Perniagaan Online Paling Laris

Perniagaan Online Paling Laris

Dunia kini berada pada zaman penggunaan teknologi berskala tinggi. Segala urusan harian dilakukan atas talian atau menggunakan alat elektronik seperti telefon pintar dan komputer bagi melunaskan tugas-tugas harian dengan mudah. Begitu juga dengan perniagaan, perubahan berlaku seiring dengan perkembangan teknologi dan dikenali dengan Perniagaan Online. Kaedah ini melahirkan ribuan ahli perniagaan dan usahawan online yang berjaya serta memiliki keuntungan tahunan yang tinggi. Persoalannya, apa itu perniagaan online? Apakah perniagaan online paling laris dan memberi keuntungan kepada peniaga?

Perniagaan online melibatkan urusan perniagaan yang berlaku dalam talian menggunakan internet sebagai medium perantaraan. Urusan perniagaan ini semakin mendapat perhatian umum dan menjadi salah satu cara bagi para peniaga di luar sana meraih keuntungan. Perniagaan ini juga sesuai dilakukan kepada mereka yang ingin mendapatkan pendapatan tambahan disebabkan caranya yang lebih mudah.

Cara-cara memulakan Perniagaan Online

Langkah pertama, peniaga perlu mengetahui kehendak dan keperluan pasaran. Dalam erti kata lain, produk yang ingin dipasarkan hendak sesuatu yang kurang dipasaran tetapi sangat penting bagi keperluan pelanggan. Langkah kedua, penerangan terhadap sesuatu produk itu perlu jelas, menarik dan mudah difahami. Langkah ketiga, sediakan medium rasmi untuk memaparkan keistimewaan produk dan perkhidmatan yang anda sediakan.

Sebagai contoh, penggunaan media sosial seperti Instagram, Twitter dan Facebook sehingga ke penghasilan website rasmi sendiri. Hal ini memberi keyakinan kepada pelanggan untuk melayari dan membeli produk anda. Akhir sekali, bina reputasi dan populariti melalui kaedah pemasaran yang tepat. Kaedah pemasaran yang tepat seperti gambar yang cantik dan iklan kreatif dengan kuasa viral mampu menarik pelanggan membeli produk anda.

Produk Perniagaan Online Paling Laris

Fesyen dan Pakaian

Tahun 2017 menyaksikan kejayaan pelakon dan usahawan online Neelofa tersenarai dalam Forbes 30 Under 30 sebagai usahawan muda bawah umur 30 tahun yang berjaya dan berdapatan tinggi. Pengasas NH Prima International Sdn Bhd ini tersenarai di bawah kategori Runcit dan E-dagang. Syarikat ini menjalankan perniagaan online dengan menawarkan fesyen dan pakaian muslimah sebagai produk utama. Hasil jualan dan keuntungan yang tinggi menjadikan Neelofa salah satu jenama yang dikenali secara global. Hal ini menunjukkan bahawa, fesyen atau produk pakaian merupakan antara perniagaan yang terlaris pada era ini. Keperluan berpakaian mengikut trend bukan sahaja menjadi kehendak dan minat pengguna, malah ia menjadi keperluan kepada masyarakat umum lazimnya untuk aktiviti harian seperti pakaian ke pejabat, majlis rasmi dan pakaian harian.

Kemunculan website membeli belah secara online seperti Zalora, Fesyen Valet dan Lazada merancakkan industri perniagaan fesyen di atas talian. Pengguna cenderung melayari website tersebut bagi mendapatkan maklumat tentang trend terkini, koleksi pakaian daripada pereka fesyen terkenal dan barangan jenama antarabangsa. Persaingan antara jenama dan pereka fesyen dalam menghasilkan koleksi fesyen yang terbaik memberi pelanggan pilihan yang banyak untuk berfesyen dan mengikut trend terkini.

Produk Makanan

Penghasilan atau jualan produk makanan juga menjadi perhatian umum sebagai salah satu perniagaan online yang terlaris. Jika dahulunya, kita perlu ke restoran atau premis perniagaan untuk mendapatkan hidangan atau makanan harian. Tetapi kini, kita hanya perlu membuat tempahan secara online dengan hanya melihat menu melalui telefon pintar. Proses jual dan beli bermula apabila produk makanan tersebut dipasarkan dalam talian. Kemudian, pelanggan hanya perlu melakukan tempahan makanan dengan menyertakan maklumat seperti alamat, bukti pembayaran dan nombor telefon. Setelah tempahan diambil, peniaga perlu menyiapkan makanan yang ditempah dan menghantar makanan tersebut ke alamat yang disediakan.

