Sendirian Berhad: Apa yang anda perlu tahu?

sendirian berhad

Ramai yang ingin memulakan perniagaan sendiri sama ada perniagaan online atau offline, disebabkan tidak suka bekerja dengan orang lain atau nak jadi bos. Pasti ada di antara kita pernah dengar perkataan sendirian berhad atau dipendekkan menjadi SDN. BHD. Ini merupakan perkataan yang sering berkait dengan jenis perniagaan yang telah banyak ditubuhkan. Ada juga di antara anda yang ingin menaik taraf syarikat anda daripada perniagaan Enterprise kepada syarikat Sendirian Berhad.

Oleh  itu, sebelum nak naik taraf atau nak daftar perniagaan sebagai sendirian berhad, ada beberapa perkara yang anda perlu tahu. Dalam artikel ini, saya akan memberi sedikit info berguna untuk anda sebelum menubuhkan atau naik taraf syarikat anda.

Perkara tentang Perniagaan atau Syarikat Sendirian Berhad

Penubuhan dan Pemilikan Syarikat

Sendirian Berhad dikategorikan sebagai syarikat yang ditubuhkan bawah Jenis Syarikat Berhad yang dihadkan oleh saham. Saham syarikat ini tidak boleh dijual kepada orang awam. Syarikat sendirian berhad ditubuhkan dengan bermatlamatkan keuntungan. Pemilik syarikat ini hendaklah lebih dari satu orang individu atau sekurang-kurangnya dua orang. Modal penubuhan syarikat ini adalah daripada pemilik syarikat. Setiap penubuhan syarikat perlu membuat pendaftaran penubuhan syarikat  kepada SSM (Suruhanjaya Syarikat Malaysia).

Syarikat sendirian berhad juga mempunyai saham atau syer yang dimiliki lebih daripada seorang individu. Ahli-ahli ini dikenali sebagai Board of Directors atau Lembaga Pengarah Syarikat atau pemegang-pemegang saham syarikat. Pemegang saham terbesar iaitu melebihi boleh mengawal syarikat.

Selain itu, setiap aset yang ada dalam syarikat, adalah milik syarikat sepenuhnya. Tidak ada istilah pemilikan aset dinamakan pada satu nama atau seorang individu tertentu. Syarikat juga bertanggungjawab ke atas segala masalah dan hutang yang dimiliki oleh syarikat. Status syarikat sendirian berhad ini senang dikenali kerana nama syarikat hendaklah di letakkan SDN. BHD pada hujungnya. Contohnya, Anis Sdn. Bhd.

Pengurusan dan Pengedalian Syarikat

Pemilik syarikat sendirian berhad (selalunya pemegang saham terbesar syarikat) boleh memilih untuk terlibat atau tidak masuk campur dalam hal-hal urusan syarikat. Setiap keputusan berkenaan dengan syarikat perlu mendapatkan sokongan dan dipersetujui oleh setiap ahli Lembaga Pengarah Syarikat.

CEO (Chief Executive Officer) atau Ketua Pengarah Urusan merupakan ketua utama bagi pengurusan sebuah syarikat. Jawatan ini boleh disandang oleh antara pemegang saham syarikta ataupun individu yang bukan pemegang saham. Ia juga bergantung kepada kebiasaan atau syarat-syarat yang ditetapkan oleh syarikat tersebut bagi melantik CEO syarikat. CEO bertanggungjawab sepenuhnya terhadap urusan perniagaan dan pengurusan syarikat.

Pengurusan syarikat sendirian berhad perlu dibantu oleh Setiausaha Syarikat (Company Secretary) dalam hal-hal pengedalian syarikat. Setiap syarikat perlu melantik sekurang-kurangnya seorang setiausaha. Setiausaha syarikat bertindak sebagai pegawai syarikat dan penasihat kepada Lembaga Pengarah Syarikat.

Syarikat jenis sendirian berhad juga boleh buat urusan perniagaan seperti membuat pembelian, menyewa, masuk mana-mana kontrak dan memiliki hartanah sendiri. Segala urusan ini hanya boleh dijalankan menggunakan nama syarikat itu sendiri. Nama pemiliknya tidak akan digunakan langsung dalam urusan tersebut. Syarikat ini jugak boleh buat pinjaman, menyaman atau disaman sekiranya buat kesalahan.

Risiko dan Keuntungan Syarikat

Perlu diingat bahawa syarikat sendirian berhad dan pemiliknya merupakan dua entiti yang berbeza atau entiti yang berasingan. Setiap perkara berlaku pada syarikat tidak akan menjejaskan pemiliknya. Contohnya, pemilik syarikat tidak berhak memilki kesemua keuntungan hasil daripada syarikat. Sekiranya syarikat mengalami kerugian atau bankrup, pemilik tidak akan terjejas dan pihak bank tidak boleh menarik aset pemilik tersebut. Manakala setiap keuntungan yang diperolehi melalui syarikat, hendaklah di agih-agihkan kepada semua pemegang saham syarikat.

Jika sesuatu berlaku terhadap pemilik syarikat seperti meninggal dunia atau kemalangan, proses perniagaan oleh syarikat akan berlangsung seperti biasa dan tak akan jejaskan urusan syarikat. Begitu juga dengan pemegang saham syarikat. Sekiranya ada ahli dan pemegang saham yang meninggal dunia, saham tersebut boleh dipindahkan kepada waris mengikut kehendak pemilik saham. Pewaris tersebut akan menjadi pemilik saham tersebut dan menjadi lembaga ahli pengarah.

Cukai yang dikenakan

Seperti perniagaan dan jenis syarikat yang lain, cukai tetap akan dikenakan ke atas syarikat bertaraf sendirian berhad. Kesemua perbelanjaan yang terbabit dalam perolehan pendapatan sebuah syarikat sendirian berhad itu boleh diberi pelepasan bagi tujuan cukai pendapatan. Pelepasan cukai termasuklah faedah ke atas pinjaman yang diambil bagi modal pusingan, gaji pekerja, komputer, kereta dan yuran audit.

Kebaikan Syarikat Sendirian Berhad

Terdapat beberapa kelebihan dan kebaikan syarikat sendirian berhad ini iaitu:

  • Liabiliti perniagaan adalah terhad kepada sumbangan modal sahaja.
  • Syarikat tidak akan dibubar atau terjejas dengan kematian seseorang pemegang saham atau pemilik syarikat.
  • Kemudahan untuk mendapat modal.
  • Proses daripada segi penukaran hak milik akan menjadi lebih mudah.
  • Pemegang-pemegang saham akan dilindungi oleh perundangan.
  • Syarikat jenis sendirian berhad mempunyai potensi yang besar dalam memajukan dan mengembangkan perniagaan secara meluas.
  • Pemilik saham tidak dibebankan dengan tanggungjawab pengurusan dan pengendalian syarikat.
  • Tidak perlu mengumumkan laporan kewangan untuk pengetahuan orang ramai.
  • Nama syarikat juga boleh ditukar jika perlu.

Kelemahan Syarikat Sendirian Berhad

Terdapat beberapa kelemahan dan kekurangan syarikat sendirian berhad ini iaitu:

  • Agak rumit dan sukar untuk diuruskan. Hal ini kerana, syarikat sendirian berhad mempunyai pekerja dan staf yang ramai.
  • Cukai pendapatan syarikat yang dikenakan agak tinggi.
  • Saham Syarikat tidak boleh dijual dan dibeli melalui Pasaran Saham.
  • Saham syarikat juga tidak boleh dijual kepada orang awam.
  • Setiap penjualan saham hendaklah mendapat persetujuan pemegang-pemegang saham yang lain.
  • Terikat dan tertakluk kepada Akta Syarikat. Syarikat bertaraf ini juga perlu mematuhi setiap syarat yang telah ditetapkan oleh akta. Jika tidak, syarikat akan diambil tindakan mengikut undang-undang. Contoh Akta Syarikat yang perlu dipatuhi adalah:
    • Syarikat perlu membentangkan laporan akaun diaudit syarikat dalam Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Syarikat
    • Mengadakan MAT syarikat
    • Menyerahsimpan satu laporan tahunan syarikat ke SSM

Konklusinya

Secara konklusinya, setiap jenis atau entiti sesebuah syarikat mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri dan perlu di ambil kira. Perniagaan berbentuk Enterprise adalah berbeza dengan syarikat Sendirian Berhad. Syarikat sendirian berhad akan terus wujud dan tidak akan bergantung kepada keadaan pemiliknya. Jangka hayat syarikat berstatus ini juga lebih panjang sehinggalah terdapat arahan sebaliknya atau penutupan dikeluarakan. Oleh itu, sangat penting untuk mengetahui beberapa perkara penting sebelum mengambil langkah menubuhkan syarikat sendirian berhad.

Saya nasihatkan agar dapatkan nasihat dan panduan yang betul daripada golongan yang pakar tentang perkara ini. Semoga perkongsian saya ini dapat memberi sedikit gambaran dan informasi yang berguna untuk anda di luar sana.

8 thoughts on “Sendirian Berhad: Apa yang anda perlu tahu?

  1. Assalamu’alaikum. Terima kasih atas maklumat yang bermanfaat ini. Semoga tuan dapat pahala dan dimurahkan rezeki.

  2. Syarikat di mana saya menjadi pengarahnya (hanya pada nama, tiada saham) menghadapi tindakan mahkamah atas sewaan yang tidak berbayar, dan telah menerima surat dari mahkamah majistret.
    Soalannya:
    1) apakah kesan tindakan mahkamah ini kepada saya sebagai individu?
    2) bagaimana saya hendak keluarkan nama saya sebagai pengarah syarikat?

    1. Salam,
      Nak tau…saya adalah pemegang saham Sdn Bhd sebanyak 25%.
      Director orang lain iaitu sebanyak 2 orang lagi yg mempunyai saham 51% & 24% di mana mereka adalah company director.

      Apakah TINDAKKAN UNDANG2 jika syarikat tidak dapat melunaskan hutang terhadap saya sebagai pemegang saham 25%

      1. Syarikat sdn bhd ada berhutang beli barangan jualan di kedai seberneka dua pengarah ada share dan satu bukan pengarah satu share tangong hutang syarikat salah seorang pengarah meninggal jadi bagaimana tangong jawab hutang tersebut

  3. Assalamuallaikom Sya nk tnya sebagai pengarah dan Sy x ada share dlam syarikat adakah sya akan dikenakan tindakkan udang2 sekiranya syarikat disaman sebab hutang pembekal yang tak dijelaskan

  4. assalamualaikum.bagaimana nak keluarkan nama pemegang saham beragama islam yang meninggal dunia dari syarikat sendirian berhad.terima kasih

  5. Assalamualaikum. Terima kasih di atas maklumat yang sangat jelas. Namun, sekiranya boleh saya mahu bertanyakan berkenaan ‘holding’ sdn bhd.

    1. Adakah ‘holding’ perlu dinyatakan secara jelas ketika pendaftaran dengan SSM? atau ‘holding’ ini diklasifikasikan oleh LHDN ketika pembayaran cukai berdasarkan jenis keuntungan kita?

    2. Adakah syarikat sdn bhd boleh bertukar kepada ‘holding’ dan sebaliknya? adakah terdapat permohonan tertentu?

    Terima kasih. Moga dirahmati Allah kerana ilmu bermanfaat ini.

  6. Saya hendak menumpang mana mana Sdn Bhd untuk menerima upah komisyen saya dari luar negara. Jika guna akaun bank saving biasa, ini akan melambatkan wang je dalam akaun saya.silap haribulan kena freeze. Tolong nasihat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *