Strategi pemasaran power untuk Beginner

Strategi pemasaran power untuk Beginner

Membina sebuah perniagaan bukanlah tugas mudah kerana perlu memikirkan strategi pemasaran, rancangan perniagaan dan bermacam lagi. Tidak semua orang mampu menjadi ahli perniagaan yang berjaya. Saya teringat satu peristiwa ditegur oleh seorang mat gian di Stesyen Bas Pekeliling beberapa tahun dulu. Asalnya dia cuma nak minta duit tapi akhirnya ralit pula saya berborak dengan dia. Salah satu kata-kata mat gian itu yang melekat dalam kepala saya sehingga hari ini adalah:

“Dunia ini tidak adil bang, kalau adil semua orang boleh pakai Ferrari”

Apa yang dikatakannya itu sememangnya benar walaupun datangnya daripada mulut seorang penagih dadah. Konsep itu sangat sesuai untuk difahami dan dipraktikkan didalam dunia perniagaan. Asasnya mudah, siapa yang kuat dan bijak, maka dialah yang akan menang. Dunia perniagaan itu kejam dan penuh dengan ketidakadilan.

Seorang ahli perniagaan yang berpengalaman pastinya mengakui hakikat ini, manakala bagi yang baru bercita-cita hendak terjun ke dunia perniagaan, biasanya kepala mereka dipenuhi dengan imaginasi-imaginasi keseronokan menjadi kaya raya, sedangkan perjalanan mereka baru sahaja bermula. Walaupun begitu, tidak semua Beginner ini terpengaruh dengan pemikiran ‘sifu-sifu’ kelas cepat kaya.

Bagi yang berfikiran jauh, pastinya mereka sudah merangka rancangan perniagaan yang bijak. Salah satu perkara yang paling penting dalam membezakan sesuatu rancangan perniagaan itu bijak atau sebaliknya adalah strategi pemasaran yang efektif.

Pokok pangkalnya begini, apa gunanya melabur wang, masa, dan tenaga yang banyak untuk membina sebuah perniagaan, tetapi akhirnya tiada pelanggan. Jika anda mahukan pelanggan, bukan dengan semata-mata berbekalkan produk yang hebat, tetapi anda perlu keluar mencari mereka ataupun anda buatkan pelanggan mencari anda. Jalan mana pun yang anda pilih, ianya hanya boleh dicapai melalui strategi pemasaran yang hebat dan berkesan.

Kalau nak diikutkan saya sudah membaca puluhan buku-buku strategi pemasaran yang ada, tetapi tidak semua strategi itu sesuai dipraktikkan oleh anda kerana ianya berbeza mengikut jenis bisnes, sistem ekonomi, negara yang terlibat dan sebagainya.

Oleh itu, saya rangkumkan 4 strategi pemasaran yang saya kira sesuai untuk usahawan baru di Malaysia.

Strategi Pemasaran – Kenalpasti kumpulan pelanggan Anda

Langkah pertama dalam membina strategi pemasaran anda adalah dengan mengenalpasti kepada siapa ingin anda pasarkan produk anda nanti. Dengan berbuat demikian, anda telah memastikan yang usaha pemasaran anda sudah terfokus kepada satu atau beberapa golongan yang spesifik. Di dalam istilah pemasaran, ini dipanggil sebagai Persona Pembeli. Dengan mewujudkan persona pembeli ini, anda seolah-olah sudah mengunci kumpulan-kumpulan tertentu yang akan membeli produk anda nanti. Sebagai contoh anda menjual produk makanan kucing. Anda pun membuat persona pembeli dengan mengenalpasti golongan pencinta kucing di kawasan tertentu.

Kaedah ini lebih mudah di zaman media sosial kerana anda dapat menggunakan platform media sosial untuk memecahkan kumpulan-kumpulan pencinta kucing ini berdasarkan kawasan tertentu. Tanpa strategi ini, anda seolah-olah seorang jurujual yang menjual baju melayu di kawasan kejiranan kaum cina. Langkah mengenal pasti kumpulan pelanggan ini sangat penting kerana setiap jenis produk mempunyai karektor pembeli yang berbeza-beza.

Selepas mendapat kepastian kumpulan pembeli utama, anda perlu memecahkan pula kumpulan pembeli tadi kepada beberapa pecahan lagi seperti umur, sektor pekerjaan, jantina, julat pendapatan dan beberapa faktor lain lagi yang dirasakan perlu.

Strategi Pemasaran – Selidik pesaing-pesaing anda

Kalau diikutkan budaya masyarakat kita, selidik pesaing ni bunyinya dah macam perkara yang tidak elok, sedangkan dalam bidang perniagaan perkara ini adalah normal. Tiada satu pun produk yang wujud dalam dunia ni tanpa pesaing. Kalaupun anda mencipta sesuatu yang baru, pastinya akan muncul pesaing yang menawarkan produk yang sama di masa akan datang.

Oleh sebab itu, sangat penting bagi pemilik perniagaan untuk memperuntukkan masa menyelidik keadaan pasaran dan juga pesaing-pesaing yang ada. Tapi nak buat apa intip pesaing kita? Nak tiru cara dia ke? Anda jangan salah faham pula, dalam persaingan perniagaan kalau meniru sekalipun tidak akan mendatangkan kebaikan sangat. Apa yang sepatutnya anda buat daripada kajiselidik itu adalah mendapatkan maklumat untuk menambah baik produk anda supaya menjadi lebih baik daripada pesaing anda dan juga mencari peluang-peluang yang mungkin anda tidak sedari.

Strategi Pemasaran – Pilih Saluran Pemasaran Yang Sesuai

Setelah anda kenalpasti sasaran pelanggan anda dan juga pesaing anda, kini tiba masa untuk melancarkan perang pemasaran anda melalui iklan. Terdapat bermacam-macam cara untuk anda mengiklankan produk dan jenama anda serta menyampaikan mesej anda kepada kumpulan sasaran anda. Cara tradidional yang masih lagi berkesan dan digunakan pakai hingga sekarang adalah seperti pengiklanan dalam suratkhabar, penggunaan papan iklan, banner dan bunting, ataupun melalui media elektronik seperti radio dan televisyen.

Kebiasaannya, kaedah tradisional ini akan menelan belanja yang agak besar terutamanya iklan komersial di televisyen. Bagi mereka yang baru bermula pastinya kos yang tinggi ini akan membantutkan rancangan pemasaran mereka. Tidak usah bimbang kerana masih ada lagi cara pengiklanan yang kedua iaitu pemasaran internet. Kaedah kedua ini boleh dikatakan agak baru terutamanya di Malaysia, tetapi ianya sudah mula diminati pemilik-pemilik produk kerana faktor kos yang agak rendah serta capaian yang lebih luas berbanding dengan kaedah tradisional.

Antara cara yang biasa digunakan dalam pemasaran internet adalah Search Engine Optimazation(SEO) yakni carian di dalam search engine seperti Google, ataupun menggunakan platform sosial media seperti Facebook, Twitter dan Instagram. Program-program seperti ini dapat memfokuskan sasaran pelanggan anda dengan menggunakan data yang mereka ada di dalam internet. Sekarang pun kita boleh lihat sudah ramai peniaga-peniaga online yang berjaya dalam pemasaran produk mereka dengan hanya bergantung kepada pemasaran internet.

Strategi Pemasaran – Pecahkan Saluran Jualan Anda

Sebenarnya strategi ini agak rumit dan panjang tetapi saya cuba jelaskan secara pendek dan ringkas. Setiap jualan yang anda terima daripada pelanggan perlu anda asingkan kepada 4 saluran utama iaitu:

Kesedaran

Pada permulaan anda membuat sesuatu produk atau jenama, tiada siapa pun yang kenal dan sedar akan kewujudan produk anda. Golongan ini adalah yang paling ramai walaupun setelah anda mengadakan kempen pemasaran produk anda. Jadi apa yang perlu anda lakukan adalah sentiasa memberi kesedaran dan pengenalan kepada setiap orang mengenai kewujudan produk anda dan seterusnya mengecilkan jumlah ini.

Minat

Setelah produk anda dikenali, apa yang perlu anda lakukan seterusnya adalah mencetuskan minat kepada golongan sasaran anda. Setelah ianya berhasil, anda akan mempunyai sebilangan orang yang meminati produk yang anda tawarkan.

Kehendak

Langkah seterusnya adalah menukarkan minat tersebut kepada kehendak. Sesetengah memanggil fasa ini sebagai penjenamaan.

Tindakan

Perkara yang terakhir adalah memastikan pelanggan yang berkehendakkan produk anda membuat tindakan membeli produk anda.

Sebagai contoh, produk keluaran syarikat Apple hanya mula dikenali di Malaysia sekitar 10 tahun yang lalu. Sepanjang tempoh itu, jenama Apple tidak langsung dikenali ataupun disedari kewujudannya di Malaysia. Syarikat tersebut mengambil inisiatif untuk memperkenalkan jenama mereka perlahan-lahan. Setelah jenama Apple dikenali, mereka mula mencetuskan minat golongan sasaran mereka iaitu golongan muda.

Melalui kajiselidik yang mereka buat, meraka mengenalpasti produk yang akan menarik minat golongan muda pada waktu itu iaitu Ipod. strategi ini sangat berkesan apabila ramai yang mula berkehendakkan produk dan jenama Apple. Setelah Berjaya menanam jenama Apple ke dalam minda rakyat Malaysia, yang tinggal kini hanyalah untuk membuat jualan. Maka beraturlah rakyat Malaysia demi mendapatkan model terbaru Apple yang mana 10 tahun lalu tidak mereka kenali langsung.

One thought on “Strategi pemasaran power untuk Beginner

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *