Pelaburan emas – Serba sedikit yang anda perlu tahu

Pelaburan emas – Serba sedikit yang anda perlu tahu

Pelaburan emas bukan sesuatu yang baru di kalangan masyarakat kita. Emas adalah komoditi yang sudah lama bertapak dalam sejarah dunia dan mempunyai satu nilai perdagangan yang universal serta digunakan oleh seluruh dunia. Boleh dikatakan setiap tamadun dunia mempunyai sejarah mereka yang tersendiri berkaitan dengan emas termasuklah sejarah tamadun Melayu.

Oleh sebab itu, kalau perasan, orang Melayu pastinya tidak terpisah dengan sentimen barang kemas yang kebiasannya dibuat daripada emas dan perak. Jarang sekali orang kita nak membeli cincin berlian walaupun nilainya lebih tinggi daripada emas. Ini kerana, berlian dan juga lain-lain batu permata tidak mempunyai nilai jual yang stabil kalau nak dibandingkan dengan emas. Emas juga selalu dikaitkan dengan simbol kekayaan. Tengok saja makcik-makcik yang memakai gelang emas, kalau boleh nak pakai sampai dekat bahu semata-mata nak menunjukkan status mereka yang berada.

Oleh kerana faktor harga yang stabil serta minat rakyat Malaysia yang sangat tinggi dengan emas, maka pelaburan emas mula diperkenalkan secara komersial. Malangnya, terdapat banyak pula kes-kes penipuan skim pelaburan emas sejak kebelakangan ini. Nilai kerugian pula bukanlah sedikit jumlahnya, hampir berjuta nilai kerugian yang ditanggung oleh mangsa-mangsa penipuan sindiket pelaburan emas ni.

Maka tidak hairanlah ramai pelabur yang agak berumur bimbang untuk melabur dalam skim-skim yang tidak nampak oleh mata kepala mereka sendiri. Mereka lebih gemar melabur dalam bentuk fizikal dan tradisional yang mana mereka membeli dan menyimpan sendiri emas-emas mereka di rumah. Tapi jadi masalah lain pula kalau simpan emas fizikal di rumah ni, maklumlah zaman sekarang ni kes rompakan dan pecah rumah boleh dikatakan hampir ada berlaku setiap hari. Jadi adakah pelaburan emas ini masih relevan?

Dua jenis pelaburan Emas

Pelaburan emas fizikal

Pelaburan emas fizikal ni senang cerita, emas yang seketul-seketul depan mata kita beli dan jual. Pelaburan emas jenis ini dikira sebagai pelaburan tradisional dan dah ada dalam budaya masyarakat kita sejak dahulu lagi. Mak-mak kita kat kampung pun pantang ada duit lebih sikit pasti dia akan beli rantai emas la, gelang emas, cincin dan macam-macam lagi. Nak kata pakai sangat pun tidak lah semua, tapi lebih kepada simpanan sebab bila-bila kering sangat dah tak ada duit, dia pun suruh la abah kita gadaikan emas dia kat kedai emas ataupun Ar Rahnu. Bila zaman dah moden sikit ni, ada la pula yang buat skim pelaburan emas fizikal dalam bentuk syiling emas dan juga dalam bentuk jongkong emas (yang kecil bukannya sampai berkilo-kilo ye).

Seingat saya pernah meletup sekejap skim pelaburan dinar emas ni dahulu. Berpusu-pusu la orang Melayu masuk pelaburan ni dan ramai jugak la yang kena tipu hidup-hidup. Kawan-kawan yang tak pernah telefon pun tiba-tiba la hantar mesej ajak berjumpa .Ingatkan apa, rupanya nak ajak masuk pelaburan emas. Mereka ni tertipu atas sebab yang terlalu tipikal, iaitu terlalu mudah sangat percaya dengan tagline nak kaya cepat, sedangkan harus diingat, pelaburan emas adalah pelaburan yang paling perlahan sekali kenaikannya berbanding jenis-jenis pelaburan yang lain kerana harganya yang sangat stabil. Sebab tu dulu zaman nabi, emas digunakan sebagai matawang. Bayangkan kalau emas ni harganya melambung tiap-tiap tahun, dah berapa ribu tahun emas ni wujud? mau jadi berjuta harga satu gram emas sekarang.

