Jangan ada pula yang terkeliru antara zakat pendapatan dan zakat fitrah. Ada juga antara rakan-rakan saya sendiri yang dah anak 3-4 orang pun masih belum pernah membayar zakat pendapatan. Yang lucunya bila ditanya sudah membayar zakat pendapatan atau belum, mereka ni dengan penuh keyakinan menjawab sudah bayar setiap kali bulan puasa. Yang itu zakat fitrah namanya kalau nak tau, bukannya zakat pendapatan. Itulah, dulu masa sekolah, selalu borak kat belakang masa uztaz mengajar (saya tak berani sebab uztaz garang). Gurau-gurau juga, tapi sebagai orang islam kita wajib bayar zakat sebab melalui zakat ini lah harta kita dapat disucikan. Maklumlah, kita ni bukannya baik sangat pun. Kadang-kadang tu terkona juga sikit-sikit.
Selain daripada bab kerohanian, saya amat berminat dengan zakat ini kerana ianya adalah salah satu instrumen dalam ekonomi islam yang membantu dan melonjakkan aliran tunai dalam sesebuah negara itu. Ramai pakar-pakar ekonomi dunia yang turut memuji dan menggalakkan sistem zakat ini lebih daripada sistem percukaian konvensional. Mungkin kepada yang kurang tahu tentang zakat, mereka berpendapat tiada apa yang istimewanya kalau setakat membayar RM 7.00 setahun kepada pusat zakat. Memang betul tu, tapi tahukah anda bahawa zakat ni bukan setakat zakat fitrah yang RM7.00 itu sahaja.
Ada bermacam-macam lagi cabang zakat yang anda boleh gunakan untuk membantu menyalurkan dana kepada sumber kewangan dan ekonomi negara, antaranya yang saya akan kupas pada kali ini adalah sistem zakat pendapatan.
Apa itu zakat pendapatan?
Pertama sekali yang anda kena fahamkan betul-betul adalah, zakat pendapatan ini bukanlah zakat fitrah. Zakat pendapatan juga berbeza dengan zakat perniagaan, zakat emas,zakat harta dan lain-lain lagi jenis zakat yang ada. Mengikut fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 1999, ‘zakat wajib dikeluarkan ke atas pendapatan daripada penggajian Islam termasuklah apa-apa upah, gaji, elaun, imbuhan dan bonus.
Oleh itu, adalah wajib bagi seseorang Islam mengeluarkan zakat daripada pendapatan yang layak dikenakan zakat daripada penggajian tersebut’. Zakat pendapatan ada cara pengiraaannya yang tersendiri dan jumlah yang perlu dibayar oleh setiap individu adalah berbeza mengikut pendapatan masing-masing. Ianya berbeza dengan zakat fitrah yang mana kadar bayarannya sudah ditetapkan oleh setiap negeri masing-masing dan diwajibkan kepada setiap umat Islam selain daripada golongan Asnaf.
Zakat pendapatan pula ada jumlah minimum pendapatan anda sebelum anda dikira wajib untuk membayarnya. Setakat ini, jumlah pendapatan setahun yang diwajibkan membayar zakat pendapatan adalah melebihi nilai 85 gram emas ataupun dalam terma arabnya dipanggil nisab. Saya rujuk harga emas semasa baru-baru ini adalah sekitar RM14600 untuk 85gram emas. Maknanya, kalau pendapatan bersih anda tu tidak melebihi RM 14,600 setahun ataupun kira-kira RM 1200 sebulan, makanya anda tidak diwajibkan untuk membayar zakat pendapatan. RM 1200 sebulan???? Maknanya makcik cleaner pun kena bayar zakat pendapatan juga??? Kejam sangat macam ni. Jangan menggelabah sangat ye. Ada perasan tak perkataan pendapatan bersih tadi? Gaji Makcik cleaner tu bersih RM 1200 ke?? Banyak sungguh la gaji dia kalau macam tu. Silap-silap mau dekat RM 3000 juga gaji kasar makcik cleaner tu. Kalau betul gaji bersih dia memang RM 1200 maknanya memang dia wajib bayar zakat, tapi kalau itu hanyalah gaji kasar dia, makanya tidak diwajibkan untuk zakat pendapatan.
Ada banyak elemen yang boleh ditolak dalam setiap pendapatan kasar anda sebelum dikira untuk bayaran zakat pandapatan. Lebih kurang macam cukai pendapatan juga la.
Haul zakat pendapatan
Satu lagi perkara yang selalu orang keliru dengan sistem zakat ini adalah haul zakat. Haul ni sebenarnya adalah kitaran dalam pengiraan zakat iaitu setahun. Apa jenis zakat pun, biasanya haulnya adalah setahun, tetapi untuk pengiraan zakat pendapatan, ulama berpendapat ianya tidak perlu mengikut haul setahun itu. Pening sikit kan? Saya pun pening juga mula-mula tu, tapi lepas bertanya kepada orang-orang yang lebih arif barulah saya faham maksud haul dalam zakat pendapatan ni.
Untuk zakat-zakat lain seperti zakat perniagaan contohnya, haul zakat itu adalah setahun kerana jumlah pendapatan ataupun keuntungan yang diperolehi oleh sesebuah perniagaan itu tidak sama setiap hari. Jadi ianya perlu dikumpulkan dan dijumlahkan apabila sudah cukup setahun (haul).
Berbeza pula dalam zakat pendapatan ini, yang mana gaji kita pastinya sama sahaja setiap bulan melainkan ada kenaikan gaji. Itupun tidaklah terlalu ketara. Selain daripada itu, yang menjadikan ulama berpendapat begitu adalah kerana sekiranya mengikut sistem haul ini, maka nanti akan berlaku ketidakadilan dalam pengiraan zakat pendapatan selepas cukup haul. Macam mana nak adil kalau contohnya ada dua keluarga yang kedua-dua suami mempunyai jumlah pendapatan yang sama dan juga jumlah tanggungan bulanan yang sama.
Keluarga A, si isterinya suka berbelanja sakan membeli bermacam-macam barangan mewah sampaikan akhirnya baki gaji suaminya tinggal beberapa ratus sahaja setiap bulan. Manakala keluarga B pula sangat berjimat cermat dan menyimpan wang gaji suaminya setiap bulan dan akhirnya mempunyai jumlah simpanan yang banyak. Tiba-tiba bila nak kira untuk zakat pendapatan, si keluarga A tidak ada wang yang melebihi jumlah nisab dan kalau diikutkan tidak perlulah untuk membayar zakat pendapatan. Malangnya pula bagi keluarga B yang menyimpan wang bagai nak rak, akhirnya lebih banyak pula jumlah zakat yang perlu dibayar kerana mempunyai simpanan yang banyak. Jadi nak lebih adil, tidak ada lagi sistem haul untuk zakat pendapatan sebaliknya dikira secara terus melalui cara di bawah.
Cara-Cara Pengiraan Zakat Pendapatan
Cara 1
2.5% daripada jumlah pendapatan tahunan diambil sebagai bayaran zakat pendapatan. Namun cara ini hanya sesuai untuk golongan yang tidak mempunyai tanggungan bulanan yang tinggi terutamanya yang masih belum berkeluarga. Jadi kepada yang bujang tu, ingat-ingat sikit jangan kerja nak menukar sport rim je…cukup masa, bayarlah zakat anda.
Cara 2
2.5 % daripada jumlah pendapatan bersih setelah ditolak segala perbelanjaan asasi (Sila ambil perhatian: pembelian pancing bermutu tinggi tidak dikira sebagai perbelanjaan asasi). Contoh-contoh perbelanjaan asasi adalah seperti berikut:
- Diri sendiri – pakaian asas, minyak kereta, bil-bil utiliti, dan lain-lain
- Isteri – keperluan asas sahaja. Beg tangan mahal tak dikira.
- Anak-anak
- berumur 18 tahun ke bawah –untuk makan minum dan sebagainya
- berumur 18 tahun ke atas – perbelanjaan biaya IPT
- Pendidikan untuk diri sendiri
- Pemberian kepada ibu bapa
- KWSP sebanyak 11%
Sumber pendapatan lain
Pusat zakat turut mewajibkan selain daripada sumber gaji bulanan, anda juga harus memasukkan sekali sebarang sumber pendapatan yang lain. Maklumlah, orang sekarang ni pandai cari duit. Siang dia kerja makan gaji, malam dia jual insuran pula. Oleh itu, saya senaraikan beberapa jenis sumber-sumber pendapatan lain yang turut perlu dimasukkan kedalam pendapatan bersih anda.
1. Harta upah kerja selain gaji tetap
- Bonus tahunan
- Upah kerja lebih masa (overtime)
- Pampasan
- Pencen
- Hadiah(rasuah ke???)
- Anugerah dari majikan
- Segala bentuk insentif
- ESOS (Skim pilihan saham pekerja)
2. Hasil kerja bebas
- Bayaran perkhidmatan konsultansi professional
- Keuntungan yang diterima kontraktor
- Komisyen dan residual income seperti jualan insuran, takaful, unit amanah dan sebagainya
- Royalti atau komisyen hasil penulisan, penerbitan, hasil seni dan lain-lain.
3. Harta yang menghasilkan pendapatan (Mustaghallat)
- Sebarang hasil sewaan aset yang dimiliki seperti rumah sewa, kedai, premis-premis perniagaan, kenderaan, peralatan-peralatan dan lain-lain.
- Hasil produk ternakan seperti susu, daging, telur, madu(tidak termasuk bermadu) dan sebagainya.
Secara umumnya, zakat pendapatan ini hanyalah dikhususkan kepada golongan yang berpendapatan tinggi sahaja. Rakyat-rakyat marhein tidak perlulah risau.Kalau yang perlu membayar zakat pendapatan pula, jangan rasa terbeban kerana selain daripada ianya adalah satu kewajipan kita sebagai umat Islam, anda juga boleh tuntut pengecualian dalam cukai pendapatan anda nanti. Kesimpulannya, tidak ada apa yang rugi pun sebenarnya.