Sebagai seorang pelajar terutamanya pelajar universiti, anda akan dibelenggu oleh masalah kewangan atau kesempitan duit ketika anda belajar. Oleh itu, mencari pendapatan semasa anda sedang belajar bukan sahaja membantu anda mencari duit malah dapat mengembangkan pengalaman anda di universiti. Hampir 80% pelajar universiti sekarang sekurang-kurangnya mempunyai kerja sambilan. Ini bermakna pelajar-pelajar tersebut mampu membeli sendiri buku-buku pelajaran dan pada masa yang sama, memasukkan pengalaman bekerja ke dalam resume mereka. Jadi, berikut kami senaraikan cara-cara untuk menjana pendapatan sampingan sebagai seorang pelajar bermula dengan peluang pekerjaan di luar kampus dan disambung dengan peluang pekerjaan di dalam kampus anda sendiri.
Peluang Kerja di Luar Kampus
Bekerja di luar kampus mampu membantu menjana lebih banyak pendapatan berbanding bekerja di dalam kampus. Namun, ianya bergantung kepada jenis pekerjaan yang anda lakukan di luar kampus. Bayaran untuk bekerja di dalam kampus tidaklah terlalu tinggi oleh kerana jaraknya yang dekat dengan anda dan juga permintaan yang tinggi daripada kalangan pelajar sendiri. Oleh itu, carilah pekerjaan di luar kampus meskipun ianya tidak memberikan kemudahan dan kesenangan yang sama seperti bekerja di dalam kampus. Berikut merupakan senarai pekerjaan di luar kampus yang boleh anda cuba bagi menjana pendapatan sampingan anda sendiri.
Menjadi Pemandu Grab atau ‘Transporter’
Jika anda mempunyai sebuah kereta dan selesa untuk menggunakannya sebagai teksi di bandar-bandar besar, menjadi pemandu Grab adalah satu cara mencari pendapatan sampingan sebagai seorang pelajar. Anda boleh tetapkan masa memandu anda dan hanya terima pesanan yang anda senangi. Grab merupakan satu syarikat yang menawarkan orang awam untuk menjana pendapatan melalui perkhidmatan pengangkutan seperti perkhidmatan teksi. Syarat-syarat untuk menjadi pemandu Grab tidaklah begitu ketat seperti pendaftaran untuk menjadi seorang pemandu teksi. Sekiranya anda tidak mahu berdaftar dengan syarikat Grab, anda boleh tawarkan diri anda kepada rakan-rakan anda di Universiti sebagai pemandu atau ‘transporter’ bagi membawa mereka ke destinasi yang ingin dituju pada harga yang lebih berpatutan berbanding dengan perkhidmatan yang ditawarkan oleh pemandu teksi. Jumlah pendapatan yang anda boleh jana adalah antara RM2000 ke RM3000 sebulan bergantung kepada masa memandu dan kesanggupan anda untuk bekerja setiap hari.
Menjadi Penghantar Makanan atau ‘Runner’
Selain daripada menjadi pemandu, anda juga boleh gunakan kenderaan anda untuk menghantar makanan oleh restoran dan penjual makanan persendirian. FoodPanda merupakan salah satu contoh syarikat yang mencari individu untuk menghantar makanan yang didaftarkan di dalam laman web mereka. Anda juga boleh menerima tawaran daripada penjual makanan persendirian bagi menghantar pesanan ke rumah pelanggan mereka. Menjadi penghantar makanan ini tidaklah menguntungkan tetapi cukup untuk anda menjana sedikit bagi perbelanjaan harian anda. Jumlah pendapatan yang anda boleh jana adalah antara RM1000 ke RM2000 sebulan bergantung kepada berapa banyak pesanan yang boleh anda hantarkan dan masa bekerja anda.
Menjadi Guru atau ‘Tutor’
Mengajar merupakan salah satu cara mudah untuk menjana pendapatan. Ramai ibu bapa sedang mencari tenaga pengajar persendirian yang mahir dalam beberapa subjek termasuklah matematik, sains, bahasa melayu, bahasa inggeris, kimia, biologi dan fizik bagi mengajar anak-anak mereka di rumah tanpa perlu menghantar mereka ke pusat tuisyen. Jumlah pendapatan yang anda boleh jana adalah antara RM1000 ke RM2000 sebulan bergantung kepada berapa banyak permintaan daripada ibu bapa dan masa bekerja anda.
Peluang Kerja di Dalam Kampus atau Dalam Talian (online)
Setelah kami senaraikan pekerjaan yang anda boleh lakukan di luar kampus, berikut merupakan senarai pekerjaan yang anda boleh lakukan di dalam kampus sama ada bekerja di Kampus atau dalam talian (online).
Bekerja di Kedai Runcit atau Kiosk Universiti
Anda boleh bekerja di kedai runcit atau kiosk universiti sekiranya anda tidak mempunyai apa-apa kenderaan untuk bekerja di luar kampus anda. Bayarannya tidak terlalu tinggi tetapi sekadar cukup bagi perbelanjaan harian anda. Jumlah pendapatan yang anda boleh jana adalah antara RM500 ke RM1000 sebulan bergantung kepada masa bekerja anda.
Menjadi Guru Bahasa
Sekiranya anda mempunyai kemahiran dalam pelbagai bahasa, anda boleh gunakannya sebagai cara untuk menjana wang dengan cara mengajarkannya kepada orang lain. Sesetengah pelajar mencari tenaga pengajar yang mahir dalam bahasa asing seperti Mandarin, Jepun, Korea, Inggeris dan sebagainya. Gunakan peluang kemahiran anda untuk mengajar mereka pada harga yang berpatutan. Jumlah pendapatan yang anda boleh jana adalah antara RM1000 ke RM2000 sebulan bergantung kepada berapa banyak permintaan daripada pelajar dan masa bekerja anda.
Menjawab Kaji Selidik
Mobrog atau Valuedopinions merupakan salah satu laman web yang benar-benar berkesan untuk menjana pendapatan melalui menjawab kaji selidik. Melalui laman web ini, anda dibayar untuk pendapat anda. Kelemahan laman web ini adalah anda perlu menunggu untuk permintaan untuk menjawab kaji selidik tersebut dan selalunya ia tersedia seminggu 2 atau 3 kali untuk menjawabnya. Bayarannnya agak sedikit tetapi merupakan kerja yang mudah. Jumlah pendapatan yang anda boleh jana adalah antara RM100 ke RM200 sebulan bergantung kepada berapa banyak soalan kaji selidik yang anda jawabkan.
Menjual Perkhidmatan dan Kemahiran Anda
Sekiranya anda mahir dalam sesuatu benda seperti mengedit video, melukis logo atau dalam bidang penulisan, maka Fiverr adalah laman web yang terbaik untuk anda mendapat pendapatan sampingan sebagai seorang pelajar. Terdapat ramai individu termasuklah pelajar di seluruh dunia menjual perkhidmatan mereka di sini. Jika anda baru hendak menyertainya, anda perlu bersaing dengan penjual-penjual baru yang lain. Setelah anda sudah lama di laman ini, mendapatkan kerja akan menjadi lebih mudah lebih-lebih lagi penilaian yang dibuat oleh para pembeli merangkumi 5 bintang kesemuanya. Jumlah pendapatan yang anda boleh jana adalah antara RM1000 ke RM2000 sebulan bergantung kepada berapa banyak permintaan daripada pembeli dan masa bekerja anda.
Kesimpulannya
Seperti yang anda dapat lihat, terdapat berbagai cara mencari pendapatan sampingan sebagai seorang pelajar. Mudah-mudahan, anda akan dapatkan satu cara untuk menjana pendapatan sampingan semasa anda belajar.
One thought on “Mencari Pendapatan Sampingan Sebagai Seorang Pelajar”