Pinjaman Tekun Nasional Review

pinjaman tekun nasional

Tekun Nasional adalah satu agensi kerajaan di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi. Orang yang berada diluar ruang lingkup dunia perniagaan biasanya tidak berapa kenal dengan pinjaman Tekun Nasional ni. Agensi ni dah banyak sangat membantu para usawahan kecil kita dalam memulakan perniagaan mahupun untuk membesarkan perniagaan yang sedia ada. Cuma Tekun ni kurang sikit popularitinya berbanding SME Bank walaupun jasanya sangat besar. Ibaratnya Tekun Nasional ni macam intan di celahan kaca la – cehh macam lagu pula ye.

Siapa sebenarnya Tekun Nasional?

Secara umumnya, Tekun Nasional ni hanya memfokuskan bantuan perniagaan kepada kaum Bumiputera dan kaum India sahaja. Tekun Nasional ni bukan setakat bagi pinjaman sahaja, mereka juga ada menawarkan macam-macam bantuan dan sokongan kepada usahawan-usahawan kecil terutamanya dari segi khidmat nasihat dalam selok belok perniagaan. Ini lah yang membezakan Tekun nasional dengan Bank komersial. Mereka bukan hanya bagi pinjam kemudian perah duit ansuran tiap-tiap bulan tapi mereka memang betul-betul nak pastikan usahawan-usahawan Bumiputera ni berjaya dan maju dalam bisnes masing-masing.

Mereka juga selalu buat pemantauan kepada peminjam mereka dari masa ke semasa untuk memastikan betul ke duit pinjaman tu dibuat meniaga. Takut-takut orang kita ni dapat duit pinjaman langsung ke showroom kereta melompat-lompat nak tukar kereta baru. Akhirnya bisnes pun kemana, pinjaman pun habis macam tu je. Perkara macam ni memang biasa terjadi, sebab tu Tekun Nasional ni ambil langkah yang proaktif untuk memantau peminjam-peminjam mereka. Dah macam cikgu disiplin Tekun ni kan? Bagus betul.

Apa pula Pinjaman Tekun Nasional?

Pinjaman Tekun Nasional ni adalah jenis pinjaman mikro. Apa benda pulak pinjaman Mikro ni? Mikro ni bermaksud kecil, jadi pinjaman yang kecil lah. Had pinjaman dari Tekun Nasional hanyalah RM100,000 sahaja. Itu pun bergantung kepada beberapa syarat, antaranya mestilah pernah membuat pinjaman yang lebih rendah dengan Tekun Nasional kemudian dah habis bayar barulah boleh mohon untuk pinjaman seterusnya yang lebih besar tidak melebihi RM100,000.

Jenis-Jenis Pinjaman Yang ditawarkan Tekun Nasional

Skim Pembiayaan Tekun Niaga

Ini adalah produk utama Tekun Nasional. Skim ini hanya terbuka kepada Bumiputera sahaja. Untuk melayakkan anda memohon pinjaman ini, anda mestilah mempunyai premis/lokasi perniagaan ataupun perniagaan mobile seperti food truck. Selain itu, anda juga tak boleh memohon kalau ada pinjaman perniagaan dengan institusi kewangan lain melebihi RM100,000. Tempoh bayaran balik pula adalah dari 6 bulan sehingga 10 tahun.

Setakat apa yang saya dengar dari rakan-rakan yang pernah membuat pinjaman Tekun ni, kalau bab bayaran balik tu biasanya atas budi bicara pegawai. Mereka akan pantau keadaan perniagaan kita tu nanti. Kalau nampak macam bisnes kita bergelut nak bayar di peringkat awal tu, biasanya mereka akan bagi sedikit kelonggaran. Jadi pandai-pandai lah anda uruskan kewangan tu nanti.

Dalam skim ni ada dua tawaran iaitu skim pembiayaan kecil (SPK) yang bermula dari RM10,000 – RM50,000 dan skim pembiayaan Sederhana (SPS) yang bermula dari RM50,000 – Rm100,000. Kalau anda berhajat nak beli kapal kontena sampai juta-juta, itu kena pegi bank lain ye. Selain itu, anda juga perlu bayar sumbangan tabung pengurusan Tekun sebanyak 4% daripada jumlah pinjaman yang anda buat. Kiranya macam kadar faedah la ni. Cuma bagusnya Tekun cuma cas peminjam setahun sekali bukan macam kadar faedah pinjaman biasa yang cas tiap-tiap bulan.

Lagi satu bagusnya pinjaman Tekun ni, peminjam akan ‘dipaksa’ membuat simpanan sebanyak 5% daripada jumlah nilai pinjaman setiap tahun. Ini adalah berdasarkan pemantauan dan kajian pihak Tekun selama ni, di mana mungkin ramai antara usahawan Bumiputera ni yang tidak ada simpanan perniagaan untuk digunakan di waktu-waktu kecemasan. Dah macam isteri kita pula Tekun ni kan?? tadi macam cikgu disiplin… bagus betul. Kelebihan lain yang ada pada pinjaman Tekun ni adalah perlindungan Insurans kemalangan diri berkelompok dan juga plan Takaful kredit.

Skim Pembiayaan Teman Tekun

Seterusnya, kita ada Skim pembiayaan Teman Tekun yang lebih berkonsepkan pinjaman berkumpulan. Untuk jenis pinjaman ini, ianya terbuka kepada Bumiputera dan juga kaum India melalui dana khas untuk kaum India iaitu Dana SPUMI. Syarat-syarat asas lain lebih kurang juga dengan Skim Tekun Niaga Cuma kelainan dan keunikan utama skim ni adalah pemohon mestilah terdiri dari satu kumpulan 5 orang (lelaki dan wanita) dari ‘orang yang dipercayai’.

Ha..nampak tak kat situ betapa bagusnya Tekun ni, sekejap jadi Isteri, sekejap jadi cikgu disiplin sekarang dah jadi Uztaz pulak. Dia ingatkan kita siap-siap, mesti cari orang yang dipercayai sebab dalam bisnes ni memang ramai sangat yang tak jujur. Ahli keluarga terdekat juga tidak dibenarkan sama sekali turut serta dalam kumpulan itu tadi dan ahli-ahli kumpulan juga mestilah berada dalam radius 10km antara satu sama lain dan wajib menghadiri perjumpaan TEMAN setiap minggu di tapak perniagaan / Pejabat TEKUN Cawangan / tempat yang bersesuaian bersama pegawai TEKUN. Sampai ke tahap tu caring nya Tekun Nasional ni dengan usahawan-usahawan kita. Kalau bank komersial lain, ada dia kisah?

Selepas dah ada kumpulan tadi, peserta mesti menjalani satu latihan asas yang diadakan oleh pihak Tekun Nasional untuk memastikan setiap usahawan ada asas pengetahuan dalam dunia perniagaan. Kelebihan-kelebihan lain seperti insuran dan simpanan tetap masih sama seperti Skim Tekun Niaga.

Skim Pembiayaan Program Temannita

Di atas dasar keprihatinan Tekun Nasional terhadap golongan wanita, maka diwujudkan pula Skim pembiayaan khas untuk wanita. Sebenarnya langkah ni memang sangat baik memandangkan banyak sangat masalah yang dihadapi oleh kaum wanita terutamanya golongan ibu tunggal. Dengan adanya skim yang khas kepada kaum wanita seperti ini, maka ramai usahawan-usahawan wanita yang mendapat manfaat dari Skim ini. Lagi pun, hakikatnya memang yang ramai berniaga ni orang perempuan, walaupun siang hari dia kerja malam dia berniaga online pula. Sebab tu Tekun tubuhkan Skim khas untuk Wanita. Kalau orang lelaki ni, balik kerja terus terbongkang (termasuk saya sendiri).

Skim Pembiayaan Kontrak I

Untuk skim yang ini ada beza yang ketara sikit sebab skim ni cuma diberikan kepada usahawan ataupun syarikat yang terlibat dengan kontrak-kontrak kerajaan sama ada kerajaan pusat, kerajaan negeri, GLC atau badan berkanun. Jumlah pembiayaan juga tidak melebihi RM100,000 tapi bayaran pinjaman mesti dibayar tidak lebih dari 6 bulan.

Kenapa pendek sangat tempoh bayaran semula tu?

Sebabnya selepas 6 bulan biasanya kontraktor pasti akan dibayar oleh kerajaan. Cuma skim ini hanya terbuka kepada kontraktor utama sahaja yakni mereka yang mendapat surat penganugerahan kontrak/surat tawaran kerja daripada kerajaan dan tidak sah untuk sub-kontraktor. Jadi kepada mana-mana kontraktor yang berjaya dapat tender atau kontrak daripada kerajaan tapi kurang modal ataupun memang tiada modal kerja, bolehlah memohon dengan Tekun.

Program Agropreneur Muda

Program ni adalah program khas yang diwujudkan pada tahun 2017 dengan tujuan untuk memberi pinjaman kepada usahawan-usahawan muda yang terlibat dengan industri asas tani. Syarat asasnya sama seperti skim-skim yang lain kecuali umur pemohon mestilah tidak melebihi 40 tahun.

Yelah, nama pun usahawan muda kan. Selain itu juga, pemohon mestilah sudah mengusahakan apa-apa jenis bidang pertanian sekurang-kurangnya 6 bulan dan dah mendapatkan hasil. Maknanya skim ni lebih kepada pembesaran projek yang sedia ada dan bukannya untuk projek baru. Kalau baru nak terhegeh-hegeh tanam biji benih tu, jangan nak memandai pergi mohon pula ye. Tunggu dapat hasil dulu. Permohonan juga mestilah mendapat sokongan daripada agensi-agensi pembimbing di bawah Kementerian Pertanian dan Asas Tani untuk syarat kelayakan.

Agak ketat sedikit untuk program ni, maklumlah anak muda ni mesti dipantau takut dia buat duit belanja kahwin pula nanti. Jadi cukuplah fungsi Tekun nasional ni daripada seorang isteri, cikgu disiplin, uztaz dan sekarang macam seorang ayah yang memantau kelaku anak bujangnya untuk berjaya.

Macam mana? Hebat kan Tekun Nasional ni? Jadi setakat itu sahaja ulasan dari saya mengenai apa yang anda perlu tahu mengenai pinjaman Tekun. Untuk keterangan lanjut, anda boleh lungsuri lelaman Tekun – https://www.tekun.gov.my/ms/

One thought on “Pinjaman Tekun Nasional Review

  1. assalamualaikum. pinjaman tekun ni peminjam diberikan cash atau macamana? Bisnes saya ok alhamdulillah, walaupun pkp. Berhasrat untuk expand.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *