Berniaga secara online sudah menjadi trend masa kini. Kebanyakan syarikat tidak ketinggalan dalam merebut peluang menjalankan perniagaan online meskipun mereka telah meraih keuntungan yang melimpah-ruah secara konvensional. Jika anda ingin mengorak langkah sebagai usahawan internet, antara perkara asas yang perlu diambil tahu adalah tentang kebaikan dan keburukan berniaga di dalam talian. Adalah penting untuk anda mengetahui serba sedikit tentang perkara ini agar persediaan yang rapi dapat dilakukan. Mari kita kupas tentang kebaikannya dahulu.
Kos permulaan yang kecil
Apa yang anda perlukan sebagai permulaan hanyalah sebuah laman web yang mempunyai nama domain anda sendiri serta tapak sewaan atau hosting. Pada hari ini, anda boleh membeli nama domain dengan harga yang cukup rendah iaitu dalam lingkungan RM40 setahun. Ada juga yang ditawarkan secara percuma, tetapi fungsinya agak terhad. Oleh itu, lebih elok jika anda mendapatkan laman web dengan nama domain berbayar. Anda perlu membayar kos hosting bagi nama domain tersebut dan bayaran boleh dibuat secara bulanan, tiga bulan sekali, dua kali setahun, sekali setahun atau sekali dalam dua tahun, bergantung kepada jenis hosting dan pilihan pembayaran yang disediakan oleh pihak pembekal. Harga hosting amat berpatutan dan terdapat pilihan serendah RM25 setahun. Antara pembekal nama domain dan hosting di Malaysia adalah seperti Syokhost, Sempoihosting dan Jomhosting. Antara pembekal luar negara pula adalah seperti Bluehost, GoDaddy dan Hostgator.
Kos pemasaran percuma
Berbanding dengan perniagaan konvensional di mana anda perlu berbelanja besar untuk mempromosikan produk secara meletakkan iklan di surat-surat khabar dan kaca televisyen, promosi secara online boleh dilakukan tanpa sebarang kos. Apa yang anda perlukan adalah pengetahuan yang cukup tentang kaedah pengoptimuman enjin carian atau dalam bahasa Inggerisnya dipanggil SEO atau search engine optimization. Kaedah ini dgunakan untuk memudahkan pelanggan menemui laman web anda apabila mereka mencari sesuatu produk atau perkhidmatan melalui enjin carian, contohnya Google, Yahoo dan Bing. Anda juga boleh menggunakan laman-laman sosial seperti facebook, Instagram dan twitter untuk meningkatkan pendedahan laman web anda di dunia maya secara percuma. Perlu diingat bahawa kaedah SEO sentiasa berubah mengikut peredaran masa, oleh itu pastikan anda menggunakan yang terkini dan relevan.
Perniagaan anda bersifat automatik
Sebaik laman web anda diaktifkan dan disenaraikan di enjin-enjin carian, urus niaga akan berjalan secara automatik, bergantung kepada tetapan pilihan anda. Jika ada pelanggan yang membuat pesanan pada pukul 3:00 pagi, contohnya, anda tidak perlu kalut untuk bangkit dari tidur. Terdapat banyak pilihan kaedah pembankan internet masa kini yang boleh digunakan, seperti Maybank2u, CIMB Clicks, RHB Now, Paypal, Moneybookers dan Payoneer.
Di bawah ini, mari kita tinjau keburukannya pula.
Kekangan undang-undang
Apabila anda menjalankan perniagaan internet, anda tertakluk kepada undang-undang yang telah ditetapkan oleh negara-negara di mana pelanggan boleh mendapat akses kepada laman web anda. Anda juga tertakluk kepada undang-undang privasi, hak cipta dan percukaian. Jika anda menawarkan produk atau perkhidmatan yang tidak sesuai untuk golongan tertentu, anda harus mematuhi syarat-syarat perundangan tertentu sebelum laman web anda dibenarkan untuk bersiaran. Anda boleh menggunakan perkhidmatan guaman untuk memastikan yang perniagaan online anda tidak lari daripada landasan yang betul.
Lambakan produk cetak rompak
Memandangkan internet dikunjungi oleh jutaan pengguna dari serata dunia setiap hari, amat penting bagi anda untuk sentiasa mendahului saingan anda. Satu daripada masalah yang mungkin anda hadapi adalah berkenaan kos yang diperlukan untuk mendapatkan hak cipta bagi produk atau idea perniagaan. Ramai usahawan internet yang terlepas pandang akan perkara ini, dan akibatnya lahirlah lambakan produk cetak rompak di alam maya. Apabila ini berlaku, anda akan kerugian dari segi tenaga, masa dan juga wang ringgit. Peluang anda untuk meraih keuntungan juga mungkin akan berkurangan secara drastik kerana pelanggan mungkin akan terdorong untuk membeli produk yang lebih murah walaupun ianya bukan yang asli.
Penutup
Potensi perniagaan online tiada hadnya dan selagi pengguna memerlukan produk yang anda tawarkan, selagi itulah anda berpeluang untuk menjana pendapatan. Ramai yang telah menjadi jutawan hasil berniaga di internet. Perkongsian hari ini boleh anda jadikan sebagai panduan, dan semoga anda sukses dalam masa yang terdekat.