Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Review

Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Review

Untuk sesi review kali ini saya memilih untuk menceritakan serba sedikit tentang Institut kemahiran Belia Negara ataupun lebih dikenali sebagai IKBN. Sejarah awal Institut Kemahiran Belia negara ini bermula lama dahulu sekitar tahun 1964 apabila Kementerian Belia dan Sukan telah memperkenalkan Pusat Latihan Belia yang dikhususkan untuk menyelesaikan masalah pengangguran yang dihadapi oleh belia-belia negara pada waktu itu. Antara langkah awal yang diambil oleh Pusat latihan Belia pada waktu itu adalah dengan menawarkan program latihan kemahiran untuk golongan muda yang ketinggalan dari sudut akademik.

Bermula pada tahun 1990 pula, di bawah dasar kerajaan pada ketika itu telah memperluas program latihan kemahiran yang sedia ada kepada bidang teknikal dan vokasional. Langkah ini diambil bagi membolehkan negara mengeluarkan tenaga pekerja mahir dalam sektor industri yang sedang berkembang pesat pada ketika itu. Rentetan daripada kejayaan itu, pihak kerajaan mengembangkan lagi program-program berbentuk sebegini dalam usaha membangunkan modal insan, maka lahirlah Institut Kemahiran Belia Negara.

Pada peringkat permulaan, kesemua institut kemahiran belia negara hanya menerima sekitar 500 orang penuntut sahaja pada satu-satu masa. Kini Institut kemahiran Belia Negara telah mempunyai lebih daripada 10 cawangan seluruh negara bagi menampung keperluan industri yang sentiasa memerlukan sokongan tenaga kerja mahir. Demi meningkatkan lagi kualiti pemebelajaran yang lebih bertaraf tinggi, Kementerian Belia dan Sukan menubuhkan pula Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara ataupun IKTBN. Terbaru, kesemua institut kemahiran di bawah Kementerian Belia dan sukan telah disatukan dibawah satu bumbung pentadbiran iaitu Institut Latihan Kementerian Belia dan Sukan (ILKBS) yang di kawal selia oleh Badan Pembangunan Kemahiran Belia (BPKP).

Dibawah Institut Latihan Kementerian Belia dan Sukan ini termasuklah Institut Kemahiran Belia Negara(IKBN), Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara(IKTBN) dan juga Akademi Kemahiran Belia Golf (AKBG).

Matlamat Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN)

Semenjak dari awal penubuhannya sehingga kini, Institut Kemahiran Belia Negara masih lagi mengekalkan matlamat asalnya iaitu untuk menyediakan peluang latihan kemahiran dalam pelbagai bidang kepada para belia lepasan sekolah. Ia juga menumpukan usaha untuk memberikan pendedahan awal kepada para belia kepada bidang keusahawanan dalam bidang kemahiran yang dipilih. Pihak Institut Kemahiran Belia Negara juga sentiasa memberikan sokongan dari sudut moral apabila kerap mengadakan program-program berbentuk kepimpinan, kerohanian dan kenegaraan bagi menanam sikap patriotik dan asas jati diri kepada golongan muda.

Cara memohon

Kini cara permohonan untuk kemasukan ke Institut Kemahiran Belia Negara hanya boleh dibuat melalui dalam talian sahaja.Tiada lagi perohonan secara borang yang dibenarkan. Kepada yang berminat boleh memohon melalui laman web http://www.kbs.gov.my atau http://www.ekbs.gov.my

Melalui portal yang disediakan, para pemohon mestilah mengisi kesemua maklumat peribadi beserta kelayakan akademik yang diperolehi. Pihak Institut kemahiran Belia Negara juga berhak menyingkirkan calon yang memberikan maklumat yang tidak benar. Jadi pastikan semua maklumat yang anda nyatakan adalah maklumat yang sahih dan benar. Semua kursus dijalankan mengikut persijilan, tahap dan tempoh latihan seperti dinyatakan dalam ruang SIJIL & TAHAP serta TEMPOH KURSUS. Setelah anda mengisi segala maklumat dan menghantar permohonan anda, keputusan permohonan nanti bolehlah disemak melalui laman web yang sama.

Tempoh keputusan hanyalah selama 3 bulan sahaja. Sekiranya anda tidak mendapat apa-apa maklumbalas daripada pihak Institut Kemahiran Belia Negara dalam tempoh tersebut, maka permohonan anda itu boleh dianggap sebagai tidak berjaya. Pemohon juga perlu bersedia sekiranya pihak Institut kemahiran Belia Negara menempatkan anda di mana-mana cawangan di seluruh negara. Tidak semestinya anda akan ditempatkan di cawangan institut yang dipohon sahaja.

Syarat Umum untuk memohon

Untuk melayakkan anda memohon sebagai penuntut di Institut Kemahiran Belia Negara, terdapat beberapa syarat umum yang wajib anda beri perhatian. Syarat-syaratnya adalah seperti berikut:

  • Warganegara Malaysia
  • Boleh membaca dan menulis
  • Berusia di antara 18 – 30 tahun semasa memohon dan berkelulusan sekurangnya Tamat Tingkatan 5
  • Belum berkahwin @ bujang
  • Sihat tubuh badan
  • Tidak pernah melakukan kesalahan jenayah dan penyalahgunaan najis dadah
  • Belum pernah mengikuti latihan kemahiran di mana-mana Institut Latihan Awam/Swasta (KECUALI calon yang mempunyai sijil lepasan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) & Sijil Suruhanjaya Tenaga (ST) untuk menyambung pelajaran)
  • Sanggup menjalani latihan sehingga tamat dan dikehendaki mengikut segala peraturan yang telah, sedang dan akan ditetapkan
  • Pemohon yang sedang menjalani latihan dimana-mana institut latihan kemahiran dan belum tamat latihan/belum memperolehi sijil ketrampilan SKM tahap 2/3 atau 3/4 tidak dibenarkan memohon untuk tahap selanjutnya
  • Pemohon yang tidak tamat latihan / disingkir dari mengikuti latihan dari mana-mana Institut Latihan Awam lain tidak dibenarkan memohon

Kelebihan Institut Kemahiran Belia Negara

Kelebihan paling utama dalam menjadi seorang penuntut di Institut Kemahiran Belia Negara adalah segala makan minum dan penginapan anda akan dibiayai sepenuhnya oleh Kementerian Belia dan Sukan sepanjang tempoh latihan di IKBN. Menarik bukan?

Selain itu, cara pembelajaran di IKBN juga amat berbeza berbanding institusi pengajian tinggi yang lain kerana sebanyak 70% daripada pembelajaran adalah dalam bentuk amali dan hanya 30% sahaja yang berbentuk teori. Konsep ini akan menjadikan suasana belajar yang lebih menyeronokkan apabila pelajar diberikan peluang untuk melakukan sendiri aktiviti-aktiviti amali yang kurang mebosankan berbanding belajara teori di dalam kelas. kebanyakan masa pelajar akan lebih tertumpu dalam bengkel-bengkel yang disediakan seperti bengkel automotif, elektrikal, welding dan macam-macam lagi.

Kursus-kursus yang ditawarkan

Percayalah, kursus-kursus yang mereka tawarkan memang sangat menarik dan pelbagai. Boleh dikatakan ianya cukup merangkumi keseluruhan industri yang diperlukan dalam negara kita. Anda boleh rujuk sendiri semua kursus yang ditawarkan oleh Institut kemahiran Belia negara seperti berikut:

Teknologi Automotif

Pelajar didedahkan dengan latihan yang berkaitan dengan teknologi enjin dan sistem bermotor. Selain daripada penyeleggaraan dan juga baik pulih,t erdapat juga pelbagai modul lain seperti Teknologi Kawalan Kenderaan, Teknologi Enjin Pembakaran Dalam, Teknologi Penghantaran Kuasa dan sebagainya.

Teknologi Marin

Pelajar akan diberi pengetahuan asas dalam aspek penyelenggaraan dan baikpulih sistem serta jentera kapal marin. Selain daripada pengetahuan di dalam bahagian enjin, pelajar juga akan diajar berkenaan sistem yang ada dalam perkapalan seperti genset dan transmisi kapal, sistem perpaipan & penyambungan, sistem penyejukan, sistem dandang, sistem bebaling & kemudi, dan banyak lagi. Selain itu pelajar juga akan diberi latihan dan pendedahan mengenai ilmu keselamatan sewaktu pelayaran mengikut piawaian yang ditetapkan oleh International Maritime Organization (IMO) dan Jabatan Laut Malaysia.

Teknologi Mekanikal

Kursus ini akan memberi pelajar asas yang kuat dalam bidang mekanikal meliputi bidang pembuatan dan mesin-mesin yang digunakan. Pelajar akan diberi peluang menggunakan mesin-mesin berteknologi tinggi seperti mesin larik, mesin CNC dan lain-lain lagi.

Teknologi Awam

Pelajar akan diberikan pengetahuan dan kemahiran berkaitan bidang pembinaan. Apabila tamat kursus di IKBN, pelajar juga akan menerima sijil daripada Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), pelajar juga akan memperolehi sijil dari Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) yang diiktiraf di seluruh Malaysia. Pelajar juga akan memperolehi ‘kad hijau’ dengan menghadiri kursus anjuran pihak CIDB.

Teknologi elektronik

Bidang ini akan memberikan pengetahuan kepada pelajar terhadap sistem elektronik yang digunakan oleh industri. Selain daripada perkara asas seperti litar elektronik, dan penyelenggaraan alatan elektronik, pelajar juga akan diberi pendedahan berkenaan sistem robotik dan automasi.

Teknologi elektrikal

Berbeza dengan elektronik, bidang elektrik lebih menumpukan kepada sistem elektrik kuasa yang digunakan oleh TNB. Pelajar akan diajar untuk melakukan pendawaian elektrik serta etika-etika keselamatan yang harus dipatuhi.

Hospitaliti

Bidang hospitaliti lebih menumpukan pelajar kepada khidmat pelanggan yang cemerlang dan professional. Pelajar akan diajar tentang industri perhotelan dan pelancongan yang semakin diperlukan di dalam Malaysia.

Teknologi Tekstil

Pelajar akan diajar asas-asas jahitan serta teknik-teknik jahitan sama ada berskala kecil ataupun berskala industri. Pelajar juga akan didedahkan dengan keperluan material dalam teknologi tekstil termasuk penggunaan mesin-mesin yang biasa digunakan.

Teknologi Personal

Dalam Teknologi Personal, pelajar akan diajar kemahiran dalam bidang-bidang perkhidmatan personal seperti penggayaan rambut, terapi kecantikan, penjagaan kesihatan dan banyak lagi.

Teknologi Fotografi

Pelajar akan diberikan tunjuk ajar yang betul berkenaan penggunaan kamera dan cara mendapatkan foto yang professional. Ini juga termasuk kemahiran menyunting gambar serta pengolahan gambar mengikut spesifikasi semasa.

Teknologi Maklumat

Pelajar akan didedahkan dengan bidang pengkomputeran serta pengetahuan dalam bidang aplikasi teknologi komputer. Ini termasuk program-program komputer yang asas serta penyelengaraan computer.

Teknologi Sukan

Kursus ini akan memberikan pelajar pengetahuan di dalam sains sukan serta bidang-bidang yang berkaitan dengan sukan seperti pengurusan atlet, terapi untuk atlet serta anatomi asas yang berkaitan dengan sukan.

Minyak Dan Gas

Industri minyak dan gas sememangnya mememerlukan tenaga kerja mahir yang ramai. Oleh itu, kursus ini akan menumpukan kepada bidang kerja yang diperlukan dalam industri minyak dan gas seperti, perpaipan minyak dan gas, kimpalan dasar laut, serta program keselamatan kerjaya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *