Rumah merupakan salah satu aset yang dikira sebagai wajib untuk dimiliki oleh setiap individu. Namun, bukan semua orang mampu untuk memilikinya, tambahan pula dalam keadaan ekonomi sekarang yang telah melonjakkan harga rumah sehingga ke tahap tidak masuk akal. Masakan masuk akal kalau rumah flat kos rendah yang sebesar sangkar burung mampu mencecah ratusan ribu ringgit. Ramai yang bekerja makan gaji berskala sederhana dan rendah, terutamanya di sektor swasta merungut tidak mampu untuk membuat pinjaman membeli rumah dek kerana harga rumah di kawasan bandar yang rata-ratanya berharga seperti mahu mencekik pembeli. Oleh kerana tidak mampu untuk membeli rumah, maka kebanyakan rakyat Malaysia terpaksa beralih kepada alternatif yang lebih longgar iaitu dengan menyewa sahaja rumah yang mahu didiami. Saya tidak mahu mengupas tentang harga rumah dan mekanisma ekonomi yang terbabit dalam hal ini kerana akan jadi terlalu panjang. Pada kali ini saya hanya akan memfokuskan kepada tip-tip dan maklumat yang berguna kepada mereka yang tidak mampu untuk membeli rumah dan mahu mencari rumah sewa yang terbaik.
Tips mencari rumah sewa ini saya kumpulkan daripada pengalaman sendiri dan juga maklumat yang saya terima daripada kawan-kawan yang sama ada penyewa rumah ataupun mereka yang menyewakan rumah mereka kepada awam. Sewaktu masih belajar dan juga semasa mula-mula bekerja, saya juga adalah seorang penyewa rumah. Itu adalah pilihan yang terbaik atas faktor kewangan dan juga komitmen semasa. Hal mencari rumah sewa yang elok dan berpatutan bukanlah satu perkara yang mudah, kerana ramai yang berhadapan dengan pelbagai masalah sebelum mendapatkan rumah sewa dan yang paling teruk selepas memduduki rumah yang mereka sewa.
Saya harap perkongsian saya untuk mereka yang baru ingin memulakan fasa kehidupan rumah sewa dapat memudahkan anda memilih rumah sewa yang terbaik untuk disewa.
4 Tips Mencari Rumah Sewa
Lokasi dari tempat kerja
Perkara pertama yang perlu anda masukkan dalam senarai rumah sewa yang ingin disewa ialah lokasi rumah sewa tersebut dengan tempat kerja anda. Disini ramai yang selalu salah membuat pertimbangan kononnya lokasi rumah sewa yang dekat dengan tempat kerja adalah yang terbaik. Ini tidak benar sama sekali melainkan anda tinggal di kawasan pendalaman. Kalau di kawasan bandar, walaupun kadang-kadang lokasi rumah sewa itu agak dekat dengan tempat kerja anda, tetapi keadaan trafik yang sangat teruk juga akan menyebabkan masa perjalanan anda lebih panjang, stress dan juga lebih banyak belanja. Tidak semestinya jarak rumah sewa anda itu jauh dari tempat kerja tidak bagus. Semasa saya bekerja di Kelana Jaya dulu, saya ada seorang rakan sekerja yang tinggal di Kuala Selangor manakala saya pula tinggal di Puchong. Setiap hari dia akan sampai dulu di pejabat lebih awal sampai sempat untuk bersarapan di kawasan pejabat, sedangkan saya walaupun bertolak awal, tetap sampai lambat setiap hari kerana keadaan trafik yang sangat teruk dari rumah sewa saya ke pejabat.
Kalau diikutkan jarak perjalanan, memang rumah sewa saya sangat dekat dengan pejabat berbanding rakan saya itu. Dalam keadaan seperti itu, kos minyak dan tol anda juga akan menjadi sangat tinggi. Sudahlah harga sewa untuk rumah di kawasan bandar juga sangat tinggi ditambah dengan faktor-faktor itu tadi maka memang tidak berbaloi langsung menyewa berdekatan dengan lokasi pejabat. Jadi, anda perlu pastikan perkara-perkara tersebut termasuk dalam pertimbangan anda dalam menentukan lokasi rumah sewa anda nanti.
Perjanjian sewa rumah
Selepas sudah kenalpasti lokasi dan rumah sewa yang anda mahukan itu, maka anda perlu perhalusi pula perjanjian sewa antara anda dengan tuan rumah. Perlu anda ketahui satu perkara iaitu tidak semua rumah sewa adalah milik individu, kadang-kadang ada juga rumah sewa yang disewakan oleh syarikat. Selalunya dalam keadaan sekarang ni, kebanyakan rumah sewa disewakan melalui ejen-ejen hartanah. Pastikan anda tanya semua perkara dengan teliti kepada ejen yang menyewakan rumah itu.
Baca betul-betul perjanjian sewa yang diberikan kepada anda itu sebelum tandatangan sebab nanti kemudian hari kalau ada apa-apa perkara berbangkit yang datangnya daripada perjanjian itu, anda memang tidak boleh nak komplen lagi. Ada juga sesetegah perjanjian yang menetapkan kadar sewa akan naik beberapa peratus setiap tahun. Sebab itu pada saya lebih baik anda cari rumah sewa milik individu dan berurusan secara terus dengan pemilik rumah.
Keadaan rumah
Selepas dah semak semua perjanjian dan anda pun berpuas hati, jangan terus tandatangan lagi. Masuk dulu ke dalam rumah sewa tersebut dan periksa semua keadaan rumah dan kelengkapan yang ada. Semua dah ada telefon pintar bukan??? Ambil gambar seluruh rumah terutamanya kawasan dalam rumah. Pastikan tidak ada sebarang kerosakan. Periksa paip air, elektrik, lampu, kipas, tingkap, pintu, dinding dan lantai. Biarlah orang nak kata anda cerewet sekalipun, tapi semua ni wajib anda periksa sebab kadang-kadang ada dalam perjanjian yang anda kena tanggung semua kerosakan sekiranya anda setuju.
Ada dua tips saya secara peribadi dah terkena, pertama, anda tolong periksa fungsi tangki air terlebih dahulu sebab kadang-kadang kalau setakat pasang paip air mungkin anda tak perasan ada kerosakan dengan tangki air. Pasang air ke dalam tangki air sampai penuh dan pastikan tiada overflow sebab kalau kena baiki kosnya dalam Rm 500-600. Kedua, periksa saluran air kumbahan tidak ada tersumbat termasuk daripada sinki dapur dan juga bilik air. Yang ini pun kalau kena, memang sedih dompet nak membayarnya. Kalau dapat tuan rumah yang baik hati mungkin dia akan hantar orang untuk baiki ataupun tolak daripada bayaran sewa bulanan, tapi kalau dapat yang kapitalis punya orang memang sendiri kena tanggung la jawabnya.
Keadaan persekitaran/kejiranan
Akhir sekali, selepas dah berpuas hati dengan semua keadaan rumah, anda lihat pulak keadaan persekitaran rumah yang anda nak duduk tu. Perkara yang paling penting adalah kawasan kejiaranan anda. Kalau boleh ambil sedikit masa untuk selidik kawasan kejiranan anda tu. Kalau perlu sampai kena interview orang-orang di kawasan sekitar pun apa salahnya, sebab ejen biasanya akan menyanyi yang baik sahaja tentang kawasan yang nak disewakan tu. Ada sesetengah taman perumahan yang terlalu ramai pekerja asing sampaikan anda akan rasa macam duduk di negara orang lain. Yang menariknya, kalau datang waktu siang, biasanya tempat macam ni sangat lengang dan nampak aman. Tapi bila sampai waktu pekerja-pekerja asing ni balik kerja (biasanya petang atau malam), anda akan nampak dah macam ada rombongan pekerja asing pula.
Biasanya mereka ni akan tinggal dalam satu rumah sehingga belasan orang. Selain daripada masalah pekerja asing, ada juga kawasan kejiranan yang tidak selamat ataupun dipanggil kawasan panas yang mana terlalu banyak kes-kes jenayah seperti pecah rumah, samun, dan ragut. Untuk yang bujang mungkin tidak menjadi masalah sangat, tetapi bagi yang bekeluarga, lebih baik anda elak daripada tinggal ti tempat-tempat sebegini walaupun kadang-kadang harga sewa rumah di situ agak murah.
One thought on “Rumah Sewa: Tips Mencari Tempat Yang Terbaik”
Tips terbaik 👍 Kurang sedar berkenaan fungsi tangki air & saluran air kumbahan. Agreement mmg sgt penting sbb ramainya penyewa kurang ambil berat mengenainya. Terima kasih atas perkongsian 🙂
Jom baca entri terkini Idziani Cara Kawal Tekanan Darah dengan Berkesan