Kali ini saya akan keluar sedikit daripada tajuk yang berkaitan bisnes dan dan kewangan. Yelah, bukan semua orang jiwanya nak berniaga, ada juga yang lebih gemar bekerja makan gaji dan mempunyai hidup yang teratur. Jadi bila kita berbicara tentang kerja makan gaji ni, tidak ada lain yang lebih digilai selain kerja kerajaan. Tapi kenapa kerja kerajaan? Kerja swasta tak bagus ke? Dahulu kerja kerajaan ni boleh kira macam lekeh la, sebab gajinya yang agak sedikit berbanding kerja swasta. Namun semenjak ditadbir oleh PM ke 5, kakitangan kerajaan mula diberikan kelebihan-kelebihan yang ketara. Elaun banyak, bonus pun ada, dan macam-macam lagi yang dapat apabila anda bekerja dalam sektor kerajaan.
Ditambah pula kemudahan yang diberikan kepada kakitangan kerajaan dalam membuat pinjaman, sama ada pinjaman peribadi, pembiayaan rumah, ataupun pembiayaan kereta. Segala macam keistimewaan yang diberikan itu kemudiannya semakin bertambah dari tahun ke tahun sehinggalah sekarang. Kalau tidak, masakan orang yang ada ijazah pun sanggup melepaskan jawatan mereka dalam sektor swasta semata-mata mahu menjadi kakitangan kerajaan yang bertaraf SPM.
Ya, tangga gaji secara total lepasan SPM dalam kakitangan kerajaan kadang-kadang melebihi tangga gaji jawatan lepasan ijazah dalam sektor swasta. kalau kerja kerajaan lepasan ijazah pula, anda fikir la sendiri berapa banyak gajinya. Memang la berebut orang nak kerja kerajaan ni. Memang masyuk!!!
Disebabkan populariti kerja kerajaan ni dah mengalahkan menjadi seorang artis, terutamanya kalau balik ke kampung masing-masing, maka proses kemasukan ke dalam sektor kerajaan pun diketatkan sedikit supaya dapat menapis kebanjiran pemohon yang semakin meningkat saban tahun. Terdapat juga perbezaan dalam pengambilan penjawat awam dalam sektor awam biasa dan juga jawatan penguatkuasa seperti polis, bomba, kastam, imigresen dan sprm.
Bagi jawatan dalam sektor pertahanan pula, sesi temuduga dan saringan fizikal biasanya diadakan di lapangan secara terus. Jadi untuk kali ini, saya akan berikan sedikit panduan cara-cara untuk memohon kerja kerajaan supaya anda dapat memohon mengikut prodesur yang telah ditetapkan.
Memohon Kerja Kerajaan – Mendaftar di SPA
Apa itu SPA??? SPA ataupun Suruhanjaya Perkhidmatan Awam adalah satu badan yang menyelia segala macam perjawatan dalam sektor awam. Anda perlu tahu bahawa SPA ini berbeza mengikut negeri dan kerajaan pusat, maka anda kena pastikan dahulu jawatan yang ingni dipohon itu jatuh di bawah bidang kuasa SPA negeri ataupun SPA pusat. Setelah anda pasti, perkara pertama yang perlu anda lakukan untuk memohon kerja kerajaan adalah dengan mendaftar maklumat diri anda ke dalam pangkalan data SPA melalui sama ada borang manual ataupun melalui atas talian.
Perlu diingat, langkah pertama ini hanyalah untuk anda mendaftarkan maklumat diri anda sahaja, belum lagi masuk proses permohonan kerja. Sekiranya anda memohon melalui atas talian, pertama sekali anda perlu mencipta akaun anda terlebih dahulu menggunakan nombor kad pengenalan dan kata laluan. setelah akaun anda wujud, anda perlu mengisi segala maklumat peribadi diri anda di dalam pangkalan data SPA itu untuk mewujudkan profil anda yang lengkap.
Segala maklumat pendidikan juga harus anda isikan beserta segala kelayakan akademik yang lain. Wajib untuk anda hanya mengisi maklumat yang benar sahaja. Jangan pandai-pandai tambah bilangan A yang anda dapat semata-mata nak nampak hebat sebab pihak SPA akan memeriksa segala maklumat yang anda berikan itu adalah benar. Sekiranya didapati anda memberikan maklumat yang tidak benar, siap sedialah kena angkut nanti.
Setelah semuanya selesai, anda perlu save semua maklumat tadi sebagai data anda yang terbaru. Malumat ini hanya akan bertahan selama setahun sahaja. Selepas setahun sekiranya tiada apa-apa panggilan temuduga yang anda terima, anda wajib kemaskini semula data anda tadi. Proses kemaskini data ini perlu diulang setiap tahun sampailah anda dapat kerja ataupun anda putus asa nak kerja kerajaan.
Memohon kerja kerajaan – Memeriksa kelayakan jawatan
Langkah seterusnya setelah anda mendaftar semua maklumat peribadi anda tadi,adalah dengan memeriksa kelayakan jawatan yang ingin anda mohon. Saya kira, di sinilah kesilapan ramai pemohon apabila mereka biasanya melangkau langkah ini kerana anda boleh sahaja terus memohon tanpa memeriksa syarat permohonana terlebih dahulu, tetapi mana mungkin anda akan dapat jawatan pensyarah sekiranya anda hanya ada SPM. Itupun lebih banyak C daripada A.
Terdapat sebayak 5 jawatan yang anda boleh mohon dalam satu permohonan dan periksalah kelayakan dan syarat yang ditetapkan untuk setiap jawatan yang ingin anda mohon itu. Ini kerana selain daripada kelayakan akademik dan juga pengalaman bekerja, ada juga jawatan yang memerlukan kelayakan khas seperti bidang seni dan persembahan.
Memohon kerja Kerajaan – Pilih dan Hantar
Setelah selesai memeriksa kelayakan dan syarat yang ditetapkan untuk setiap jawatan,maka anda boleh mula mengisi ruang jawatan yang ingin dipohon dengan jawatan-jawatan yang anda mahu dan layak.Walaupun anda boleh mengisi sehingga 5 jawatan sekaligus, namun saya nasihatkan supaya anda hanya mengisi jawatan yang benar-benar anda mahukan sahaja. Ini kerana, permohonan yang tidak konsisten akan mengurangkan peluang untuk anda dipilih.
Memohon Kerja kerajaan – Pemeriksaan Online
Kebiasaannya, untuk permohonan jawatan yang bertaraf ijazah dan ke atas, anda akan diminta untuk menjawab peperiksaan dalam talian. Langkah ini diwujudkan untuk menapis permohonan yang tersangat banyak sehingga mencecah ribuan pemohon untuk hanya beberapa jawatan kosong sahaja. Selain itu, peperiksaan ini juga dibuat untuk menapis mereka yang benar-benar layak. Maklumlah, walaupun ramai yang mendapat keputusan cemerlang dalam pelajaran mereka, belum tentu lagi mereka ni semua bijak dan berpengetahuan.
Tambahan pula, sekiranya anda mendapat jawatan yang dipohon nanti, anda akan menjadi kakitangan kerajaan Malaysia tau. Takkan la seorang penjawat awam tidak mempunyai pengetahuan luas dalam pengetahuan am dan sejarah negara sendiri. Kebanyakan soalan yang ditanya dalam peperiksaan itu pun nanti hanyalah berkisarkan pengetahuan am dan perihal negara kita sahaja. Kacang je.
Memohon kerja Kerajaan – Temuduga dan Saringan Fizikal
Untuk jawatan-jawatan penguatkuasa seperti polis, bomba, imigresen dan lain lain lagi, anda wajib menghadiri sesi pemeriksaan fizikal yang menyeluruh. Langkah ini diambil bagi memastikan anda benar-benar cergas dan sihat untuk menjalankan tugas penguatkuasaan yang biasanya bekerja di lapangan dan bukannya di dalam pejabat berhawa dingin. Setelah lulus ujian saringan ini, barulah anda akan mendapat tarikh untuk sesi temuduga dengan pihak SPA. Seterusnya, sesi temuduga akan dijalankan untuk setiap jawatan yang dipohon.
Bagi jawatan selain jawatan penguatkuasa, anda akan diundang untuk sesi temuduga setelah lulus peperiksaan online tanpa perlu melalui ujian saringan fizikal. Untuk sesi temuduga, ianya adalah sesi temuduga biasa yang hampir sama sahaja seperti sesi temuduga di sektor swasta. Anda perlu berpakaian kemas, membawa segala sijil akademik yang berkaitan, membawa resume dan menjawab soalan-soalan yang dikemukakan dengan professional. Saya rasa setakat itu sahaja kupasan untuk cara-cara memohon kerja kerajaan, seterusnya saya ucapkan selamat berjaya kepada semua calon-calon yang memohon!