Rancangan perniagaan ataupun biasanya dipanggil bisnes proposal, adalah satu instrumen yang sangat penting dalam proses memulakan perniagaan, mengembangkan perniagaan ataupun mendapatkan sesuatu projek/tender. Ramai diantara kita yang selalu salah faham tentang rancangan perniagaan. Majoriti mengganggap bahawa bisnes proposal ini hanya perlu untuk memohon pinjaman bank ataupun dana daripada pihak kerajaan. Tanggapan ini hanyalah separuh benar, kerana bisnes proposal sebenarnya patut dibuat oleh setiap usahawan sebelum bermulanya sesuatu perniagaan ataupun projek.
Namanya pun rancangan perniagaan, maka sudah tentulah kertas azimat ini digunakan dalam proses merancang. Ianya juga dapat memberikan gambaran tentang masalah-masalah yang mungkin akan dihadapi oleh pemilik projek pada masa akan datang. Bisnes proposal haruslah lengkap dan merangkumi pelbagai aspek dalam sesebuah perniagaan dari awal sehinggalah fasa terakhir projek yang akan dijalankan termasuklah anggaran penggunaan sumber dan pengagihannya nanti. Disini saya akan sertakan beberapa perkara asas yang wajib ada dalam sesebuah rancangan perniagaan.
9 Perkara Asas Bisnes Proposal
1. Latarbelakang syarikat/pemilik
Setiap rancangan perniagaan wajib menerangkan secara lengkap profil syarikat ataupun pemilik (sekiranya individu). Ini adalah perkara pertama yang akan dilihat oleh pihak bank untuk anda memohon pinjaman ataupun dana. Pastikan ianya dibuat dengan professional yang mana segala maklumat lengkap seperti alamat syarikat, senarai pemegang saham, perniagaan teras yang dijalankan dan juga pengalaman syarikat sepanjang ditubuhkan.
2. Pengenalan dan Ringkasan Eksekutif
Pada peringkat ini, bisnes proposal haruslah menceritakan serba sedikit tentang apa gambaran awal yang berkaitan dengan rancangan perniagaan tersebut. Sebagai contoh sekiranya anda ingin membuat sebuah bisnes proposal tentang projek perternakan ikan siakap,di peringkat pengenalan bisnes proposal ini anda perlu menceritakan serba sedikit tentang keseluruhan industri perikanan negara. Apabila masuk kepada ringkasan eksekutif, barulah anda mengecilkan skop cerita kepada aspek ikan siakap secara spesifik. Rancangan eksekutif ini sangat penting kerana ianya adalah untuk memastikan sesiapa sahaja akan faham apa yang anda ingin sampaikan secara keseluruhan. Oleh itu pastikan ianya cukup ringkas dan padat tetapi pada masa yang sama mudah difahami oleh sesiapa sahaja.
3. Tujuan Rancangan perniagaan
Bagi memastikan rancangan perniagaan anda tidak disalah tafsir oleh mana-mana pihak, sila pastikan tujuan anda menulis rancangan perniagaan ini jelas dan spesifik. Katakanlah anda membuat bisnes proposal untuk mendapatkan kelulusan untuk menggunakan tanah kosong milik kerajaan, anda wajib menekankan tujuan anda itu supaya mereka faham tujuan anda adalah untuk menggunakan ruang tanah milik kerajaan dan bukannya untuk memohon dana ataupun membeli tanah tersebut. Ini adalah kerana tujuan bisnes proposal berbeza-beza mengikut kehendak masing-masing dan tidak semestinya hanya untuk memohon dana atau pinjaman semata-mata.
4. Objektif Projek/perniagaan
Jangan terkeliru antara tujuan rancangan perniagaan dengan objektif projek. Objektif projek hanya berkisarkan tujuan projek sahaja secara khusus tanpa ada kena mengena dengan pihak ketiga (bank, kerajaan dan pelabur). Kita ambil contoh projek ternakan ikan siakap tadi, untuk tujuan bisnes proposal anda tetapkan ianya untuk memohon dana dari pihak bank, manakala untuk objektif projek pula anda boleh letakkan ianya sebagai usaha memperkasakan industri perikanan negara. Permintaan terhadap ikan siakap adalah masih tidak mencukupi, maka anda bercadang untuk cuba memenuhi permintaan ini melalui projek yang anda rancangkan. Jadi pastikan tujuan rancangan perniagaan anda tidak sama dengan objektif projek.
5. Rancangan Pentadbiran
Ini adalah berkenaan dengan aspek pengurusan untuk projek anda nanti. Siapa yang akan menguruskan pentadbiran projek termasuk segala dokumentasi yang berkaitan. Ianya perlu ditunjukkan dengan jelas sekiranya bisnes proposal anda bertujuan untuk mendapatkan dana dari pihak bank ataupun pelabur. Ini bertujuan untuk meyakinkan mereka akan kekemasan jalur pentadbiran yang anda miliki kerana segala dokumentasi akan dirujuk dari masa ke semasa. Sekiranya anda tidak mempunyai struktur pentadbiran yang teratur, maka ianya akan mengurangkan keyakinan pihak ketiga (bank/pelabur) terhadap kebolehlaksanaan projek anda itu nanti.
6. Rancangan Operasi
Untuk peringkat ini, anda perlu menerangkan secara teliti akan struktur pengoperasian projek anda nanti. Segala hal yang berkaitan operasi perlu dimasukkan mengikut susunan. Di sinilah inti sebenar sesebuah rancangan perniagaan itu. Semua sumber yang akan digunakan perlu dijelaskan satu persatu begitu juga dengan cara ianya beroperasi. Kita ambil contoh yang sama iaitu projek ikan siakap tadi, pada peringkat awal tanah harus diratakan kemudian baru dikorek untuk menjadikan kolam ikan. Selepas itu apa pula yang perlu anda buat haruslah diterangkan secara lengkap dan mengikut peringkat proses. Dalam proses meratakan tanah tadi apa pulak jentera yang perlu dipakai?? berapa hari tempoh yang diperuntukkan?? jumlah pekerja yang diperlukan??? Semua ini harus dijelaskan dengan teliti dari awal ratakan tanah sehinggalah hasil ikan dapat dituai.
7. Rancangan pemasaran
Setelah selesai dengan semua aspek operasional, kini tinggal untuk memikirkan bagaimana pula untuk menjual produk ataupun servis yang anda tawarkan. Dalam bab ini, anda harus menerangkan rancangan anda untuk memasarkan produk ataupun servis yang anda tawarkan menurut bisnes proposal anda. Terdapat berbagai-bagai cara boleh dilakukan untuk memasarkan produk anda seperti suratkhabar, media sosial, media elektronik, papan iklan ataupun risalah. Apa yang penting adalah anda perlu tahu untuk sesuaikan jenis pemasaran yang terbaik bergantung kepada jenis produk, kumpulan pengguna sasaran dan juga bajet yang anda rasakan mampu untuk menjalankan pemasaran nanti. Ada yang sanggup berhabis wang ringgit demi mendapatkan khidmat pemasaran yang terbaik kerana sememangnya dengan kaedah pemasaran yang betul pastinya akan dapat memberikan pulangan yang berganda.
8. Rancangan kewangan
Ini adalah bahagian yang paling penting dan kritikal sekali dalam rancangan perniagaan kerana ianya melibatkan wang dan bagaimana anda menguruskannya. Walaupun rancangan kewangan ini sangat penting, masih ramai usahawan di luar sana yang tidak begitu menitikberatkan perkara ini. Saya selalu melihat bisnes proposal yang sangat sempurna namun apabila tiba di bahagian rancangan kewangan, ianya seolah-olah tiada isi langsung. Kesilapan tipikal usahawan kita biasanya hanya memasukkan pengiraan bajet untuk keseluruhan projek dalam rancangan kewangan mereka sedangkan masih banyak lagi aspek lain dalam hal rancangan kewangan yang perlu dimasukkan.
Perkara ini mungkin disebabkan oleh pengetahuan dan kemahiran usahawan kita dalam hal ehwal kewangan yang agak kurang berbanding dengan usahwan daripada negara luar. Antara perkara yang paling lemah saya perhatikan adalah unjuran aliran tunai (cash flow projection) yang sebenarnya sangat penting dalam sesuatu projek tetapi selalu dipandang remeh oleh usahawan kita. Di dalam rancangan kewangan inilah yang akan menentukan sama ada projek yang kita rancangkan itu mampu dilaksanakan seterusnya boleh mendatangkan keuntungan ataupun tidak.
9. Penutup dan lampiran
Setiap rancangan perniagaan haruslah disudahi dengan kesimpulan secara keseluruhan tentang rancangan yang dibuat. Walaupun ianya bukanlah elemen yang penting dalam merancang, tetapi ianya akan menunjukkan tahap professionalisme kita yang tinggi. Selain itu, maklumat tambahan yang dirasakan perlu, boleh dilampirkan di halaman terakhir bisnes proposal anda. Ini akan memberikan gambaran yang lebih jelas terhadap apa-apa elemen yang mungkin agak kompleks untuk diterangkan di dalam rancangan perniagaan anda seperti carta proses,graf, ataupun gambar-gambar yang berkaitan.