Proses ini menjimatkan masa dan memudahkan pelanggan yang sibuk bagi mendapatkan makanan yang diingini. Kemudahan tersebut turut dirasai oleh peniaga kerana mereka hanya perlu menyediakan tempahan makanan mengikut kuantiti yang dipersetujui oleh pelanggan malah boleh mengurangkan kos pembuatan dan urusan perniagaan. Makanan yang sering menjadi tarikan dalam perniagaan online seperti makanan kudapan, roti dan pastri.

Untuk bersaing dengan perniagaan yang sedia ada, kita perlu kreatif menghasilkan dan mencipta produk makanan yang tidak pernah wujud dalam pasaran. Ada juga diantara peniaga diluar sana, mengambil inisiatif menambah baik sesuatu makanan tersebut dan menghasilkan pilihan yang lebih banyak kepada pelanggan. Sebagai contoh, kemunculan pisang goreng cheese, ais kepal milo dan bahulu berperisa membuktikan kreativiti rakyat tempatan sendiri.

Media Sosial

Selain itu, salah satu cara lain usahawan online menjana pendapatan adalah menggunakan media sosial seperti laman Youtube, Instagram, Facebook dan Twitter. Pengguna laman sosial ini mampu menjana pendapatan yang tinggi dengan hanya membuat video dan menyiarkan secara online. Golongan ini juga digelar sebagai Media Social Influencer atau Youtuber oleh masyarakat umum. Pada awalnya, golongan ini hanya berkongsi video tentang aktiviti harian kepada umum. Populariti mula meningkat apabila pengikut mereka di laman sosial semakin ramai kerana suka menonton video-video tersebut.

Pemilik akaun media sosial ini perlu sentiasa aktif dan mendapatkan pengikut yang ramai bagi memastikan mereka kekal popular. Bagi pengguna laman Youtube pasti mengenali artis Youtube bernama Felix Kjellberg atau lebih dikenali sebagai Pewdiepie daripada Sweden. Artis ini menjana pendapatan sebanyak 12juta USD setahun dengan menggunakan akaun Youtube dan tersenarai sebagai Highest Earning Youtuber.

Bagi peminat artis Youtube tempatan, Matlutfi antara nama yang menjadi perintis kepada perkembangan aktiviti vlog ataupun video blogging. Konsep aktiviti sama seperti mengulas atau menulis pada blog, namun perbezaannya adalah menggunakan video sebagai medium penyampaian. Golongan ini mengutarakan pendapatan secara bebas dengan kreativiti dan idea penyampaian yang berkesan. Bukan itu sahaja, pemilik akaun Instagram bernama faizdickievp atau nama sebenar Mohd Nasrul Faiz mencetuskan fenomena di Malaysia dengan menghasilkan karektor-karektor lucu dalam video miliknya. Personaliti popular online ini juga menggunakan pengaruh media sosialnya membuat ulasan atau review terhadap produk-produk tempatan bagi tujuan pemasaran.

Konklusi

Secara konklusinya, perniagaan online paling laris yang terdapat di pasaran merangkumi pelbagai jenis dan aspek. Jenis perniagaan ini bukan sahaja menawarkan produk seperti makanan dan pakaian, usahawan online juga menawarkan perniagaan perkhidmatan kepada umum. Peniaga perlu bijak dan kreatif dalam memasarkan produk mereka agar dikenali umum. Dunia berada pada era teknologi tinggi, tidak hairanlah semakin ramai anak muda menjadikan peniaga atau usahawan online salah satu kerjaya pilihan. Tambahan pula, bidang perniagaan juga dikategorikan sebagai mudah disebabkan keperluan modal yang agak rendah jika dibandingkan dengan perniagaan yang memerlukan premis.

Nasihat akhir

Perlu diingat, setiap perniagaan pasti ada risiko yang bakal menanti. Sekiranya persiapan dan kajian terperinci terhadap pasaran diambil dengan sambil lewa seperti melepaskan batuk ditangga pasti peniaga tersebut menghadapi masalah. Namun begitu, tidak boleh disangkal lagi tentang dunia perniagaan online mampu memberikan pendapatan yang tinggi serta menjamin kelangsungan kewangan seseorang peniaga sekiranya dilakukan dengan usaha yang gigih dan cara yang betul.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *