Siapa yang suka pergi bayar saman ataupun renew cukai jalan di JPJ? Ataupun bayar saman trafik di pejabat polis? ataupun ganti kad pengenalan di JPN? Saya yakin 100% tak ada manusia normal yang suka pergi berurusan di pejabat-pejabat kerajaan yang melibatkan khidmat pelanggan. Bukanlah saya cakap pejabat kerajaan itu tidak bagus, tetapi jumlah manusia yang berurusan di sana memang ‘sejuk’ mata memandang. Mungkin di sesetengah tempat pelanggan mereka tidak begitu ramai, tetapi kalau di kawasan Kuala Lumpur dan Selangor ni memang boleh murung la nak menunggu giliran kita. Maka nasib lah ada Myeg Online.
Kongsi Pengalaman Saya
Saya pernah sekali renew cukai jalan di sebuah pejabat JPJ di ibu kota beberapa tahun yang lepas. Saya datang tidaklah terlalu awal tapi tidaklah terlalu lambat juga, lebih kurang jam 9.30 pagi. Sampai sahaja saya di perkarangan pejabat tersebut, ya ampun orang punyalah ramai macam ada pesta durian. Disebabkan dah sampai, maka saya teruskan juga lah niat suci murni nak renew cukai jalan saya tadi. Saya pun ambillah nombor giliran dengan penuh kewibawaan. Nombor yang saya dapat adalah 1098, dalam hati saya fikir macam cantik je nombor ni, mesti sekejap je ni. Saya pun dongaklah di skrin paparan nombor giliran yang tersergam indah di hadapan, maka terpampanglah dengan penuh gaya nombor sekarang adalah 1005.
Anda kira la sendiri berapa ramai lagi yang menunggu giliran sebelum sampai ke giliran saya. Rasa lemah seluruh badan nak menunggu giliran seramai itu. Itulah kali terakhir saya menjejakkan kaki ke pejabat JPJ untuk urusan renew cukai jalan saya. Rupa-rupanya ada alternatif lain untuk kita menyelesaikan beberapa jenis urusan asas melibatkan jabatan kerajaan tertentu melalui cara online sahaja.
Platform Myeg Online
Antara yang paling efisyen adalah dengan menggunakan platform Myeg online. Sudahlah senang, siap ada khidmat penghantaran lagi tau. Bagi anda yang sealiran dengan saya, yang memang tidak suka beratur panjang dan menunggu lama, apa kata anda cuba gunakan Myeg online untuk beberapa jenis urusan agensi kerajaan yang akan saya terangkan di bawah. Apa yang penting adalah anda perlu mendaftar dahulu di Myeg online sebelum boleh membuat urusan-urusan lain.
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)
Semakan dan bayaran saman – Anda boleh menyemak status saman anda dengan JPJ dan membuat bayaran secara online di sini. Hanya perlu masukkan nombor kad pengenalan anda sahaja.
Memperbaharui auto insuran – Myeg online menawarkan sehingga 7 syarikat insuran untuk anda pilih. Anda boleh baca terlebih dahulu polisi yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat insuran tersebut sebelum membeli polisi mereka.
Memperbaharui cukai jalan – Anda Cuma perlu isikan maklumat yang berkaitan dan buat bayaran melalui online banking anda. Khidmat penghantaran terus ke rumah anda juga disediakan dan kadarnya adalah berbeza-beza mengikut jarak rumah anda. Kalau nak ambil sendiri di pejabat myeg pun boleh. Perkhidmatan memperbaharui cukai jalan ini hanya untuk kenderaan peribadi sahaja, kalau untuk kenderaan syarikat, anda kena mohon sendiri dengan JPJ. Lagi satu, untuk motosikal, kenderaan hybrid dan juga NGV pun tidak boleh menggunakan myeg. Anda kena mohon sendiri di pejabat JPJ.
Permohonana LDL – Ada pula yang tanya apa pula LDL ni. LDL ni adalah lesen L yang kita dapat masa belajar memandu dulu. Jadi kepada yang nak mohon tambahan tempoh bagi lesen L mereka boleh gunakan Myeg. Had maksima hanya 6 bulan sahaja. Lepas tu kena juga dapatkan lesen P.
Polis Diraja Malaysia (PDRM)
Semak dan Bayar Saman – Sama juga seperti JPJ, anda boleh semak di Myeg sekiranya anda mempunyai saman dengan PDRM dan terus membayar menggunakan Myeg.
Sistem Pembelian Dokumen Kemalangan – Ini adalah pilot projek antara PDRM dan Myeg untuk 3 negeri sahaja buat masa sekarang iaitu Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan. Sistem ini membolehkan anda membeli dokumen-dokumen berkaitan kemalangan kereta anda untuk tujuan tuntutan insuran. Setakat ini ianya hanya dihadkan untuk kemalangan kecil sahaja. Kalau dah sampai ada kematian dan keadaan yang teruk, itu memang kena pergi balai cerita la.
Jabatan Imigresen Malaysia
Pembaharuan Permit Pekerja Asing – Ok, yang ini saya tidak ada pengalaman tapi kalau mengikut apa yang ada di dalam Myeg, pihak majikan hanya perlu mengikut 6 langkah sahaja untuk memperbaharui permit pekerja asing mereka. Kalau pergi sendiri selesaikan urusan permit pekerja asing ni secara manual, lagi azab rasanya. Saya pernah pergi ke kedutaan India untuk satu urusan, macam mana kita tengok keadaan keretapi dalam filem Rajanikan tu, macam tulah sesaknya dekat kedutaan India.
Pembaharuan Permit Pembantu Rumah – Yang ini pun saya tidak ada pengalaman. Belum pernah lagi gunakan mana-mana khidmat pembantu rumah asing sebelum ni. Teringin juga nak pakai sebab nak ringankan sikit beban isteri di rumah, tapi dia pula yang tak nak.Takut sangat dapat pembantu rumah yang muda dan cantik. Tapi kalau saya tengok di laman Myeg, proses permohonan pembaharuan permit untuk pembantu rumah ni tidaklah serumit macam permit pekerja asing yang lain.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur
Semak dan bayaran saman/kompaun – Mana yang jenis suka parking merata kat kawasan Kuala Lumpur tu dan selalu dapat warkah keramat atas wiper kereta, maka bolehlah semak saman yang anda terima daripada DBKL di Myeg.
Semak dan bayar cukai taksiran – Kepada mereka yang tinggal di Kuala Lumpur dan mempunyai cukai taksiran di bawah DBKL, anda juga boleh menyemak dan membayar kadar cukai taksiran anda di Myeg.
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)
Perkhidmatan gantian yang melibatkan kad pengenalan anda:
Gantian Cip/Kad rosak – Sama ada keadaan fizikal cip pada kad pengenalan anda tu dah uzur sangat ataupun memang cip kad pengenalan anda memang tak boleh pakai langsung.
Gantian biasa – Cuma untuk ganti kad pengenalan lama anda kepada yang baru ataupun untuk menaiktaraf cip MyKAD dari 32K/64K to 80K. Naiktaraf ini adalah untuk menyokong aplikasi-aplikasi baru. (Contoh: Aplikasi-aplikasi baru yang telah di reka cipta untuk agensi-agensi kerajaan seperti FAMA, DOSH, JPA, DOF).
Gantian Hilang MyKad – Hanya untuk kehilangan kad pengenalan kali pertama sahaja. Untuk kehilangan kali kedua dan seterusnya (teruk sangat ni), permohonan perlu di buat melalui kaunter JPN bersama laporan polis yang menyatakan dengan jelas mengenai butir-butir kejadian dan bagaimana Kad Pengenalan tersebut hilang. Pemohon dinasihatkan untuk membuat laporan polis dan hubungi cawangan JPN bagi mendapatkan dokumen sementara sekiranya memerlukan dokumen pengenalan diri bagi tujuan rasmi.
Jabatan Insolvensi Malaysia
Setakat ini jabatan insolvensi hanya menyediakan perkhidmatan untuk carian individu dan syarikat yang berstatus muflis. Terdapat bayaran yang dikenakan untuk setiap carian rasmi ini. Pastikan anda memasukkan maklumat carian yang betul, kerana kalau ada walaupun sedikit kesalahan maklumat, nanti keputusan carian anda akan jadi berbeza.
Pusat Kutipan Zakat
Myeg hanya menyediakan platform untuk bayaran zakat daripada 8 negeri sahaja iaitu Kuala Lumpur, selangor, Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Perak, Kedah dan Sabah. Untuk negeri-negeri lain, anda boleh berurusan secara terus dengan pejabat zakat negeri masing-masing. Apa yang menarik tentang zakat melalui Myeg ini, selain daripada membuat pembayaran, anda juga boleh menyemak kadar zakat yang sepatutnya anda bayar mengikut keadaan ekonomi masing-masing. Sebab zakat buka hanya terhad kepada zakat fitrah semata-mata, ada lagi jenis zakat yang lain macam zakat pendapatan, zakat harta, zakat emas dan zakat perniagaan. Kalau duit dah berkepuk-kepuk, jangan lupa untuk bayar zakat tau. Baru berkat duit tu nanti.
Secara keseluruhannya, saya memang berpuas hati dengan perkhidmatan yang terdapat dalam Myeg online ni. Portal ini terbukti dapat menjimatkan masa, tenaga dan yang paling penting duit anda. Mungkin untuk penambah baikan di masa akan datang, banyak lagi agensi-agensi kerajaan yang lain akan diletakkan di dalam Myeg online ini untuk kesenangan rakyat Malaysia.