Pelaburan

Pelaburan Hartanah: Faktor-Faktor yang perlu dikaji

Pelaburan Hartanah

Sebut sahaja pelaburan hartanah orang akan membayangkan pembelian rumah dan menjualnya semula dengan harga berlipat kali ganda. Perkara ini bukanlah tidak benar tetapi skop pelaburan hartanah sebenarnya sangat luas dan bukannya semata-mata jual beli rumah sahaja. Saya tidak menyalahkan rakyat Malaysia kerana berfikiran begitu kerana sememangnya kita sudah didoktrinkan dengan konsep jual beli rumah sejak azali lagi.

Malahan membeli rumah bagaikan satu perlumbaan dikalangan anak muda di negara kita terutamanya dikalangan penjawat awam yang seperti bagaikan dirasuk untuk membeli rumah tanpa berfikir panjang baik buruk tindakan itu. Akibat daripada tindakan terburu-buru ini maka ramai pemilik rumah sebenarnya yang terpaksa melepaskan rumah mereka kepada pihak Bank akibat tidak mampu untuk membayar wang pinjaman perumahan yang menjangkau sehingga 30 tahun.

Menambahkan lagi sindrom ‘gila nak beli rumah’ ini apabila semakin ramai konon-kononnya yang menjadi jutawan dalam pelaburan hartanah (rumah) dan mengadakan sesi-sesi coaching bagaimana nak jadi kaya dengan pelaburan hartanah. Saya akan bagi tips percuma kepada anda di luar sana. Kalau dengar mana-mana program yang berunsurkan ‘nak cepat jadi kaya macam saya’ ni baik lupakan sahaja.

Berpeganglah bahawasanya nak jadi kaya itu bukan mudah. Ianya menuntut anda untuk bersabar dan berilmu. Oleh itu, di sini saya akan kongsikan sedikit ilmu percuma berkenaan faktor-faktor yang wajib anda pertimbangkan sebelum membuat keputusan membeli rumah ataupun hartanah.

Spekulasi Pelaburan Hartanah

Di dalam mana-mana jenis pelaburan sekalipun, spekulasi sememangnya memainkan peranan penting sama ada untuk menaikkan nilai pelaburan ataupun sebaliknya. Oleh yang demikian, anda haruslah peka dan sentiasa prihatin dengan permainan spekulasi supaya anda tidak jatuh ke dalam perangkap spekulator hartanah yang akan merugikan anda nanti. Antara iktibar berkaitan spekulasi yang boleh kita ambil adalah tragedi perumahan di bukit sentosa Rawang apabila berpusu-pusu orang membeli rumah di sana pada harga yang agak murah dengan harapan harga rumah di situ akan menjadi berlipat kali ganda setelah projek KLIA siap dibina.

Malangnya bagi insan-insan naif ini, apa yang berlaku projek KLIA tidak jadi dibangunkan di Bukit Sentosa dan dibawa ke daerah sepang seperti yang sedia ada sekarang. Maka, termenung dan terkesimalah semua pembeli-pembeli rumah tadi yang kebanyakan mereka membeli rumah di sana sebagai pelaburan bukannya untuk dijadikan tempat tinggal. Akhirnya, berpuluh tahun kawasan perumahan Bukit Sentosa menjadi tempat tinggal makhluk ghaib dan haiwan-haiwan liar kerana tidak berpenghuni. Harga rumah jugak jatuh merudum dan kerana dek terlalu lama ditinggalkan ada rumah yang sudah hancur dimakan cuaca. Kawasan perumahan ini akhirnya hidup semula setelah kilang Produa dan beberapa kilang-kilang besar mula didirikan di sana. Faktor susur keluar lebuhraya utara selatan juga berjaya meningkatkan sedikit populasi penduduk di kawasan tersebut. Walaupun begitu, kawasan perumahan ini masih belum pulih sepenuhnya akibat daripada tragedi tersebut.

Pengajaran Daripada Tragedi Perumahan Bukit Sentosa

Pengajarannya disini adalah, dalam proses nak membeli rumah, anda harus pastikan kawasan itu strategik dan ada ciri-ciri akan terus membangun dalam masa beberapa tahun akan datang. Jangan ambil risiko membeli rumah di kawasan yang tiada apa-apa hanya berbekalkan khabar angin dan spekulasi yang kononnya bermacam-macam projek akan dibina seterusnya menjadikan harga rumah di situ akan meningkat pada masa depan.

Jaringan Jalan Raya

Ini juga perkara penting yang akan mempengaruhi harga beli dan nilai hartanah anda nanti. Faktor jaringan jalan raya sememangnya satu perkara yang sangat penting sehinggakan syarikat-syarikat gergasi luar negara juga sentiasa mengambil kira faktor ini dalam keputusan mereka untuk menetapkan lokasi pembinaan kilang ataupun premis perniagaan. Perlu diingat taman perumahan di kawasan bandar tidak semestinya akan mempunyai jaringan jalanraya yang baik.

