Ramai di antara kita yang bekerja 9-5 tanpa henti selama berpuluh tahun sebelum bersara dengan satu jumlah wang persaraan yang boleh dikira cukup-cukup sahaja. Ada juga yang bersara dengan penuh bergaya (pangkat tinggi la tu), tapi tak kurang juga yang bersara dengan penuh sengsara. Kenapa ini terjadi sedangkan mereka sudah bekerja bersungguh-sungguh selama puluhan tahun? Antaranya adalah kerana ketiadaan pendapatan pasif di samping kerja harian mereka. Bayangkan berpuluh tahun itu jika diselit dengan pendapatan pasif walaupun sedikit tetapi sudah pasti mampu memberi perbezaan yang ketara kerana tempoh terkumpul yang cukup lama. Tapi apa tu pendapatan pasif?
Pendapatan Pasif vs Pendapatan Aktif
Mungkin masih ada yang tidak tahu ataupun tidak pernah mendengar dua jenis pendapatan ini. Pendapatan aktif adalah pendapatan yang kita perolehi melalui kerja-kerja harian ataupun perniagaan yang dijalankan setiap hari ataupun secara konsepnya macam pepatah kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Berlainan pula dengan pendapatan pasif yang lebih kepada pelaburan senyap ataupun selalu orang cakap pendapatan pasif ni adalah duit buat duit. Modal dan usaha yang diperlukan biasanya hanya digunakan diperingkat awal sahaja kemudian hanya menunggu wang masuk setiap bulan atau setiap tahun bergantung kepada jenis pendapatan pasif yang dibuat.
Sebenarnya di zaman millennium ini, pendapatan pasif sudah terlalu meluas sehinggakan ramai yang memilih untuk menjadikan pendapatan pasif sebagai satu-satunya sumber kewangan mereka. Perkara ini banyak berlaku di negara-negara barat kerana mereka mahukan lebih masa untuk diri sendiri dan juga keluarga. Justeru, saya akan kongsikan beberapa jenis pendapatan pasif yang mungkin boleh anda cuba mengikut kesesuaian gaya hidup anda.
Pelaburan Dividen
Pelaburan dividen memang cukup diminati di negara kita kerana dasarnya yang mungkin kena dengan budaya rakyat Malaysia. Antara yang paling popular adalah pelaburan ASB yang sememangnya sudah membuktikan rekod cemerlang memberikan dividen kepada setiap pencarumnya sepanjang ditubuhkan. Cuma antara kekurangan ASB ni adalah jumlah pelaburan awal yang diperlukan adalah agak banyak jika mahu dividen yang akan diterima nanti berbaloi. kalau setakat labur RM 10,000 memang letih jugaklah nak tunggu jadi banyak.
Pelaburan Saham
Berbeza dengan pelaburan ASB, pelaburan saham masih agak kurang diminati di Malaysia walaupun secara teknikalnya pelaburan ASB dan saham adalah perkara yang sama. Hal ini mungkin juga kerana kurang pendedahan terhadap pelaburan saham dari awal. Perbezaan utama antara saham dan ASB adalah kadar dividen ASB itu hampir sama dan tetap setiap tahun, sedangkan pelaburan saham pula kadar keuntungannya berbeza-beza. Walaupun begitu, sekiranya anda memilih untuk melabur wang anda ke dalam syarikat-syarikat yang besar dan stabil, hal risiko dan kadar keuntungan sudah boleh dilupakan.
Royalti Buku
Untuk jenis pendapatan pasif ini, anda perlu mempunyai kemahiran dan bakat menulis. Royalti ataupun komisyen yang diperolehi untuk sesebuah buku adalah berbeza-beza mengikut kontrak yang dipersetujui antara penulis dan pihak penerbitan. Saya tidak pasti kalau di Malaysia ni jumlah royalti yang diperolehi tetapi kalau untuk penulis di luar negara royalti mereka boleh sampai jutaan dollar bergantung kepada kelarisan buku tulisan masing-masing. Lihat sahaja contoh penulis terkenal seperti JK Rowling, J.R.R Tolkien dan lain-lain yang telah menjadi jutawan hanya dengan mengarang buku. Jadi sekiranya anda rasa anda ada bakat menulis, jangan tunggu lama-lama, cubalah untuk mengarang sekarang mana tau rezeki anda boleh jadi penulis terkenal satu hari nanti.
Menyewakan Bilik atau Rumah
Adakah anda mempunyai rumah ataupun bilik yang jarang digunakan?? Jika ada, kenapa tidak anda sewakan sahaja ruang yang tidak digunakan itu untuk pendapatan sampingan. Konsep sewa di sini bukanlah semata-mata sewa secara jangkamasa panjang yang biasa diamalkan di Malaysia, tetapi lebih kepada penyediaan hospitaliti ala hotel. Konsep ini sudah banyak dilakukan di luar negara dimana tuan rumah ataupun dipanggil Host akan menyediakan sewaan bilik sahaja ataupun merangkumi kesuluruhan pakej seperti makanan, khidmat pemandu pelancong dan lain-lain. Dengan cara ini, anda dapat mengelakkan isu kerosakan bilik atau rumah seperti yang selalu berlaku untuk penyewa jangkamasa panjang. Terdapat berbagai-bagai platform yang anda boleh gunakan untuk mendapatkan tetamu seperti Airbnb dan coachsurfing dan biasanya tetamu yang bakal anda perolehi adalah pelancong asing yang tidak lokek untuk memberikan tips tambahan sekiranya anda menyediakan perkhidmatan yang mesra dan cekap.
Dropshipping dengan Kedai Online
Seperti semua sedia maklum, perkembangan industri online di dalam negara sangat cepat dan pesat. Oleh yang demikian, anda haruslah mengambil peluang ini jika tidak mahu ketinggalan di belakang. Salah satu cara paling mudah untuk mendapatkan wang pasif daripada jaringan internet adalah melalui kaedah dropshipping. Melalui cara ini, anda tidak perlu mengeluarkan modal Cuma perlu membina sebuah kedai online dibawah platform-platform e-dagang yang sedia ada. Antara platform yang popular adalah lazada,shopee dan shopify.
Membuat Channel di Youtube
Saya masih lagi lihat kita kekurangan youtuber di Malaysia sedangkan di negara luar Youtube sudah menjadi salah satu sumber pendapatan yang lumayan. Apa yang penting dalam membuat channel di youtube adalah kreativiti anda dalam menghasilkan video-video yang mampu menarik minat penonton untuk melanggan channel anda. Sekiranya anda berjaya melepasi jumlah pelanggan yang melanggan channel anda, pihak Youtube akan membayar setiap jumlah tontonan yang dicapai oleh video anda.
Jangan tak tahu, sudah terlalu ramai orang di luar sana yang menjadi jutawan hanya melalui kaedah ini. Walaubagaimanapun terdapat beberapa syarat yang wajib dipatuhi oleh setiap youtuber untuk melayakkan mereka dibayar antaranya video yang dihasilkan mestilah original dan bukannya yang diambil daripada pihak lain.
Bisnes Vending Machine
Jika anda ada modal dan mahukan pendapatan pasif yang sederhana, bolehlah anda mencuba bisnes vending machine ini. Hanya perlu beli mesinnya dan letakkan di tempat yang strategik dan ramai pelanggan. Selain itu, anda juga perlu bertanggungjawab terhadap penambahan stok ke dalam vending machine anda dari masa ke semasa. Ini sebenarnya adalah kelemahan yang paling selalu saya perhatikan apabila kebanyakan pemilik vending machine tidak peka terhadap keperluan menambah semula stok yang kurang ataupun kadang-kadang sampai habis licin masih tidak ditambah.
Apabila perkara sebegini berlaku, pelanggan yang mungkin berada di sekitar sudah mula mengganggap bahawa vending machine anda tidak mempunyai stok dan menghalang mereka untuk pergi membeli di mesin anda. Selain itu, kawasan yang strategik dan mempunyai jumlah pelanggan yang ramai juga menjadi salah satu faktor penting dalam menjayakan bisnes vending machine anda.
Sewakan ruang luar kereta untuk iklan
Pernah tak anda melihat kereta yang penuh dengan stiker ataupun tulisan yang berbentuk komersial?? Sekali pandang memang nampak serabut macam papan iklan, tetapi sememangnya itu adalah fungsi utama kereta tersebut; Sebagai kereta Iklan. Jumlah bayaran yang diterima pula adalah berbeza-beza mengikut kontrak dan ruang yang digunakan. Kalau anda memang jenis yang tidak kisah memandu kereta yang penuh bertampal, bolehlah anda cuba cari-cari syarikat pengiklanan yang mahu menggunakan khidmat ruang kereta anda. Sambil jalan sambil duit masuk kan?