Apa tu RinggitPlus? Saya rasa ramai juga yang belum pernah nama RiggitPlus ni, walaupun sebenarnya selalu je iklan-iklan mereka keluar dekat media social ataupun bila kita layari laman web. Kalau saya kata yang Ringgit Plus ni ada memberi pinjaman wang berlesen mesti orang ingat mereka ni Ah long.
Malangnya itu tidaklah benar sama sekali sebab bukan mereka yang bagi pinjaman sebenarnya, tetapi bank-bank komersial di Malaysia. Pihak RinggitPlus ni cuma menjadi pengantara ataupun pemudahcara sahaja untuk anda.
Selain daripada pinjaman, banyak lagi perkhidmatan lain yang berkaitan kewangan yang ditawarkan oleh RinggitPlus dan saya akan kupas satu persatu sebagai rujukan anda.
Sejarah
Sebelum kita pergi jauh, kita tengok dulu sejarah RinggitPlus ni. Dilancarkan secara rasmi pada 2013, dan RinggitPlus ini sebenarnya adalah salah satu daripada jenama yang dimiliki dan diuruskan oleh Fintech Jirnexu Sdn Bhd (co. no. 1081989D).
Pengasas syarikat ini memulakan syarikat beliau pada 2012 sebab nak bagi khidmat nasihat dan panduan kepada orang ramai tentang produk-produk kewangan yang ada di Malaysia.
Kad Kredit
Pihak RinggitPlus menawarkan pelanggan mereka untuk memohon kad kredit daripada bank-bank komersial melalui mereka. Kenapa tak pergi bank dan buat terus dengan Bank? Sebabnya, kalau kita terus pergi bank, pegawai bank tu hanya cerita yang indah-indah je untuk kita dengar sebab dia nak kita ambil kad kredit dengan dia.
Lain ceritanya kalau dengan RinggitPlus ni, sebab kita akan diberi pilihan untuk pilih kad kredit daripada bank yang berlainan. Senang cerita, RinggitPlus ni macam pasaraya untuk kad kredit.
Bukan setakat boleh pilih, mereka juga dah siapkan perbandingan antara setiap kad kredit ni termasuklah kadar faedah,yuran tahunan dan juga pulangan tunai kembali. Paling menarik, para pelanggan juga akan dapat tengok sendiri bonus dan hadiah yang ditawarkan oleh setiap bank-bank komersial ni tadi. Ada yang bagi periuk nasi, ada yang bagi pakej percutian dan macam-macam lagi. Pandai-pandai la anda pilih.
Kalau tak tau juga nak pilih, jangan risau sebab pihak RinggitPlus dah siapkan perbandingan dan juga carta kad kredit yang menjadi pilihan orang ramai. Saya secara peribadi suka dengan konsep RinggitPlus ni sebab segalanya jadi mudah.
Kalau anda nak mohon kad kredit dengan mereka, hanya perlu tinggalkan nombor telefon dan nama untuk pihak mereka hubungi melalui aplikasi whatsapp.
Pinjaman Peribadi
Ini antara produk kewangan yang paling popular dalam Malaysia dan juga kadang-kadang yang paling banyak karenahnya. Siapa yang pernah buat pinjaman peribadi dengan mana-mana bank komersial pasti tahu yang kita kena hadir sendiri ke bank dan ambil nombor giliran.
Sudahlah pening kepala nak cari parkir, masuk dalam kena menunggu lagi. Sampai je giliran kita, kena pula isi borang macam-macam, lepas itu kena sediakan segala macam dokumen macam nak minta kerja.
Dah selesai semua, pegawai bank pun kata akan telefon semula dalam masa seminggu. Akhirnya,pegawai bank cakap permohonan anda tidak diluluskan. Kalau rasa anda tak mahu melalui semua di atas, anda boleh cuba mohon pinjaman peribadi anda dengan RinggitPlus.
Caranya cukup mudah, yang mana anda hanya perlu isikan empat ruangan di laman web RinggitPlus iaitu jumlah pinjaman,tempoh bayaran balik,pendapatan anda sebulan dan jenis pendapatan anda. Anda juga boleh memilih untuk memohon pinjaman anda dengan bank tertentu ataupun dengan semua bank yang ada.
Selesai sahaja mengisi semua maklumat tersebut, anda akan dihubungi oleh pihak RinggitPlus melalui aplikasi Whatsapp dan anda hanya perlu serahkan dokumen berkaitan melalui whatsapp sahaja. Mudah kan?
Simpanan Tetap
Jangan ada yang keliru pula antara simpanan tetap dengan akaun simpanan. Akaun simpanan tu yang kita masukkan duit gaji hujung bulan dan habiskan dalam masa seminggu. Simpanan tetap ni adalah salah satu intrumen pelaburan sama macam ASB loan, bezanya sebab ianya melalui bank-bank komersial yang kita pilih.
Disebabkan simpanan tetap ni adalah satu bentuk pelaburan, makanya dengan menggunakan perkhidmatan RinggitPlus ni akan memudahkan anda untuk menilai institusi mana yang menawarkan kadar pulangan yang terbaik dan bersesuaian dengan rancangan pelaburan anda.
Setiap bank akan menawarkan kadar faedah yang berbeza mengikut tempoh matang tertentu dan pihak RinggitPlus sudah menyediakan perbandingan setiap kadar faedah tersebut dengan tempoh matang yang berbeza-beza.
Cerita mudahnya, anda hanya perlu klik sahaja setiap tempoh matang yang ada dan pilih bank mana yang tawarkan pulangan faedah terbaik untuk anda. Tak perlu susah-susah masuk ke laman web setiap bank dan tekan kalkulator anda.
Insuran Kenderaan
Walaupun insuran kenderaan ni ramai yang pandang ringan, tetapi sebenarnya ianya sangatlah mustahak dan sebab itu saya rasa dengan adanya RinggitPlus ni, ianya memudahkan kita untuk membuat pilihan.
Anda tak semestinya membuat insuran kenderaan anda dengan mereka, tetapi maklumat perbandingan yang ada dalam RinggitPlus itu sangatlah membantu. Bukan setakat insuran kenderaan biasa sahaja yang anda boleh lihat, RinggitPlus juga ada tawarkan insuran kehilangan dan kebakaran.
Untuk abang-abang e-hailing, anda juga boleh dapatkan insuran kenderaan e-hailing anda di sini. Mereka yang bercadang untuk membeli kereta second hand, boleh juga dapatkan insurans anda di RinggitPlus.
Insuran Perjalanan
Insuran perjalanan ni biasanya dah ada masa kita nak beli tiket penerbangan dan kita boleh pilih untuk ambil atau tidak. Biasanya saya kalau perjalanan domestik saya memang tak ambil, tetapi kalau ke luar negara risiko perjalanan tu akan jauh lebih tinggi dan wajib saya ambil. Insuran perjalanan ni pun ada macam-macam jenis.
Ada yang hanya untuk satu trip sahaja dan ada juga yang merangkumi tempoh setahun. Jadi RinggitPlus ni dah bagi kemudahan kepada anda untuk menilai harga dan juga kelebihan atau kekurangan setiap insuran perjalanan yang ditawarkan oleh setiap syarikat insuran yang ada.
Anda juga boleh membuat pilihan untuk satu perjalanan ataupun insuran tahunan.
Kad Kesihatan
Perkhimatan terakhir yang mereka tawarkan adalah produk kad kesihatan daripada pelbagai syarikat insuran terkemuka. Pada saya, dalam banyak-banyak hal, kad kesihatan inilah yang paling penting untuk anda nilai sebaiknya kerana anda akan bayar dalam jangkamasa yang panjang dan anda akan gunakan dalam keadaan anda amat memerlukan.
Ramai yang ambil mudah hal ni dan bila mereka perlu guna kad kesihatan mereka, bermacam-macam masalah timbul. Kalau dengar cerita ejen insuran, memanglah semuanya indah belaka tetapi sebagai pengguna yang bijak, kalaupun anda tak mahu gunakan RinggitPlus sebagai perantara, sekurang-kurangya anda boleh gunakan perbandingan yang mereka sediakan untuk anda menilai setiap polisi kad kesihatan yang ditawarkan.
Bukan setakat boleh baca, RinggitPlus juga ada sediakan khidmat nasihat percuma kepada anda untuk memilih kad kesihatan yang bersesuaian dengan pendapatan dan risiko anda.
Kesimpulan
Secara peribadi, usaha RinggitPlus memberikan maklumat perbandingan produk-produk kewangan yang lengkap dan terperinci secara percuma kepada semua orang haruslah dipuji. Selain daripada memberikan maklumat, sistem whatsapp yang mereka gunakan pada saya sangatlah mudah dan cepat berbanding kalau kita sendiri perlu pergi ke bank.
Yang paling bagus adalah system whatsapp mereka ni akan melayan anda 24 jam sehari jadi kadang-kadang yang sibuk bekerja waktu pejabat masih boleh mendapatkan maklumat dan maklumbalas daripada RinggitPlus bila dah pulang ke rumah.