan bantu anda untuk buat keputusan yang terbaik.
Tingkatkan pendapatan
Faedah menabung ini tak akan dapat dilihat dalam jangka masa yang pendek kerana kita simpan dalam kadar yang sikit. Ia pasti akan amik masa bergantung kepada target simpanan masing-masing. Kepada yang hanya menabung tanpa letak sebarang target pasti akan merasakan kelainannya tatkala tabung simpanan anda sudah penuh. Apabila tabung simpanan sudah penuh, pasti akan dikira untuk lihat jumlah yang berjaya di simpan selama ini. Kadang-kadang jumlah tersebut mampu beri pendapatan lebihan kepada untuk bulan ini. Hal ini akan beri semangat baru kepada anda untuk menabung masa hadapan. Hasil tabungan tersebut boleh lah anda berbelanja atau simpan dalam bank. Tak rugi kan kalau anda mencuba.
Secara Kesimpulan
Secara kesimpulannya, banyak faedah menabung yang kita mungkin tak sedar. Memang pada mulanya agak susah nak mulakan tabungan. Cuba mulakan dalam kadar yang rendah seperti seringgit atau lima ringgit sehari. Saya yakin jumlah sebesar ini tak lah begitu sukar dan membebankan untuk kita semua. Yang penting semangat dan disiplin itu sangat penting untuk jayakan misi menabung anda. Kalau anda dah semakin yakin dengan tabungan anda, tak salah jika anda tambah jumlah simpanan tersebut. Duit tu nanti anda juga dapat nikmatinya. Betul tak? Janganlah kita sibuk nak amalkan perbuatan biar papa asal bergaya. Disebabkan terikut ikut dengan trend dan gaya orang lain, diri sendiri yang merana. Semoga perkongsian saya dapat beri suntikan semangat kepada mereka yang nak mula menabung. Ayuh kita menabung!