Berbalik kepada cerita pelaburan emas fizikal kita tadi, sekarang terdapat juga cara pelaburan emas fizikal yang boleh dikatakan selamat dan terjamin iaitu simpan emas di Ar Rahnu. Di sini emas anda akan ditimbang dan disimpan sehingga anda membuat keputusan untuk menjualnnya pada harga yab lebih tinggi daripada harga asal. Pihak Ar Rahnu hanya akan mengambil kos upah simpanan sahaja. Kaedah ini sesuai untuk mereka yang mahukan pelaburan yang stabil dan selamat untuk jangkamasa panjang kerana harga emas sangat jarang menurun tetapi sentiasa meningkat dalam kadar yang perlahan.

Pelaburan emas dalam sistem perbankan

Kaedah kedua ini lebih mudah di mana anda hanya perlu membuka akaun bank di mana-mana bank yang menawarkan produk pelaburan emas. Bank-bank seperti Cimb, Maybank, Public Bank, UOB dan banyak lagi bank lain telah mula memperkenalkan akaun pelaburan emas di dalam sistem mereka. Kaedah pelaburan melalui bank ini tidak memberikan anda sebarang emas dalam bentuk fizikal, sebaliknya hanya nilai emas dalam Ringgit yang akan dimasukkan ke dalam akaun pelaburan anda. Jadi anda hanya perlu melakukan jual beli dari atas talian sahaja.

Sambil-sambil tengok drama pun boleh beli emas, begitu juga kalau nak jual. Kelebihan ini sangat berguna apabila harga emas jatuh, anda boleh menjual pelaburan emas anda pada waktu itu juga berbanding kalau anda memilik emas fizikal, yang memerlukan lebih masa untuk anda menjualnya. Tambahan pula, kebanyakan bank menawarkan pembelian emas daripada serendah satu gram sahaja. Kalau pelaburan emas fizikal, paling tidak pun mesti nak kena beli lebih daripada satu gram.

Dari aspek keselamatan pula, cara ini lebih selamat sebab anda tidak perlu menyimpan emas secara fizikal lagi tetapi terdapat juga kelemahan lain dalam sistem ini. Antara kelemahan yang paling ketara adalah, sebarang pelaburan emas melalui bank tidak dilindungi oleh Perbadanan Insuran Deposit Malaysia (PIDM). Ini bermakna,sekiranya bank yang anda laburkan emas itu gagal ataupun bankrup, maka nilai emas yang anda laburkan juga akan turut lebur sekali.

Adakah Emas lebih baik daripada Duit?

Kalau dilihat daripada beberapa sudut, emas sememangnya lebih baik daripada duit yang kita guna seharian kerana faktor kestabilan dan juga penggunaannya yang bersifat global dan diterima di mana-mana sahaja berbanding matawang biasa. Di setiap simpanan bank-bank negara juga terdapat stok emas yang sangat banyak untuk kegunaan di waktu kegawatan ekonomi. Kerajaan Britain antara yang mempunyai simpanan emas terbanyak dalam dunia. Mereka mengumpul emas-emas ini dari zaman penjajahan lagi apabila syarikat-syarikat ataupun tentera Britain yang pergi menjelajah ke negara-negara yang lebih lemah akan mengambil emas-emas tempatan untuk dibawa pulang ke negara mereka.

Pada zaman moden ini pun masih lagi aktiviti sebegini di lakukan seperti mana yang berlaku semasa perang Usa dan Iraq. Selepas kekalahan kerajaan Iraq, pihak tentera USA telah merampas sejumlah jongkong emas milik simpanan kerajaan Iraq dan di bawa pulang ke negara mereka. Ini membuktikan, emas sangat berguna walaupun pada zaman yang serba moden ini kerana harga emas tidak boleh dimanipulasikan oleh mana-mana pihak sepertimana matawang biasa yang mudah dimanipulasikan oleh penyangak matawang. Pada waktu keadaan yang tidak stabil seperti kegawatan yang teruk dan peperangan, kebiasannya emas yang akan menjadi matawang menggantikan wang kertas yang hampir tiada nilai.

Jadi tidak salah sekiranya setiap orang mempunyai sedikit simpanan emas fizikal, walaupun keadaan-keadaan yang disebut itu amat jarang berlaku.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *