Kadangkala perkara yang paling susah apabila hendak menyimpan duit adalah untuk mula simpan duit. Ia juga susah untuk mengetahui cara-cara paling mudah untuk menyimpan dan untuk gunakan simpanan anda ke arah matlamat kewangan anda sendiri. Simpanan yang baik bermula dari pengurusan wang yang berkesan. Bagi remaja yang berumur 20-an, pengurusan wang anda mungkin agak berterabur lebih-lebih lagi kalau anda masih belajar dan hanya menggunakan duit pinjaman PTPTN. Namun begitu, masih sempat lagi untuk anda belajar untuk menguruskan wang anda dan mengelakkan daripada penyalahgunaan yang akan memberikan impak kepada anda sehingga beberapa tahun. Berikut kami senaraikan beberapa panduan mengurus wang anda.
Buka Akaun Bank
Pertama sekali yang anda perlu buat adalah dengan membuka akaun bank sama ada akaun simpanan atau akaun semasa. Dengan adanya satu akaun bank, simpanan anda akan lebih terjamin malah anda dapat nikmati pulangan dividend setiap bulan setiap kali anda menyimpan dengan lebih banyak di dalam akaun anda.
Sediakan satu bajet
Penciptaan satu bajet dapat mengelakkan anda daripada membeli barang yang anda tidak mampu, menangguh apa-apa pembayaran atau melambatkan pembayaran pinjaman. Kesilapan-kesilapan ini merosakkan pengurusan kewangan anda dan memberikan kesan terhadap anda apabila anda hendak menyewakan sesuatu tempat tinggal, meminjam untuk membeli kereta dan yang paling penting sekali, untuk mendapatkan kerja. Penciptaan satu bajet ini merupakan langkah yang paling penting untuk anda menguruskan kewangan anda dengan lebih teratur.
Rekod Perbelanjaan Anda
Kebanyakan orang tidak ambil tahu jumlah perbelanjaan mereka dalam sebulan. Ia merupakan satu masalah terutamanya apabila anda menguruskan wang anda dengan baik. Penyelesaian terbaik terhadap masalah ini adalah dengan merekod semua jenis perbelanjaan yang anda keluarkan termasuklah semua jenis bil seperti bil telefon, air dan elektrik, dan resit pembelian seperti barangan runcit, makanan, perabot dan lain-lain. Jangan lupa juga untuk merekod pembayaran yang dibuat oleh wang tunai dan juga kad kredit.
Dengan rekod ini, ia akan membolehkan anda untuk mengetahui secara keseluruhan bagaimana untuk menguruskan wang yang anda miliki sekarang. Anda juga akan membandingkan prestasi perbelanjaan yang sekarang dengan yang dahulu bagi membuat perancangan dan persediaan rapi untuk penggunaan dan perbelanjaan yang akan datang. Oleh itu, perbelanjaan dan kewangan anda akan lebih terurus berbanding dengan yang sebelumnya.
Ketahui dan Memahami Pendapatan Anda
Tanyalah sesiapa pun, mereka tidak akan beritahu anda berapa gaji mereka walaupun pada dasarnya mereka tahu. Pendapatan dan perbelanjaan kedua-duanya membawa maksud yang berbeza namun segelintir individu gagal untuk memahami pendapatan yang mereka dapat lalu membelanjakan pendapatan mereka lebih daripada apa yang mereka dapat. Ini menyebabkan wang yang mereka ada sentiasa tidak mencukupi disebabkan oleh perbelanjaan yang dibuat melebihi jumlah pendapatan yang mereka miliki.
Bagi sesetengah individu yang menggunakan kad kredit, hutang mereka akan sentiasa bertambah sekiranya mereka masih tidak beringat apabila berbelanja. Cara untuk anda mengetahui sama ada anda telah berbelanja lebih daripada pendapatan atau tidak adalah dengan mengambil jumlah pendapatan anda dan menolaknya dengan jumlah perbelanjaan yang anda buat dalam masa sebulan. Sekiranya jumlah yang anda dapat ialah nilai negatif, ia bermakna anda telah berbelanja lebih daripada apa yang anda dapat. Namun, jika anda mendapat nilai positif, maka tahniah kerana anda telah berbelanja kurang daripada jumlah pendapatan anda.
Setelah anda memahami perbelanjaan dan pendapatan anda serta mempunyai pengetahuan lengkap tentang keluar masuk wang dalam kehidupan seharian anda, maka tiba masanya untuk mengambil langkah seterusnya untuk menguruskan wang anda dengan lebih baik.
Kurangkan Berhutang
Tiada sesiapa pun yang sukakan hutang dan kebanyakan individu yang memerlukan pertolongan untuk menguruskan wang adalah kerana mereka memerlukan pertolongan untuk membebaskan diri mereka daripada hutang. Pertama sekali yang anda perlu lakukan adalah cuba untuk mengawal dan usaha untuk menghapuskan hutang tersebut. Sekali lagi, ia bergantung kepada perbelanjaan anda. Kurangkan perbelanjaan anda dan sekiranya pendapatan yang anda miliki tidak mencukupi untuk membeli sesuatu barang, simpan dahulu dan fikir untuk membelinya kemudian apabila duit anda mencukupi.
Di samping itu, cuba untuk buangkan tabiat bergantung kepada kad kredit. Berdasarkan statistik, salah satu punca remaja-remaja yang berumur 20-an banyak berhutang adalah kerana penggunaan kad kredit yang berleluasa tanpa mengehadkannya sedikit pun. Kurangkan penggunaan kad kredit dan cuba untuk gunakannya ketika kecemasan sahaja dan bukan setiap kali untuk membeli barang.
Potong atau Buang Perbelanjaan yang Tidak Perlu
Salah satu cara untuk anda uruskan kewangan anda adalah dengan mengurangkan perbelanjaan anda terhadap barangan yang tidak berfaedah atau yang anda tidak perlukannya. Langganan ahli kelab, akaun dan lain-lain lagi yang anda tidak perlukannya boleh dipotong atau dibuang supaya anda dapat berjimat dan pengurusan wang anda akan lebih teratur dan terurus.
Buatkan Simpanan Kecemasan
Anda tidak boleh meramal masa depan seperti ahli nujum Pak Belalang. Buatkan satu simpanan kecemasan dan jangan keluarkan simpanan duit itu. Sekurang-kurangnya, jika sesuatu perkara yang tidak diingini berlaku seperti kereta rosak atau bumbung rumah anda bocor, ada simpanan kecemasan yang telah anda simpankan untuk situasi seperti ini.
Gunakan Alat atau Aplikasi untuk Menguruskan Kewangan Anda

Aplikasi seperti Monefy telah banyak membantu para pengguna dalam menguruskan kewangan mereka dengan lebih teratur dan berkesan. Aplikasi ini mapu merekodkan semua perbelanjaan serta pendapatan yang anda miliki. Dengan aplikasi ini, anda boleh mengawal dan mengurus kewangan anda walau di mana anda berada.
Kesimpulannya
Oleh itu, pengurusan kewangan anda bukanlah sesuatu perkara yang mudah dan ia tidak juga susah. Ikutilah panduan mengurus wang yang kami telah berikan. Belajarlah untuk menyimpan dan menabung kerana anda tidak tahu apa akan terjadi kepada anda sekiranya anda asyik melakukan pembaziran wang ke atas benda-benda yang tidak berfaedah. Ianya sesuai dengan pepatah kata “Beringat Sebelum Kena”.
2 thoughts on “Panduan Mengurus Wang Anda Dengan Bijak”