Malaysia kini semakin pesat membangun dan peluang perniagaan semakin terbuka luas bagi sesiapa sahaja yang ingin menceburinya. Bidang perniagaan boleh menjamin masa hadapan yang cerah, tetapi kebanyakan orang tidak berani mengambil langkah pertama kerana kekurangan modal perniagaan. Jika anda ingin mencuba nasib di dalam arena perniagaan, jangan khuatir meskipun anda masih tidak cukup wang di dalam akaun bank anda. Ada banyak cara-cara untuk mendapatkan modal perniagaan dan di bawah ini terdapat beberapa pilihan yang rasional.
Badan-badan pinjaman kerajaan dan separa kerajaan
Bagi mereka yang masih bertatih dalam dunia perniagaan, memohon dana daripada badan-badan pinjaman di bawah naungan kerajaan adalah satu pilihan yang wajar. Ramai ahli perniagaan Melayu yang mengenali TEKUN, PUNB, MARA dan TABUNG EKONOMI BELIA. Layarilah laman-laman sesawang mereka untuk mengetahui syarat-syarat yang perlu dipenuhi bagi mendapatkan dana tersebut.
Biasanya, dana yang diberi adalah dalam bentuk pinjaman, dan tempoh bayaran balik yang dikenakan tidaklah begitu membebankan. Contohnya, jika anda meminjam daripada TEKUN sebanyak RM5,000 anda diberi sehingga 5 tahun untuk melangsaikan keseluruhan jumlah tersebut. Ini bermakna ansuran yang perlu anda bayar setiap bulan hanya berjumlah kira-kira RM80 – RM90.
Pinjaman Bank
Anda boleh meminjam daripada bank tempatan atau antarabangsa. Meskipun begitu, ramai yang memilih bank tempatan kerana syarat yang dikenakan lebih mudah dipenuhi. Jika anda seorang warganegara Malaysia, terdapat banyak bank yang sedia menghulurkan bantuan modal. Antara jenis-jenis pembiayaan yang tersedia adalah Pinjaman Peribadi (BSN), Pembiayaan Agrocash (Agrobank), Pinjaman Mekanisasi (Bank Pertanian). Pembiayaan Mikro Islamik (Maybank) dan Pinjaman Tunai (CIMB). Realitinya, boleh dikatakan semua bank tempatan ada menawarkan pinjaman peribadi dan pinjaman perniagaan. Oleh itu terpulanglah kepada anda untuk membuat pilihan yang paling tepat.
Menjual Aset Peribadi
Ada di kalangan anda yang mungkin cukup bertuah kerana mempunyai aset peribadi yang tidak mengalami susut nilai. Contoh terdekat ialah hartanah. Rumah kediaman dan tanah lot, misalnya, akan sentiasa mengalami peningkatan harga dari semasa ke semasa. Jika anda menjual sekeping tanah seluas suku hektar, wang yang diperolehi mungkin sudah memadai untuk memulakan perniagaan yang kecil. Namun, anda harus beringat agar tidak terlalu terbawa-bawa dengan semangat untuk memulakan perniagaan. Menjual rumah kediaman yang anda sedang duduki, misalnya, bukanlah tindakan yang wajar. Imbangi risiko yang anda ambil agar anda dapat mengumpul modal perniagaan tanpa menjejaskan kualiti hidup anda.
Saham dan bon juga tergolong dalam kategori aset peribadi. Amanah Saham Bumiputera (ASB) adalah satu contoh yang paling mudah. Semua bumiputera layak untuk membuka akaun ASB, dan pada setiap hujung tahun pemegang akaun akan menerima bonus dan dividen pada kadar kira-kira 7% – 9% daripada jumlah simpanan. ASB adalah antara pemberi pulangan dividen dan bonus yang tertinggi di Malaysia setakat ini. Walaupun begitu, cara ini agak memakan masa kerana anda tidak akan diberi wang segera. Sebagai alternatif, anda boleh membuat pinjaman ASB di mana pulangan yang besar dapat dinikmati dengan segera.
Contohnya, jika anda meminjam sebanyak RM50,000, pada hujung tahun pertama pinjaman dibuat, anda sudah layak mendapat dividen dan bonus daripada RM50,000 dan bukannya daripada jumlah ansuran yang telah dibayar. Ini bermakna setiap tahun anda akan mendapat kira-kira RM4,000 dan jumlah ini boleh dikeluarkan untuk menambahkan modal.
Pinjaman keluarga
Ini adalah cara yang paling selamat kerana pada asasnya anda meminjam daripada ahli keluarga sendiri. Biasanya, ahli keluarga tidak menetapkan sebarang faedah ke atas jumlah pinjaman, dan tempoh pinjaman juga amat fleksibel. Jika anda lebih bertuah, mungkin ada ahli keluarga yang ingin melabur di dalam perniagaan anda. Lazimnya, ahli keluarga cukup berkompromi dan anda hanya perlu membuat bayaran balik apabila perniagaan anda mula menjana keuntungan.
Modal Perniagaan senang dicari
Dunia ini luas dan rezeki sentiasa ada bagi mereka yang rajin berusaha. Berniaga merupakan salah satu punca rezeki yang terbesar, oleh itu sayang sekali jika anda tidak merebut peluang yang terhidang di hadapan mata. Dalam kemakmuran yang kita nikmati kini, cuba pelbagaikan cara-cara mendapatkan modal perniagaan agar anda boleh mula berniaga dalam masa terdekat. Berusahalah dan yakini diri kerana lambat-laun kejayaan pasti menjenguk jua.
One thought on “Modal Perniagaan: Cara-Cara Mendapatkannya Di Malaysia”
Saya mau buka peniagaan kecil. Jual makanan