Kereta Second Hand: Berbaloi atau tidak untuk diri anda?

Kereta Second Hand

Umum mengetahui bahawa kereta terpakai atau lebih dikenali sebagai kereta second hand seringkali menjadi pilihan anak muda yang baru sahaja menamatkan pengajian mereka. Namun, terdapat juga segelintir anak muda dan masyarakat atau lebih umumnya ibu bapa yang membantah penggunaan kereta second hand ekoran daripada kerana ianya adalah “Second Hand”. Lihat sahaja pada namanya. Kita akan menjadi orang kedua menggunakan kereta tersebut. Bahkan mungkin orang yang ketiga ataupun yang keempat. Namun, penggunaan kereta ini tidaklah sebegitu “mengerikan” kerana ianya juga berbaloi untuk dipakai. Namun, seberapa berbaloikah penggunaan kereta ini?

Isu yang seringkali dibangkitkan dalam masyarakat ialah kita berdepan dengan stereotaip mereka yang menganggap bahawa keputusan untuk membeli kereta terpakai adalah keputusan yang sangat sangat tidak berbaloi dan bijak. Kita seringkali berfikir dan menyuarakan pendapat bahawa kereta terpakai mampu menjimatkan kos anak muda namun seringkali diminta untuk berfikir beribu kali sebelum membelinya.

Membandingkan harga kereta baharu dan kereta second hand

Anak muda yang berhasrat ingin membeli kereta terpakai ini hendaklah membuat perbandingan harga terlebih dahulu untuk jenis kereta yang ingin dibeli secara terpakai. Kita hendaklah membuat perbandingan harga kereta lama dan harga kereta baharu baru jenis yang sama itu. Pastikan apa yang anda pilih berbaloi untuk dimiliki. Jangan menyesal kemudian hari!

Juga pastikan harga kereta itu menepati budget anda.

Pilih Jenama Mengikut Minat

Walaupun ianya hanyalah sebuah kereta second hand, kita tetap perlu membelinya menggunakan wang hasil titik peluh kita. Oleh itu, belikan kereta tersebut mengikut minat kita namun haruslah diingatkan. Pilihlah jenama yang anda minat mengikut kesesuaian dan bajet anda. Janganlah melampaui batas kemampuan anda. Silap hari bulan, tersungkurlah kita memikirkan sejumlah wang yang harus dibayar setiap bulan. Pilihan yang tepat dan menepati kemampuan amatlah penting kerana jika melampui batas, anda boleh diibaratkan seperti makan tak kenyang, mandi tak basah dek kerana memikirkan cara untuk membayarnya setiap bulan.

Walaupun anda membeli kereta mengikut minat anda, kualiti merupakan perkara utama dalam memilih kereta. Ketepatan memilih kereta yang berkualiti akan menjimatkan kos anda dan mengelakkan muka kita daripada setiap waktu menghiasi bengkel-bengkel kereta yang berdekatan akibat daripada kereta tersebut banyak kerosakan yang dimilikinya. Hal ini akan menyebabkan kita menyesal membeli kereta tersebut dan menanggung kerugian yang besar.

Pilih Kereta Yang Banyak Dipakai

Walaupun jenama merupakan titik utama dalam memilih kereta, kereta yang banyak dipakai dan menghiasi jalan raya juga harus dititikberatkan. Kebiasaannya, kereta yang masih dipakai oleh ramai pengguna di atas jalan raya ini walaupun usianya telah lanjut, kereta tersebut masih mudah untuk mendapatkan spare partnya. Spare part untuk kereta yang masih berada di atas jalan raya juga tidaklah semahal yang disangka.

Oleh itu, disini kita sudah mampu menjimatkan kos pengeluaran kita dalam sepanjang tempoh kita ingin menggunakan kereta tersebut. Sebagai contoh, kereta Proton dari buatan tempatan mempunyai banyak spare part yang disediakan di pasaran. Kereta buatan luar negara pula seperti Honda dan Nissan yang menjadi kegilaan anak muda juga mudah untuk mendapatkan spare part nya. Oleh itu, buatlah keputusan yang bijak wahai anak muda!

Sekiranya anda membeli kereta yang jarang sekali berada di atas jalan raya, tidak mustahil bahawa spare part model kereta tersebut susah untuk didapati dan perlu ditempah dahulu. Hal ini akan memakan wang anda tanpa anda sedari kerana kita perlu menanggung kos pengeluaran yang besar bagi membaiki kereta tersebut.

Bagi anak muda yang ingin menjimatkan wang, anda disarankan membeli kereta yang senang dijaga dan kosnya yang rendah apabila dibaiki. Kebiasaannya, kereta buatan luar negara lebih mahal dan agak tidak berbaloi untuk anda membelinya terutamanya jika anda sendiri mengetahui pendapatan bulanan anda. Oleh itu, fikirkan dengan semasak-masaknya.

Membawa Rakan Yang Mahir Mengenai Kereta

Tips mudah membeli kereta terpakai jika anda bukan seorang yang mengetahui dengan hebat mengenai kereta, bawalah rakan anda yang mahir mengenai kereta. Jika rakan anda merupakan seorang mekanik, lebih bagus! Kerna seorang mekanik lebih mengetahui secara mendalam mengenai sesuatu kereta baik kereta tersebut baru ataupun sudah lama. Kadangkala, kereta terpakai jika diperiksa dengan betul, kita mampu mendapatkan kereta yang bagus dan tidak rosak hatta sedikit. Hal ini pastinya akan menjimatkan kos pengeluaran dan membaiki kereta kerana kereta yang dibeli masih dalam keadaan baik.

Pandu Uji Kereta Tersebut

Kereta yang anda hendak beli walaupun ianya merupakan minat anda, tidak mustahil anda tidak pernah menaiki kereta tersebut. Oleh itu, kereta yang hendak dibeli oleh anda mestilah dipandu uji untuk menguji sejauh mana keselesaan dan kemampuan kereta tersebut. Walaupun ianya cuma kereta second hand, ianya mestilah memberikan keselesaan yang bagus kepada pemandunya. Jika ianya tidak memberikan keselesaan, anda mempunyai masa untuk memutuskan tidak membeli kereta tersebut. Pandu uji amatlah penting kerana saat inilah kita akan menemui sebarang kerosakkan yang berlaku pada kereta tersebut. Sekiranya terdapat bunyi yang terus ataupun bergegar, besar kemungkinan enjin kereta tersebut akan rosak dalam masa terdekat. Oleh itu, elakkan daripada mengambil kereta tersebut.

Kesimpulannya, membeli kereta terpakai mempunyai kebaikan dan keburukkannya tersendiri. Kita boleh mencegah sebarang keburukkan yang akan berlaku sekiranya kita bijak memilih kereta dan melakukan semua pemeriksaan. Jika dikatakan berlebihan, tidak mengapa. Kerna hal ini melibatkan masa depan kita. Sekiranya kita membeli kereta yang bagus hasil daripada pemeriksaan ini, kita dapat menyenangkan hati kita di masa hadapan. Namun sekiranya kita tidak melakukan secara berlebihan, kita mungkin menyesal dikemudian hari kerana banyak kerosakkan yang perlu ditanggung dan akan mendatangkan beban kepada diri kita. Oleh itu, fikirlah dengan sebaik-baiknya ketika hendak membeli aset terpenting dalam hidup kita. Ianya akan menentukan kita semakin senang ataupun semakin susah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *