Bila dengar sahaja nama Tabung Haji pastinya dalam kepala kita tidak akan lari daripada membayangkan orang yang pergi naik Haji. Memang tidak di nafikan Tabung Haji sangat sinonim dengan ibadah Haji yang dilakukan oleh umat Islam di Malaysia. Namun begitu, terdapat juga bermacam-macam lagi perkhidmatan lain yang ditawarkan oleh Tabung Haji Malaysia, cuma untuk kali ini saya akan kupas berkenaan salah satu applikasi yang dibangunkan oleh pihak Tabung Haji Malaysia iaitu applikasi THiJARI. Tabung Haji sebenarnya telah menaiktaraf perkhidmatan mereka dari masa ke semasa. Kita saja yang tak perasan, kerana mungkin kita tidak ada akaun dengan Tabung haji ataupun memang tidak pernah ambil peduli tentang Tabung Haji selama ini. Mereka di Tabung Haji secara berterusan telah cuba untuk menawarkan perkhidmatan yang terbaik untuk para pelanggan mereka. Disebabkan zaman pun dah berubah daripada zaman kertas kepada zaman online, maka pihak Tabung Haji juga tidak dapat lari daripada merubah sistem mereka kepada sistem online yang lebih maju demi untuk bersaing dengan institusi-institusi kewangan yang lain. Oleh yang demikian, maka wujudlah Tabung Haji Online yang bertujuan untuk memberi perkhidmatan mereka kepada generasi muda yang kebanyakannya tidak mahu lagi bersusah-payah beratur dan mengisi borang secara manual.
Applikasi Tabung Haji Online lebih mudah
Bukanlah nak kata generasi muda ni malas, tapi kalau dah ada cara yang senang kenapa nak guna cara yang susah lagi kan? Saya sendiri pun dah lama tak pergi beratur, semuanya saya guna pembayaran online ataupun kad debit sahaja. Berbalik kepada cerita Tabung haji Online tadi, saya sendiri pun tak sangka yang Tabung Haji kita ni sangat maju dan up-to-date dalam hal-hal berkaitan aplikasi online ni. Kalau setakat dia buat sistem online macam Maybank2u atau cimbclick tu saya tak kisah lagi, ini siap bangunkan applikasi lagi tau. Cuma ada satu masalah sikit kalau terlebih maju ni, berkemungkinan orang-orang veteran akan kurang pandai nak guna dan faham akan applikasi ini. Oleh kerana saya ni generasi muda yang prihatin dan anak yang baik, maka saya akan cuba permudahkan apa sebenarnya applikasi Tabung Haji online THiJARI ni dan cara-cara penggunaannya.
Apa itu THiJARI?
Benda alah yang berbunyi arab sikit ni sebenarnya adalah satu applikasi yang kita boleh masukkan dalam telefon pintar masing-masing macam juga applikasi facebook, whatsapp dan macam-macam lagi benda yang ada dalam telefon anda tu. Disebabkan sama juga macam applikasi lain, maka anda bolehlah memuat turun applikasi THiJARI ni dari Google Play dan App Store dengan PERCUMA. Ya, rakyat Malaysia semua, ianya percuma. Jadi jangan banyak fikir sangat, pergilah muat turun sekarang.
Apa gunanya THiJARI?
Sebenarnya macam-macam benda yang anda boleh buat dengan applikasi THiJARI ni, tapi saya akan senaraikan yang utama dahulu dan selebihnya akan saya huraikan kemudian. Applikasi ini secara umumnya boleh anda gunakan untuk:
- Membuat permohonan online yang membenarkan pendeposit membuat transaksi
- Memeriksa baki akaun simpanan
- Memindahkan wang
- Membuat permohonan haji
- Melihat tawaran-tawaran pakej haji
- Mendapatkan jadual penerbangan haji dengan mudah
Kandungan THiJARI yang Utama
Macam saya cakap tadi, saya terkejut dengan applikasi THiJARI sebenarnya sebab saya tak sangka Tabung Haji semaju ini. Isi kandungan aplikasi Tabung Haji online THiJARI ni sangatlah banyak dan bukannya setakat aplikasi perbankan semata-mata. Patutlah dah makin ramai anak muda yang naik haji dan pergi umrah sekarang ni. Mungkin ada juga pengaruh benda-benda macam ni dalam usaha menarik minat anak muda menunaikan ibadah Haji ataupun Umrah. Untuk rujukan anda yang lebih lengkap, saya dah huraikan satu persatu tentang apa isi kandungan aplikasi ini dan juga penggunaannya.
Akaun Tabung Haji
Deposit
Applikasi tabung haji online THiJARI ni boleh anda gunakan untuk memeriksa baki akaun tabung haji anda, melakukan transaksi kewangan dan juga melihat penyata sejarah transaksi anda. Mudah kan? Lebih kurang macam sistem online banking yang lain seperti maybank2u dan Cimbclicks.
Haji
Melalui aplikasi ini, anda boleh mendaftar haji anda, memeriksa status haji, melihat tawaran-tawaran haji, mencetak sendiri slip pendaftaran Haji anda dan memeriksa jadual penerbangan haji. Senang cerita dari mula sampai habis anda boleh buat sendiri hanya melalui hujung jari anda. Tidak perlu lagi isi borang berjela-jela.
Kelab TaHa
Pendaftaran dan review untuk Kelab TaHa – Apa benda pula Kelab Taha ni??? Itulah, kelab malam tau, kelab Taha tak tau. Kelab Taha ni adalah satu program di bawah Tabung Haji untuk anak-anak yang berusia antara 7-17 tahun. Cerita pendeknya, kelab Taha ni ditubuhkan untuk menggalakkan anak-anak ni mula menabung dari usia yang muda. Pihak tabung haji akan mengajar mereka tentang perancangan kewangan supaya mereka dapat kumpul duit lebih awal untuk menunaikan haji pada usia yang muda. Tidaklah jadi macam kita ni, dah masak ranum sangat baru nak tunaikan haji. Selain daripada hal-hal berkaitan dengan haji, anak-anak dalam kelab Taha ni juga akan didedahkan dengan pelbagai program berbentuk akademik dan kerohanian untuk mereka. Kalau anda nak tau lebih lanjut, bolehlah tengok di dalam aplikasi tabung haji online THiJARI.
Perkhidmatan MyQ TH
Perkhimatan ini akan membolehkan pengguna untuk mendapatkan nombor giliran secaran online ataupun secara pra-tempahan apabila ingin membuat sebarang transaksi di mana-mana pejabat kaunter Tabung Haji seluruh negara. Mudah kan??? ambil nombor giliran anda siap-siap kat rumah pakai telefon sahaja, lepas tu baru pergi ke kaunter. Tambah-tambah kalau jenis pejabat yang ramai pelanggan tu. Tak perlu lagi anda menunggu lama-lama.
Informasi Tabung haji
- Korperat – Segala macam maklumat berkaitan dengan informasi korperat Tabung haji anda boleh akses daripada sini sahaja.
- Deposit – Maklumat umum dan jenis-jenis perkhidmatan yang ada ditawarkan oleh pihak Tabung haji
- Haji – Maklumat berkaitan dengan pengurusan dan operasi haji di dalam negara taupun di tanah suci. Juga terdapat Q&A berkenaan dengan haji yang anda boleh dapatkan di sini.
- Anak Syarikat – Ringkasan maklumat berkenaan dengan semua anak syarikat di bawah Tabung Haji.
Direktori Tabung Haji
Memaparkan informasi tentang THCC, ibu pejabat Tabung Haji, senarai semua pejabat Tabung Haji seluruh negara dan juga pejabat anak syarikat di bawahnya. Navigasi ataupun cara untuk pergi ke pejabat Tabung Haji melalui aplikasi Google Map dan Waze.
Berita Terbaru
Memaparkan berita-berita terbaru mengenai Tabung Haji melalui saluran berita daripada media-media utama seperti Berita Harian, Metro dan sebagainya. Juga menyediakan laporan berkaitan Tabung haji, Ibadah Haji secara umum, Ibadah Umrah dan lain-lain.
Promosi
Anda juga boleh mendapatkan maklumat tentang apa-apa promosi yang di tawarkan oleh rakan strategik THiJARI sama ada dalam bentuk produk ataupun pengiklanan.
E-Majalah
Satu wadah yang berguna untuk para jemaah Haji. Ianya boleh dijadikan sebagai rujukan dan panduan untuk perkara-perkara ynag berkaitan dengan ibadah Haji, pengurusan kewangan, sejarah Tabung haji dan banyak lagi topik menarik yang dipaparkan di dalam e-Majalah ini.