Kad Kredit: Risiko Dan Bahaya Penggunaannya

Kad Kredit Risiko Dan Bahaya Penggunaannya

Kad kredit merupakan satu instrumen yang secara zahirnya dicipta untuk memudahkan urusan transaksi kita kerana tidak perlu lagi menggunakan wang secara fizikal. Untuk barangan yang harganya murah mungkin tak nampak sangat kegunaan kad kredit ini, tetapi kalau yang harganya mencecah ribuan ringgit atau mungkin juga yang puluhan ribu ringgit, mana mungkin nak membayarnya secara tunai. Itu antara kelebihan kredit kad yang nampak jelas.

Dahulu sebelum wujudnya kad debit dan juga perbankan online, sememangnya kad kredit adalah pilihan utama golongan yang suka berbelanja besar terutamanya golongan muda. Saya sendiri pun pernah menggunakan kad kredit beberapa tahun yang lepas. Sebab utama saya menggunakan kad kredit adalah untuk tujuan kecemasan sekiranya transaksi tunai tidak boleh digunakan. Saya pernah terkena sekali kerosakan kereta di waktu malam. Kebetulan saya juga tidak membawa wang tunai yang banyak waktu itu. Bertambah malang lagi, tiada pula ATM yang berdekatan untuk saya mengeluarkan wang. Apa lagi, menggelabahlah saya nak cari cara untuk membayar jumlah kerosakan kereta saya tu pada tuan punya bengkel. Mujurlah taukenya sangat bertolak ansur dan membenarkan saya bayar keesokan harinya. Selepas kejadian itu, saya terus sahaja memohon kad kredit dari sebuah bank tempatan. Had kad kredit yang saya miliki ketika itu adalah Rm 10,000. Pada waktu itu, jumlah tersebut memang sudah dikira lumayan berbanding sekarang. Kebetulan saya juga masih bujang dan hidup bebas bagaikan burung-burung yang beterbangan. Apa lagi, tanpa sedar kad kredit telah merasuk perbelanjaan saya yang masih berdarah muda ketika itu untuk membeli barangan-barangan yang saya tidak perlukan pun.

Dalam masa tidak sampai 6 bulan, tanpa saya sedari saya sudah menghampiri had kredit yang ditetapkan bank. Pada mulanya, saya ingatkan pihak bank mungkin akan memberi amaran dan mengarahkan saya untuk membayar jumlah kredit saya. Tetapi jangkaan saya silap. Sebaliknya, pihak bank menelefon saya dan memberi pilihan (baca:membodek) untuk saya menambah had kredit saya yang sedia ada supaya saya dapat berbelanja lebih banyak. Rupa-rupanya pihak bank memang suka kita berhutang dengan mereka. Lebih banyak hutang, lebih tinggi kadar faedah yang mereka akan dapat nanti. Mujurlah saya dapat menghidu taktik licik mereka dan menolak dengan baik. Saya juga bertekad untuk melunaskan segala hutang kredit saya secepat mungkin dan menamatkan penggunaan kad kredit saya serta-merta.

Apabila penyata dari bank sampai ke tangan saya, alangkah terkejutnya saya melihat kadar faedah yang dikenakan ke atas penggunaan kredit kad saya itu hampir mencecah 20%!!!!… Bersyukur sangat saya dah tamatkan penggunaan kredit kad masa tu. Kalau tidak mungkin saya dah muflis sekarang ni. Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh AKPK, punca utama golongan muda di bawah 30 tahun muflis adalah kerana hutang kredit kad. Jadi disini, asasnya kredit kad itu tidak ada salahnya pun, yang menjadi soal adalah cara penggunaan dan juga mungkin beberapa perkara yang kita sebagai pengguna tidak tahu sebelum menggunakan kredit kad.

Bahayanya Kad Kredit Jika Tidak Kawal

Terdapat beberapa perkara yang mungkn menjadi faktor kepada bahayanya kad kredit ini. Saya akan senaraikan beberapa perkara itu sebagai panduan kepada anda sebelum memilih untuk menggunakan kad kredit.

Kredit Bermaksud Hutang

Sebelum anda membuat keputusan untuk melanggan kad kredit, tanamkan dahulu ke dalam lubuk kepala anda itu bahawa kad kredit itu adalah hutang. Wang yang anda belanjakan melalui kad kredit itu bukanlah wang anda, tetapi adalah milik bank. Bayangkan sahaja seperti anda membuat pinjaman peribadi. Bezanya di sini anda tidak lagi perlu membuat permohonan yang panjang prosesnya untuk kelulusan pinjaman anda, tapi cukup dengan hanya meluncurkan kad kredit anda di mesin kad kredit. Perlu juga anda ingat betul-betul faktanya bahawa kadar faedah yang tertinggi dalam mana-mana pinjaman adalah kad kredit, walaupun pegawai bank akan menyanyi lagu-lagu yang indah ke halwa telinga anda.

Compound Interest

Maaf, saya tidak pasti apa istilahnya dalam bahasa Melayu. Apa yang penting perlu anda tahu di sini adalah sistem kad kredit menggunakan compound interest didalam pengiraan kadar faedah hutang anda. Sudahlah memang kadar faedahnya tinggi, ditambah pula dengan kaedah compound interest ini, pastinya akan menjadikan jumlah hutang anda berganda tanpa anda sedari. Saya tidak boleh nak jelaskan terlalu dalam berkenaan compound interest ini kerana terlalu panjang, tetapi pokok pangkalnya yang anda perlu tahu disini adalah sistem compound interest ini akan menggandakan hutang anda yang tertunggak dalam kadar yang sangat tinggi. Contohnya begini, katakanlah anda membuat pinjaman membeli kereta dengan kadar faedah sebanyak 3% setahun dan pada masa yang sama anda juga menggunakan kad kredit dengan kadar faedah yang sama iaitu 3% setahun. Nak jadikan cerita, anda pun terlewat bayar untuk bayaran kereta dan juga kad kredit anda.

Untuk mudahkan anda faham, kita anggap sahaja kedua-dua kereta dan kad kredit anda itu mempunyai jumlah bayaran yang sama iaitu Rm 500 sebulan. Untuk kes kereta anda, kadar denda untuk lewat membuat bayaran sudah ditetapkan dari awal mengikut perjanjian anda dengan pihak bank. Biasanya tidak lebih daripada 10% jumlah bayaran bulanan anda. Katakanlah anda lewat membuat bayaran selama 5 hari, dicampur dengan denda dan bayaran bulanan maka jumlah yang anda perlu bayar adalah RM 550. Kalau anda lewat 20 hari pun jumlah denda anda tetap sama dan tidak bertambah setiap hari. Sebaliknya, kalau compound interest, jumlah denda bayaran lewat anda itu akan bertambah setiap hari. Katakanlah anda lewat bayar 5 hari, maka jumlah keseluruhan adalah RM 520. Nampak macam sikit kan??? Tapi masuk hari ke-6 jumlahnya akan dikira berdasarkan RM520 itu dan katakanlah menjadi RM525. Kiraan ini akan diulang setiap hari sampailah anda mambuat bayaran.

Istilah-Istilah yang mengelirukan

Ini adalah salah satu taktik licik pihak bank untuk mengelirukan anda. Kadang-kadang saya sendiri pun keliru dengan istilah yang pelik-pelik digunakan oleh pihak bank ini. Tujuan utama istilah pelik-pelik ini adalah untuk menutup perkara sebenar yang pastinya akan membuatkan anda menolak tawaran kad kredit mereka. Kadang-kadang ada yang mengadu mereka terpaksa bayar perkara-perkara yang mereka tidak pernah bersetuju kepada bank, sedangkan hakikatnya mereka sendiri yang bersetuju tetapi mereka tidak sedar kerana pihak bank menggunakan istilah-istilah yang pelanggan tidak faham. Apa yang perlu anda lakukan sekiranya berhadapan dengan pihak bank untuk tawaran kad kredit, adalah dengan memastikan anda faham setiap terma yang digunakan. Jika tidak faham, tanya pegawai yang bertugas supaya jelaskan setiap satu secara teliti sebelum anda menandatangani apa-apa dokumen.

Bayaran minimum setiap bulan

Ini pada pendapat saya adalah penipuan paling besar sekali dalam industri kad kredit. Kononnya kalau anda menggunakan kad kredit, anda hanya perlu membayar sejumlah kecil bayaran bulanan sekiranya tidak mampu untuk membayar jumlah bayaran bulanan sebenar.Di sini lah ramai terperangkap dengan membayar mengikut jumlah minimum yang kononnya diberi kelonggaran oleh pihak bank, sedangkan mereka dalam diam dikenakan denda dan kadar faedah untuk setiap bayaran yang tidak mencukupi itu.

Kesimpulannya, kad kredit bukanlah sesuatu yang terlalu buruk, namun terdapat banyak risiko yang mungkin dihadapi oleh kita sekiranya tidak mampu untuk menguruskannya dengan baik. Kalau beberapa tahun yang lepas, saya tidak menolak bahawa kad kredit banyak memberikan kemudahan kepada pengguna, tetapi kini dengan adanya kad debit dan juga perbankan internet, saya berpendapat itu adalah lebih selamat kerana kita tidak berhutang sebaliknya menggunakan wang yang sememangnya kita miliki.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *