Bergelar seorang usahawan Malaysia bukanlah semudah seperti yang disangka. Kemanisan menjadi seorang usahawan itu memang ramai yang seronok mendengarnya tetapi kepahitan yang perlu dilalui oleh seorang usahawan Malaysia tidak semua yang mengetahuinya. Di atas faktor ini lah ramai oportunis di luar sana yang mengambil peluang untuk menganjurkan sesi-sesi coaching yang berbentuk halusinasi dengan menggambarkan betapa mudahnya menjadi kaya raya apabila anda hadir ke ceramah-ceramah mereka. Berbagai-bagai tagline palsu digunakan untuk memancing kehadiran insan-insan naif yang ingin mencari jalan singkat untuk mendapatkan kekayaan.
“Anda ingin jadi jutawan dalam masa 2 tahun?” ataupun “Cara mudah menjadi jutawan dengan sifu ******. Daftar segera”
Itu adalah antara contoh umpan-umpan yang digunakan oleh pemangsa-pemangsa yang menggelarkan diri mereka sifu, guru dan macam-macam lagi untuk memerangkap anda hadir ke kursus-kursus yang mengenakan bayaran ribuan ringgit.
Walhal mereka ini tidak ada pun pengalaman dan pencapaian dalam bisnes, sebaliknya menjadi kaya raya hasil yuran kursus-kursus yang mereka anjurkan ini. Sudah ramai yang ‘kantoi’ menipu sebenarnya, akan tetapi mereka masih mampu memperdayakan rakyat Malaysia untuk menyokong mereka.
Sedangkan taikun-taikun bisnes dalam Malaysia seperti Tan Sri Syed Mokhtar, Vincent Tan, Jefri Cheah dan ramai lagi tidak pernah pula mereka hadir mana-mana kursus berbentuk sebegini. Malahan mereka juga tidak berani mahu menganjurkan program begitu yang memberitahu orang ramai cara mudah jadi kaya sedangkan mereka ini sudah terbukti kaya raya.
Walau bagaimanapun, mereka ini masih mahu berkongsi ilmu dan pengalaman mereka dalam bidang perniagaan masing-masing melalui buku-buku yang mereka hasilkan. Kosnya juga amatlah jauh berbeza dengan yuran kursus-kursus mahu cepat kaya itu. Berdasarkan beberapa buku yang pernah saya baca mengenai tokoh-tokoh perniagaan termashur di Malaysia ini, maka saya akan ringkaskan beberapa tips untuk anda usahawan Malaysia di luar sana. Apa yang penting, ianya PERCUMA!!!!!
7 Tips untuk Usahawan Malaysia
Tip 1: Pengurusan kewangan
Apabila kita bercakap tentang usahawan ataupun perniagaan, sudah tentu tidak lari daripada kewangan kerana tujuan bisnes itu sendiri adalah untuk mendapatkan keuntungan.Usahawan Malaysia bukanlah tidak handal dalam berbisnes, akan tetapi dari sudut pengurusan kewangan masih ramai yang memandang ringan akan hal ini. Saya ambil contoh bagaimana Tan Sri Syed Mokhtar yang merupakan antara orang terkaya di dalam Malaysia memulakan perniagaan beliau dengan hanya berniaga daging di pasar. Berapa ramai usahawan Malaysia yang berniaga daging di pasar? Sangatlah ramai tetapi sudahpun berbelas tahun berniaga mereka masih lagi di takuk lama. Apa yang menjadi halangan untuk perniagaan mereka ini menjadi semaju perniagaan Tan Sri Syed Mokhtar?
Antaranya adalah pengurusan kewangan yang tidak sistematik. Al maklumlah orang kita ni mentang-mentanglah dia hanya berniaga daging, dia akan memandang remeh hal-hal perakaunan bisnes yang sepatutnya dia buat daripada awal lagi. Wang berniaga pun disimpan dalam poket tanpa ada catitan keluar masuk wang. Natijahnya, sampai tua pun masih lagi berniaga di pasar sedangkan orang lain sudah mampu membuka pasaraya sendiri. Akaun perniagaan ini sangatlah penting bukan setakat bertujuan merekod aliran tunai sahaja, malahan ianya juga boleh kita jadikan sandaran kepada tahap kewangan perniagaan kita.
Selain itu, ianya juga boleh dijadikan sumber untuk kita menganalisis waktu puncak dan waktu rugi kita supaya kita boleh bersedia lebih awal. Sebagai contoh perniagaan daging di pasar, katakanlah menurut rekod akaun kita dari bulan februari sehingga bulan Jun pelanggan akan berkurangan. Perkara ini berlaku hampir sama setiap tahun.
Maka dengan itu kita sudah boleh merancang untuk mengurangkan pengambilan stok daging untuk bulan-bulan terbabit supaya kadar kerugian dapat kita minimakan. Sama juga sekiranya dari bulan Jun sehingga September permintaan daging akan meningkat sehingga kita selalu kekurangan stok. Maka kita boleh mula merancang untuk mengambil stok lebih banyak pada bulan-bulan itu untuk menjana keuntungan yang maksima.
Apa akan jadi kalau kita tiada rekod akaun yang lengkap untuk waktu-waktu sebegini?
Makanya main ramal-ramal sajalah macam Nujum Pak Belalang. Selain itu juga, pentingnya rekod kewangan yang lengkap ini apabila anda mahu memohon apa-apa bantuan kewangan dengan pihak bank. Jika tiada rekod kewangan yang lengkap maka kebiasaanya pihak bank ataupun mana-mana institusi bantuan kewangan akan menolak mentah-mentah permohonan anda.
Tip 2: Rangkaian Kenalan
Satu kesilapan besar di kalangan usahawan Malaysia adalah kefahaman mereka tentang rangkaian kenalan dalam perniagaan. Selalunya usahawan Malaysia akan cenderung untuk membina rangkaian kenalan mereka dari golongan yang sama dengan mereka. Sebagai contoh seorang penternak kambing hanya akan mencari rangkaian kenalan dalam bidang penternakan kambing juga sehinggakan kelompok ini menubuhkan kumpulan yang disertai oleh semuanya penternak kambing. Hal ini memang baik untuk mereka yang baru bermula kerana semua selok belok sesuatu perniagaan itu akan dapat dikongsi bersama oleh rangkaian kenalan tadi. Di sinilah istilah ‘know how’ dipraktikkan yang mana kita akan berkongsi maklumat spesifik berkaitan bidang yang kita ceburi.
Jadi apa kekurangannya?
Apabila anda hanya menghadkan pergaulan anda dengan satu kelompok profesyen yakni dalam contoh tadi adalah golongan penternak kambing, bisnes anda akan berada di tahap statik bersama-sama dengan rakan-rakan dalam rangkaian itu tadi. Bisnes anda tidak akan membesar dan maju selagi tidak dipecahkan threshold rangkaian kenalan anda itu. Di sinilah istilah ‘Know who’ digunapakai yang mana setiap usahawan itu haruslah mempunyai kenalan dalam semua bidang yang berkaitan dengan perniagaan dan tidak lagi tertakluk kepada bidang yang anda ceburi semata-mata.
Kita ambil contoh tadi, seorang penternak kambing sekiranya berkawan dengan seorang ahli perniagaan import-eksport akan dapat belajar cara untuk mengeksport kambing beliau. Bermula dari situ bisnes akan mula berkembang dan mungkin akan mendapat idea untuk mempelbagaikan perniagaan seterusnya barulah perniagaan anda akan berkembang dari sebuah enterprise kepada sdn bhd.
Tip 3: Berani Mencuba
Takut, segan, tidak yakin, takut rugi, dan tidak tahu. Ini semua perkara negatif yang menghalang usahawan Malaysia untuk berkembang maju dalam apa jua bidang yang mereka ceburi. Kunci utama untuk memecahkan taboo ini adalah dengan memberanikan diri anda untuk mencuba sesuatu yang baru. Ya, sudah semestinya bidang yang baru dan tidak pernah anda ceburi akan mendatangkan risiko terhadap keseluruhan perniagaan anda, akan tetapi anda harus ingat bidang perniagaan ini sememangnya bermain dengan risiko. Malahan konsep perniagaan itu sendiri menegaskan risiko tinggi akan menjanjikan pulangan yang tinggi, manakala kalau risiko rendah pulangannya pun rendah.
Saya pernah terbaca satu dokumentari tentang pasaran saham di China yang bernilai trillion USD. Apa yang menarik adalah, hampir 40 peratus daripada saham ini dilaburkan oleh rakyat biasa yang tidak mempunyai pengalaman dan pengetahuan teknikal tentang saham. Bila melihat foto-foto mereka di bursa saham China, mereka ini tidak ubah seperti orang cina Malaysia yang tinggal di kampung-kampung dan kerjanya bertani (ataupun biasanya orang panggil cina bukit).
Apa yang menakutkan, uncle dan aunty yang bertenggek di bursa saham ini biasanya akan membeli saham mengikut gerak hati sahaja. Kadang-kadang mereka akan mencari nama-nama syarikat yang ada kaitan dengan naga, maharaja, dan mitos-mitos kaum cina sebagai panduan dalam membeli saham. Tetapi perkara yang paling menarik sekali adalah saham mereka masih tidak melingkup malahan ada yang mendapat keuntungan.
Moralnya disini, kita tidak perlu terlalu takut untuk mengambil risiko kerana tanpa mencuba kita tetap tidak akan ke mana. Walau bagaimanapun janganlah pula anda mengikut jejak langkah uncle dan aunty tadi. Itu betul-betul Rambo namanya. Setiap langkah haruslah berdasarkan perancangan perniagaan yang teliti dan berhati-hati.