Anda boleh lihat sendiri beberapa kawasan perumahan di daerah Klang yang mana harganya memang sangat murah kalau nak dikira dengan faktor lokasinya yang berdekatan dengan kawasan bandar. Tetapi apabila anda masuk sendiri ke kawasan itu barulah anda akan nampak dan faham kenapa harganya sangat murah. Kadang-kadang ada yang tidak mempunyai jaluran jalan yang sempurna menghubungkan kawasan perumahan dengan jalan utama sehingga penduduk terpaksa membuat jalan pintas sendiri yang sememangnya sangat merbahaya. Hal ini berlaku kerana pihak pemaju mahu mengurangkan kos pembinaan seterusnya dapat menjual harga rumah dengan rendah. Selain itu, kedudukan lebuhraya juga akan mempengaruhi nilai rumah.

Jangan salah faham, kawasan perumahan yang berdekatan dengan lebuhraya dan mudah untuk diakses adalah baik untuk nilai hartanah anda, tetapi kalau betul-betul bersebelahan dengan lebuhraya tanpa ada ciri-ciri keselamatan, ianya boleh jadi tidak bagus untuk pelaburan hartanah anda kerana ianya tidak selamat dan merbahaya untuk kanak-kanak.

Kemudahan Asas

Setiap satu kemudahan asas yang dibina di dalam kawasan perumahan akan meningkatkan nilai hartanah di kawasan tersebut. Antara kemudahan asas yang wajib anda perhatikan adalah seperti sekolah, hospital, masjid, pasar, stesen minyak dan bank. Pernah ada kes harga hartanah di satu kawasan ini meningkat hampir sekali ganda hanya kerana terbinanya sebuah bank komersial. Perkara-perkara asas ini juga akan memberikan impak yang baik kepada sektor ekonomi di kawasan tersebut seterusnya akan menambahkan bilangan populasi penduduk. Apabila sektor ekonomi dan populasi meningkat, maka kawasan tersebut akan secara automatik mendapat permintaan yang tinggi daripada pembeli ataupun penyewa seterusnya menaikkan harga hartanah di kawasan sekitar.

Pengangkutan Awam

Pada zaman yang serba canggih seperti sekarang, pengangkutan awam telah menjadi sangat penting dan mula dijadikan sebagai medium pengangkutan utama rakyat terutamanya di kawasan bandar. Kini sistem pengangkutan awam negara kita sudah menuju kearah yang lebih moden dengan wujudnya LRT, MRT dan akan datang ERCL. Kesemua jaringan pengangkutan awam ini telah terbukti sangat baik untuk perkembangan ekonomi negara dan tidak ketinggalan ianya juga memberi kesan terhadap harga hartanah di kawasan sekitar.

Lihat sahaja perubahan harga rumah di kawasan berdekatan stesen MRT sebelum dan selepas projek MRT siap dibina. Lonjakan harga hartanah dikawasan ini bukan sahaja kerana kemudahan yang diberikan oleh sistem MRT itu tetapi juga perkembangan sektor ekonomi yang meningkat di kawasan jajaran MRT. Oleh itu pastikan anda peka dengan perkembangan projek-projek perumahan yang akan dibina di kawasan jajaran pengangkutan awam.

Projek Mega dan Tarikan Pelancong

Kewujudan projek-projek mega sama ada daripada pihak kerajaan ataupun swasta perlu diberi perhatian dalam pertimbangan anda membuat pelaburan hartanah. Ini kerana projek-projek mega yang berimpak tinggi akan menjadikan kawasan sekitar sebagai tumpuan umum rakyat Malaysia  mahupun luar negara.

Kita ambil contoh kawasan Langkawi yang telah menunjukkan peningkatan dalam nilai hartanahnya semenjak berbagai-bagai acara antarabangsa diadakan disana antaranya acara LIMA yang berjaya menarik pengunjung dalam dan luar negara. Begitu juga halnya dengan kawasan sekitar Legoland di Johor yang terbukti telah meningkatkan nilai hartanah sebaik sahaja projek itu siap. Walaupun begitu, anda tetap perlu berhati-hati sekiranya projek-projek yang nak dibangunkan itu nanti tidak berjaya disiapkan oleh pemaju seterusnya akan merencatkan nilai hartanah di kawasan tersebut. Sebab itulah sebaiknya anda tunggu sahaja projek-projek sebegini siap dahulu barulah anda buat pelaburan hartanah di kawasan sekitar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *