Tabung Ekonomi Belia: Apa yang anda perlu tahu?

Tabung Ekonomi Belia

Tabung ekonomi belia adalah sebuah program bantuan untuk membantu usahawan-usahawan belia dalam memulakan perniagaan mereka ataupun menaiktaraf perniagaan yang sedia ada. Pada awal penubuhannya, Tabung Ekonomi Belia adalah sebuah tabung amanah yang ditubuhkan pada tahun 1987 untuk memberi pinjaman kepada para peniaga, namun program ini dihentikan seketika pada tahun 2002. Kemudian, Unit Perancang Ekonomi yang berada di bawah Jabatan Perdana Menteri telah mencadangkan supaya program ini diteruskan tetapi membuat beberapa penambahbaikan dan pindaan-pindaan yang sesuai dalam pelaksanaan pemberian pinjaman tersebut.

Program ini dikendalikan oleh kumpulan wang Amanah Ekonomi Belia yang berada di bawah bidang kuasa Kementerian Belia dan Sukan. Program ini dikhususkan untuk belia-belia memohon dana perniagaan yang diperuntukkan daripada Kementerian Belia dan Sukan yang juga bertindak sebagai badan mengurus serta kutipan semula pinjaman yang telah diluluskan.

Syarat Kelayakan Tabung Ekonomi Belia

Seperti yang telah ditetapkan, hanya golongan belia sahaja yang layak untuk memohon pinjaman daripada Tabung Ekonomi Belia. Antara Syarat lain yang telah diperuntukkan adalah seperti berikut:

  • Mestilah seorang warganegara Malaysia yang berumur 18 tahun hingga 40 tahun
  • Pemohon mestilah mendaftar untuk Tabung ekonomi Belia sama ada melalui atas talian ataupun menggunakan borang yang boleh didapati di pejabat Majlis Penggalakan Ekonomi Belia di bawah kemeterian Belia dan Sukan
  • Perlu lulus ujian saringan yang diadakan oleh Kementerian Belia dan sukan. Ujian saringan ini merangkumi pelbagai aspek antaranya adalah ujian minat dan kecenderungan terhadap bidang keusahawanan
  • Pemohon juga mestilah menghadiri kursus-kursus asas perniagaan yang diadakan serta kursus untuk bimbingan membina rancangan perniagaan yang betul
  • Permohonan mestilah untuk memulakan satu perniagaan baru ataupun menaiktaraf perniagaan yang sedia ada
  • Pemohon wajib menjalankan perniagaan secara sepenuh masa dan bukannya dilakukan separuh masa
  • Bagi pasangan suami isteri, hanya salah seorang sahaja yang layak untuk memohon pinjaman
  • Pemohon perlu memastikan mereka bebas daripada apa-apa kesalahan dan tindakan undang-undang. Pemohon juga perlu bebas daripada mana – mana senarai hitam pinjaman terdahulu
  • Menyediakan dua orang penjamin yang bukan daripada kalangan ahli keluarga serta mempunyai pendapatan tetap sekurang-kurangnya Rm 1000 sebulan. Penjamin juga harus bersih daripada segala senarai hitam pinjaman dan hanya boleh menjamin maksima dua orang peminjam dalam satu-satu masa. Semua pegawai dan kakitangan yang berkhidmat di dalam Kementerian Belia dan Sukan juga tidak layak untuk menjadi penjamin kepada mana-mana individu
  • Pemohon hanya boleh memohon salah satu daripada skim pinjaman yang ditawarkan
  • Pemohon hanya untuk kategori individu sahaja. Tidak dibenarkan permohonan daripada atas nama syarikat

Bagi individu yang telah menjalankan perniagaan mereka lebih daripada 6 bulan, maka mereka boleh dikecualikan daripada mengikuti kursus asas perniagaan dan kursus bimbingan rancangan perniagaan. Tabung Ekonomi Belia ini juga mengutamakan pemohon-pemohon lepasan Institut kemahiran Belia Negara (IKBN) atau Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN). Selain itu, mana-mana pemohon yang telah menjalani apa-apa kursus perniagaan yang diadakan oleh mana-mana agensi kerajaan yang berkaitan boleh memohon pengecualian untuk menghadiri kursus asas perniagaan dan kursus bimbingan rancangan perniagaan.

Secara mudahnya, kedua-dua kursus yang diwajibkan tersebut adalah difokuskan kepada mereka yang tiada pengalaman dan tidak pernah terlibat dengan mana-mana kursus asas perniagaan selama ini. Segala syarat yang dilihat agak ketat ini adalah demi menjaga kelangsungan Tabung Ekonomi Belia daripada dicemari oleh peminjam-peminjam yang tidak bertanggungjawab.Pemohon juga perlu menghantar permohonan mereka bersama-sama dengan lima salinan rancangan perniagaan dan dimajukan kepada Pejabat Belia dan Sukan daerah untuk mendapatkan cop pengesahan serta semakan daripada pegawai yang terlibat.

Oleh kerana itulah, antara syarat awal permohonan Tabung Ekonomi belia adalah mewajibkan pemohon menghadiri kursus membina rancangan perniagaan supaya mereka mampu menyediakan sebuah rancangan perniagaan yang berkualiti.

Skim-Skim yang Ditawarkan

Skim Belia Niaga (SBN)

Tabung Belia Ekonomi mewujudkan Skim Belia Niaga ini untuk membantu usahawan dalam bidang-bidang perniagaan yang lebih terbuka. Bagi memastikan kelancaran segala proses dan kawalselia program ini, kementerian Belia dan Sukan telah melantik Bank Kerjasama Rakyat Malaysia sebagai agensi yang akan mengurus dan mentadbir keseluruhan Skim Belia Niaga. Skim ini terbahagi kepada beberapa cabang utama perniagaan yang ada di Malaysia seperti bidang perkhidmatan, bidang ICT,bidang pembuatan, dan perniagaan yang berasaskan kiosk/ gerai/ pasar malam.

Skim Belia Tani (SBT)

Berbeza dengan skim belia niaga yang mempunyai skop bidang yang lebih luas dan pelbagai, Skim Belia Tani lebih memfokuskan kepada bidang pertanian yang lebih spesifik. Seperti juga Skim Belia Niaga yang melantik Bank kerjasama Rakyat Malaysia sebagai penyelia program, Skim Belia Tani pula menggunakan khidmat Bank Pertanian/Agrobank sebagai pengurus tadbir berdasarkan pengalaman Bank tersebut di dalam bidang pertanian negara. Inisiatif mengadakan Skim Belia Tani ini adalah untuk menggalakkan golongan belia menceburi bidang pertanian negara yang dilihat semakin merosot dari tahun ke tahun.

Pengambilan pekerja asing yang berterusan juga dilihat mampu menggugat kelangsungan penyertaan belia negara daripada menceburi bidang ini. Walaubagaimanapun, Skim ini tidak dibenarkan untuk projek-projek pertanian tanaman kekal seperti kepala sawit, getah, durian dan lain-lain. Pinjaman yang diberi juga tidak tertakluk kepada pembiayaan membeli tanah, modal kerja, permis perniagaan dan kontrak tani.

Had Pinjaman dan kadar bayaran yang terlibat

Tabung Belia Ekonomi hanya memperuntukkan sejumlah RM 50,000 sebagai had maksima pinjaman. Pemohon boleh memohon pinjaman bermula RM 5000 sehingga RM 50,000 bergantung kepada keperluan projek yang ingin diusahakan. Sementara itu bagi kadar faedah yang ditetapkan adalah sebanyak 4% setahun berdasarkan baki pinjaman untuk kedua-dua jenis Skim yang ditawarkan manakala yuran proses pula adalah bergantung kepada Institusi kewangan yang terlibat sama ada Bank kerjasama Rakyat Malaysia ataupun Agrobank. Tempoh pinjaman yang telah ditetapkan bagi kedua-dua skim adalah sehingga maksima 7 tahun. Jadi anda perlu fikir dahulu sebelum membuat pinjaman.

Peluang yang terbuka luas

Melihatkan kepada betapa banyaknya program-program serta institusi kewangan yang ada di Malaysia dalam membantu pelbagai lapisan masyarakat, saya agak hairan dan sedikit terkilan kenapa masih terlalu ramai yang merungut akan kesusahan mereka untuk mendapatkan bantuan perniagaan. Kalau nak disenaraikan, memang terlalu banyak yang telah diperuntukkan kepada golongan usahawan untuk memulakan perniagaan ataupun menaiktaraf perniagaan mereka yang sedia ada. Ada juga yang memberi alasan karenah birokrasi yang menyusahkan mereka memohon bantuan perniagaan.

Alasan ini ada juga kebenarannya, namun bukanlah seratus peratus tepat kerana jika anda lihat kemajuan dalam proses permohonan bantuan perniagaan daripada mana-mana agensi, sebenarnya telah banyak perubahan termasuklah penggunaan aplikasi permohonan dalam talian yang boleh dibuat di hujung jari sahaja. Banyak proses yang sudah dipermudahkan dari masa ke semasa namun beberapa perkara asas dalam prinsip pinjaman haruslah dikekalkan demi menjaga kelangsungan institusi kewangan negara seperti pemantauan, latarbelakang kewangan pemohon dan kemampuan pemohon membayar balik pinjaman.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *